Laporan bedah siasat diserah pada AG
Laporan bedah siasat bebas ke atas A Kugan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya oleh ibunya M Indra hari ini.
Menurut peguam keluarga berkenaan, N Surendran, laporan tersebut diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP), Tun Majid Tun Hamzah, yang diminta mengambil tindakan tegas dan segera terhadap perkara tersebut.
Katanya, Tun Majid berjanji untuk mengkaji segera laporan tersebut dan memaklumkan kepada keluarga Kugan mengenai tindakan yang akan diambil.
Turut Hadir ialah ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran; ahli Parlimen Kapar, S Manickavasagam dan anggota jawatankuasa pemantau polis dan hak asasi manusia, S Jayathas.
Laporan bedah siasat bebas yang dilakukan oleh seorang pakar patologi atas permintaan keluarga A Kugan, menunjukkan tahanan polis itu mati akibat kegagalan buah pinggang, akibat teruk dibelasah.
Menurut laporan bedah siasat kedua itu, akibat dibelasah, sel-sel otot Kugan gagal berfungsi, dan keadaan ini mengakibatkan aliran darah tersekat, dan seterusnya mengakibatkan buah pinggang gagal berfungsi.
Terdapat satu lakaran yang menunjukkan bahawa Kugan mengalami pendarahan dalaman yang serius akibat teruk dibelasah.
Laporan bedah siasat bebas itu dilakukan selepas keluarga mangsa tidak berpuashati dengan laporan bedah siasat awal di Hospital Serdang bahawa Kugan mati akibat terdapat cecair di dalam paru-parunya.
Kugan mati ketika disoal siasat dalam tahanan polis pada 20 Januari lalu. Sebelum kematiannya, mangsa ditahan lima hari berhubung kes kecurian kereta mewah.
Ekoran pendedahan satu video klip yang menunjukkan kecederaan pada badan Kugan serta tekanan awam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengklasifikan semula ia sebagai kes bunuh.
Berikutan itu, 11 anggota polis ditugas melakukan tugas pejabat sementara menunggu hasil siasatan terhadap kes tersebut.
Ditanya mengenai siasatan polis terhadap kes tersebut, Surendran memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak menerima sebarang maklumat dari mereka dan tidak tahu kemajuan siasatan yang dijalankan.
"Kita tidak tahu apa-apa, tiada guna menyerahkan laporan bedah siasat ini kepada mereka. Kerana itulah kami mahu AG menyiasat sepenuhnya kes ini. Kami tidak mahu apa-apa kaitan dengan polis," katanya.
Baca berita penuh

