Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 September 2004 (Sabtu ) jam 12.15 malam. Ketibaan beliau di Frankfurt disambut Duta Besar Malaysia, Dato' Kamal Ismaun, sebelum menaiki kapal terbang lain untuk sampai ke Munich 9.30 pagi waktu Munich. Anwar mengadu sakit dalam penerbangan ke Munich.

Setibanya di Lapangan Terbang Munich, beliau terus dikejarkan ke Alpha Klinik dengan kenderaan khas yang disediakan oleh pihak hospital. Ketibaan Anwar di Alpha Klinik disambut oleh Dr Thomas Hoogland dan pegawai-pegawai hospital. Hoogland segera menjalankan pemeriksaan diikuti ujian khas MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan x-ray ke atas Anwar dan mengesahkan bahawa beliau mengalami 'spinal stenosis' yang serius dan perlu segera dibedah.

Tepat jam 3.00 petang 6 September, Hoogland memulakan pembedahan 'spine' (tulang belakang) dengan menggunakan teknik 'minimal invasive procedure' dan kaedah bius setempat (local anaesthesia) yang merupakan kepakaran khusus di Alpha Klinik. Pembedahan yang rumit ini memakan masa selama 1 jam 45 minit dan ia dibantu oleh Dr Halili Rahmat, pakar neuro surgeon dari Hospital Tawakal, Kuala Lumpur.

Pembedahan ini berjaya merenggangkan ruang saraf di antara lumbar 4 dan lumbar 5 yang sekian lama menghimpit saraf utama dan menyebabkan Anwar senantiasa dalam kesakitan dan tidak boleh berjalan tanpa bantuan kerusi roda.Selesai pembedahan, Anwar dipindahkan ke 'Recovery Room' dan diletakkan di bawah pemerhatian khas selama tiga jam.

Selepas itu, Anwar mampu berjalan sejauh 10 tapak sebelum dibantu dengan kerusi roda dan beberapa orang jururawat menuju ke bilik khas beliau. Anwar akan menjalani program pemulihan dan aktiviti terapi selama beberapa minggu di bawah jagaan pakar fisioterapi, Andrew van Broekhoven.

Jadual yang cukup komprehensif telah disediakan sehingga 25 September 2004 di mana Anwar perlu menjalani aktiviti dan program pemulihan selama 1 jam di sebelah pagi dan 3 jam di sebelah petang.

Tetamu-tetamu asing

Di hospital, Anwar menerima kunjungan tetamu-tetamu asing, teman-teman lama, pelajar-pelajar Malaysia dan rakyat Malaysia yang bekerja dan berkhidmat di Germany dan Eropah. Di antara tetamu ialah bekas Presiden Republik Indonesia, BJ Habibie, ulama terkemuka Shaikh Taha Jabir al-Alwani dan Dr Jamal Barzinji, President of International Crisis Group Gareth Evan, Imam Pusat Islam Munich, Al Dessouki dan penterjemah Al-Quran ke dalam bahasa Jerman, Ahmad von Denffer.

Turut menziarahi Anwar ialah Pengerusi Yayasan Omar Ibn Al Khattab, Dr Mahmoud M Dakhil dan bekas wakil Commonwealth Development Committee di Kuala Lumpur, John Langton. Pemimpin-pemimpin dari Malaysia termasuk Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Harun Din, pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Dato' Kamarul Baharin Abbas dan isteri, Saifuddin Nasution Ismail, Johari Abdul, N Gobalakrisnan dan lain-lain. Turut bersama ialah Dr Hatta Ramli dan Mohamad Sabu.

Anwar juga akan menerima kunjungan Pengerusi Friedrich Naumann Foundation yang juga bekas Menteri Ekonomi Jerman, Dr Otto Graf Lambsdorff, dan bekas Presiden Indonesia, Abdul Rahman Wahid (Gus Dur) pada penghujung bulan September

Tidak ketinggalan pemimpin-pemimpin Umno termasuk beberapa Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-ketua bahagian yang mengunjungi dan menghubungi dan menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan Anwar.

Panggilan telefon dan surat juga diterima dari pemimpin-pemimpin dunia yang melahirkan kelegaan dan kegembiraan mereka di atas pembebasan Anwar. Masyarakat antarabangsa meletakkan harapan yang tinggi agar beliau dapat memainkan peranan yang lebih besar di peringkat antarabangsa khususnya masalah keselamatan selepas peristiwa September 11, 2001.

Mereka juga yakin Anwar mampu mambantu mengujudkan dialog Islam dan Barat. Di antara mereka yang membuat panggilan telefon termasuk ulama tersohor Dr Yusof Qardawi, Perdana Menteri Kanada Paul Martin, Menteri Kewangan Arab Saudi Dr Ibrahim Al Asaf, Menteri Luar Sudan Mustaffa Osman dan Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi.

Yang lain termasuk Penasihat Perdana Menteri Turki Prof Ahmet Davutoglu, Presiden Bank Dunia Jim Wolfensohn, bekas Presiden Filipina Joseph Estrada, bekas Naib Presiden Amerika Al Gore dan bekas Penasihat Presiden Filipina Joe Almonte.

Pada 7 September, Anwar juga menerima perutusan khas daripada Perdana Menteri Republik Mauritius Paul Raymond Berenger yang menjemput beliau untuk melawat ke republik berkenaan. Bekas Menteri Luar Thailand M.A. Surin Halim Pitsuwan juga mengahantar perutusan yang sama kepada Anwat melalui Konsul Jeneral Kehormat Thailand di Munich, Barbara Steinle.

Dihujani ribuan emel

Alpha Klinik juga dihujani ribuan e-mel dari pelbagai pihak yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Anwar. Anwar berusaha untuk menjawab kesemua e-mel dan surat-surat yang diterima dari seluruh dunia.

Anwar juga menerima undangan dari beberapa universiti dan Pusat Kajian termasuk (Shaikh Taha) dan Johns Hopkins University melalui Dean School of Advanced International Studies, Jessica P Einhorn bertarikh 8 September 2004 untuk menjadi Distinguished Visiting Scholar di Institut Dasar Antarabangsa (Foreign Policy Institute).

Penghormatan ini diberikan kepada Anwar berdasarkan sumbangan besar beliau sebagai seorang negarawan ulung Malaysia dan pemimpin yang bertaraf dunia. Undangan yang sama diterima dari Oxford dan Harvard. Anwar sedang memberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Semenjak tiba di Munich, Anwar menjadi tumpuan media antarabangsa untuk mendapatkan temuramah khas. Berita pembebasan beliau menjadi tajuk utama di dada akhbar dunia seperti International Herald Tribune , Financial Times , New York Times dan juga media elektronik seperti Reuters Television , CNN , Al-Jazeera , ABC , Associated Press Television News ( APTN ), NHK , Deutsche Welle German International Broadcasting Service, Radio Free Europe / Radio Liberty , Radio Hong Kong .

Anwar juga mendapat tempat yang cukup signifikan dalam majalah antarabangsa seperti Time , Newsweek , Far Eastern Economic Review , Der Spiegel , Frankfurter Allgemeine Zeitung dan NZZ am Sonntag akhbar utama Swiss.

Anwar menjadi tetamu khas dalam rancangan Talk Asia terbitan CNN pada 21 September 2004

Penerbit rancangan ini mendapat kelulusan khas dari Ibu Pejabat CNN di Atlanta untuk menerbangkan pasukan teknikal dan penerbit dari Hong Kong, yang diketuai oleh Ja Wuttithamrong untuk maksud ini. Anwar juga muncul dalam program Asia Pacific Focus terbitan ABC , program 'The Editors' terbitan ABC dan production company Singapura dan muncul melalui lintas langsung dalam CNN pada 15 September 2004 jam 8.15 malam waktu Malaysia.

Pertemuan tertutup

Anwar juga turut mengadakan pertemuan tertutup dengan pimpinan dan ahli-ahli PKR yang berada di Munich. beliau memberikan penjelasan mengenai peranan yang bakal dipelopori oleh beliau sekembalinya ke tanah air.

Pada masa yang sama, selaku penasihat parti, Anwar mengesa agar pimpinan mengambil langkah proaktif untuk memantapkan parti termasuk mengembangkan sayap parti di semua peringkat, mengukuhkan organisasi parti, mencari pendekatan baru yang bijaksana dan realistik untuk menarik sokongan yang lebih ramai di kalangan generasi muda dan golongan profesional.

Anwar juga menekankan soal disiplin dan latihan kepimpinan dalam parti. Beliau menasihatkan supaya parti ini mesti bersifat inklusif dan proaktif. Anwar mengesahkan bahawa beliau akan cuba hadir dalam Kongres Pertama PKR yang dijadualkan berlangsung pada 17 sehingga 19 Disember 2004.

Mengenai masa depan beliau, Anwar mengambil pendekatan untuk mendengar dan menilai situasi politik terlebih dahulu. Lanskap politik Malaysia dan antarabangsa sudah banyak berubah dan memerlukan pengamatan yang serius dan berhati-hati. Anwar mengulangi pendirian beliau untuk meneruskan agenda reformasi, menyatukan bangsa Malaysia melalui program ekonomi yang segar demi kesejahteraan rakyat.

Anwar tidak dapat memegang sebarang jawatan dalam parti secara formal ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 15 September 2004 yang lalu. Namun, ini tidak bermakna pemerintah boleh menghalang Anwar daripada aktif dan membuat pendirian berprinsip dalam isu-isu semasa.

Mengenai pengampunan dari DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong yang disarankan oleh peguam-peguam beliau, Anwar belum membincangkannya untuk masa ini. Anwar tetap menolak penghakiman yang disahkan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung kes rasuah kerana beliau yakin beliau tidak bersalah. Di samping itu, Anwar juga berpendapat bahawa sekiranya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi tidak mempengaruhi pihak istana dalam proses pengampunan oleh DYMM SPB YDP Agong, seperti yang pernah diumumkan oleh perdana menteri tempoh hari, beliau percaya pengampunan akan tetap diberikan kepadanya.

Mengenai rancangan beliau selepas menjalani perubatan di Alpha Klinik, Anwar bercadang untuk menunaikan umrah sebelum berlepas pulang ke Malaysia. Walau bagaimanapun, beliau perlu mendapatkan pengesahan doktor terlebih dahulu supaya keadaan fizikal beliau kuat untuk pergerakan seterusnya.

Pihak Kerajaan Arab Saudi pada16 September melalui Menteri Kewangannya Dr. Ibrahim Al Asaf telah menyatakan kesediaan untuk menerima Anwar sebagai tetamu bagi maksud di atas.


AZMIN ALI adalah naib presiden Parti Keadilan Rakyat dan telah berada di Munich bersama Anwar Ibrahim dari awal.