Tiada kata yang lebih sesuai untuk menyimpulkan prestasi atlit Malaysia di Athens - indah khabar dari rupa. Atlit kita dilatih dengan belanja jutaan ringgit, sekadar untuk mendapat pengalaman.

Mereka menyertai pertandingan antarabangsa, untuk mendapat pendedahan. Taraf kita, suka atau tidak, sekadar menjadi jaguhan Sukan SEA. Itupun jika Malaysia menjadi tuan rumah.

Kalau kalah, tuduhlah penganjur menipu, pegawai kejohanan berat sebelah, jadual menindas. Biasalah, bak kata Susan Lancaster dalam filem komedi berjudul Mekanik "putihkah, birukah, hitamkah, kitakan orang Malaysia..."

Kalau ada pun rekod yang hendak pemimpin Malaysia war-warkan, ia hanyalah Malaysia Book of Records . Di Sarawak pula ada yang lebih hebat lagi di mana The Sarawak Books of Records diwujudkan sekadar untuk melihat nama sendiri dalam buku tersebut. Tetapi pencapaiannya dalam Sukan Malaysia masih tidak baik, sejak enam tahun lalu.

Rasanya semua ini berpunca daripada keinginan yang tinggi, tetapi usaha pula sekadar batuk di tangga.

Memandangkan peluang mencatatkan nama di dalam Guinness Book of Records adalah cukup sukar, maka pemimpin Malaysia yang dibesarkan dan berjaya dengan bantuan Dasar Ekonomi Baru (DEB) merasakan mereka berhak untuk mendapat layanan istimewa untuk turut dibukukan, walaupun mereka tahu, suatu hari nanti ianya akan menjadi bahan ketawa cucu-cicit kita...

Lampu ajaib

Kisah lampu ajaib Alladin ini merupakan kisah yang hangat diperkatakan sekumpulan kanak-kanak sebuah sekolah rendah swasta di Kuching sedikit masa lalu. Ceritanya saling tidak tumpah dengan kisah Alladin dan Lampu Ajaib.

Cuma watak utamanya bukan seorang pemuda Arab. Kisahnya cukup menarik. Heronya ialah Alladin Wong Lau Hu, seorang migran dari wilayah Fujian di China pada awal tahun 1940-an ketika Jepun sedang mengganas.

Setelah lebih 50 tahun hidup di Malaysia, Alladin membeli sebidang tanah ' Native Customary Rights ' milik anak pribumi dengan harga yang cukup murah, sekadar RM10,000 seekar. Memandangkan perniagaan Alladin sebagai seorang pemandu teksi terjejas teruk dek kewujudan kereta sapu, maka beliau ingin berkebun.

Ketika membersihkan tanah yang tidak sampai 10 kilometer dari pusat bandar itulah, Alladin berjumpa dengan sebiji lampu lama. Mula-mulanya beliau sekadar menjangkakan lampu tersebut sebuah pelita buruk. Secara berseloroh dia menggosok lampu itu, lalu berseru: " Anybody home? " (Ada sesiapa di dalam?)

Tiba-tiba asap berkepul dan jin pun keluar seraya berkata: " What is your request old man, you have just one opportunity. " (Apakah permintaanmu, kamu hanya diberi satu peluang sahaja).

Tanpa berlengah Alladin terus menjerit: "Gua mahu jadi businessman berjaya." Belum habis dia berkata, Alladin mendapati dirinya sudah dihimpit oleh timbunan fail dan seorang setiausaha yang seksi. Selang tiga minit telefonnya berdering dan akauntan pula keluar masuk membawa cek untuk ditandatangani. Alladin marah: "Jin ada sikit masalah".

Jin pun keluar, lalu Alladin berbisik di telinganya. Jin tersenyum, lalu berkata: "Cakaplah terus terang nak jadi usahawan bumiputera".

Memandangkan saya sekadar bersekolah di kampung, saya tidak begitu faham cerita ini. Mungkin anda faham moral daripada cerita ini.

Jin-jin dalam kereta mewah

Bagi orang kampung seperti saya, lampu ajaib itu mungkin sebahagian kecil harta peninggalan Rajah Brooke yang pernah memerintah Sarawak selama beberapa ratus tahun dahulu. Tetapi akhir-akhir ini, kisah rakan-rakan Alladin yang berjumpa dengan Jin, bolehlah dikatakan sebagai suratkhabar lama.

Cuma bezanya, kebanyakan Jin yang dimaksudkan itu berkenderaan mewah seperti Mercedes, Jaguar atau Roll Royce. Kuasa mereka, kata orang, bagaikan tuhan. Merekalah penentu susah senang nasib Alladin-Alladin yang suka meminta-minta dari pelbagai bangsa itu.

Seperti Jin dalam kisah Alladin, mereka cukup pemurah dan baik hati kepada semua orang, terutama golongan yang baik serta suka mengampu mereka. Cara mereka menolong para usahawan untuk berjaya juga, tidak banyak bezanya dengan Jin dalam kisah Alladin tadi.

Dengan kuasa yang ada, golongan Jin ini biasanya memberikan lesen dan kontrak kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi Alladin. Jangan banyak songeh, kata ahli politik Indonesia, main sahaja 4D, mesti kena. Bukan nombor empat digit, tapi Duduk, Diam, Dengar dan Duit. Paling tidak pun komisyen 'halal' 5 per sen (peratus).

Jika kita melihat segala projek utama di negeri ini, nama pelesennya nama 'Pribumi', kebanyakannya suku-sakat Sir Vacuum Cleaner, dari Gas Asli sampailah kepada pelupusan hasil perutnya. Seperti mendapat ilham dari seorang jutawan Singapura yang kerjanya melupuskan najis, kini perniagaan paling menguntungkan di Sarawak ialah memproses najis.

Najis akan dipam dari tandas, tidak kira sama ada anda sedang melepas di dalam jamban atau tidak. Ini membuatkan ada kanak-kanak yang bertanya, besar sangatkah kebun Sir Vacuum Cleaner sehingga tahi kita pun diambilnya!

Projek pelupusan

Tahukah anda teraju utama dalam kerja pelupusan sampah dan najis ini adalah Mat Salleh. Bukan calang-calang orang, pakar alam sekitar. Seperti biasa, kita digulanya dengan dana sebanyak beberapa juta dahulu. Kita lupa taktik kotor mereka sehinggakan kita dijajahnya selama ratusan tahun.

Jangan salah anggap, ada teman yang menyatakan ini sebenarnya membalas dendam. Kita memperhambakan mereka bergelumang dengan sisa kita. Mat Salleh ini semua tidak kisah, mereka buat muka selamba sahaja. Rupa-rupanya, kos pembiayaan mengepam najis dan kerja-kerja bersangkutan itu bernilai berbilion ringgit!

Kerana taksub ingin berada di dalam peta dunia, kita berlumba dengan bangsa lain di dunia untuk berada di hadapan. Berbekalkan kata-kata manis dan wang beberapa juta, datanglah beberapa usahawan asing. Mereka bawa pengurus terbaik dari seantero dunia dan perusahaan yang membuat kita terkial-kial untuk mencari maknanya dalam kamus.

Kononnya, untuk mempastikan kejayaan yang lebih jitu. Kita perlukan lebih banyak wang. Percaya dengan pembentangan menggunakan LCD dan beberapa projektor, kita bergolok-bergadai meminjam wang, kerana untungnya lebih besar daripada skim cepat kaya.

Gaji pegawai dan juruteranya sebulan pula sama dengan gaji pejuang negara seumur hidupnya. Anehnya, tenaga-tenaga import ini hanya banyak menghabiskan masa bersidai di kelab-kelab elit, berseronok dengan gadis-gadis tempatan.

Dalam akhbar tempatan, pelancarannya mengalahkan pesta tomato di Itali. Kehebatan prestasinya mengalahkan lembu jagoan di Sepanyol. Malangnya, pekungnya satu dunia sudah tahu. Kata anak-anak zaman sekarang mula-mula sekali dalam kebodohan, lepas tu ditipu.

Cuma tuhan yang tahu berapa banyak jalan yang kita dapat siapkan, berapa ramai anak yang dapat kita didik, berapa ramai graduan kelas satu kita lahirkan, jika wang yang terbuang itu dimanfaatkan. Kata mereka, sapa peduli, bukan duit aku, duit kerajaan, nasiblah...

Abu Nawas dan Alladin di Ba'Kelalan

Khabarnya, Abu Nawas sudah mencipta perkataan baru yang lebih hebat bunyinya daripada Infotainmen atau MyKad. Lebih pendek dan cukup ringkas, ilham dari Perhimpunan Agung Umno. Semuanya sekadar menunggu kelulusan daripada Jin, bergantung kepada bodekan dan tawaran yang dibuat oleh Alladin - SK dan SA.

Orang Umno di Sarawak, walau tidak banyak, mesti senyum. Sebab itulah mereka beria-ria hendak membawa parti itu ke sana. Bukannya hendak menegakkan perjuangan suci, tetapi sekadar mengalahkan musuh sedia ada dan berkuasa. Sampai bila mahu dipijak, kata mereka.

Jika tidak silap SK itu, Salam Kosong, SA pula, Salam Ada. Undi biasanya lebih memihak kepada SA. Maka Alladin pasti sibuk. Masalah besar timbul kerana lesen tikar ajaib Jin masih digantung sementara berikutan kecelakaan yang berlaku beberapa hari yang lalu.

Jika sekadar SK, alamat mereka akan dapat E besar untuk melengkapkan SK dan SA menjadi SEKSA. Maka tunggu dan lihatlah sendiri bagaimana ramainya Alladin, Abu Nawas dan Jin, berkampung di Ba'Kelalan tidak lama lagi.

Bukannya untuk menyenangkan rakyat, tetapi sekadar untuk mengekalkan rekod baik Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah kalah. Sudahlah tidak dapat masuk Guinness Book of Record , Sarawak Book of Records terbitan akan datang, pun jadilah.


MUNSYI KASSIM dari Sarawak, adalah pengamal media cetak dan elektronik media perdana yang 'dikongkong' oleh Kerajaan Barisan Nasional. Beliau adalah revolusioner sekadar tamat pelajaran di sekolah Melayu, tetapi banyak dipengaruhi oleh pemikiran Barat.