Mesej perwakilan kepada Pak Lah
Perhimpunan Agung Umno ke-55 berakhir dua hari lalu dengan beberapa kejutan khususnya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu untuk tempoh tiga tahun akan datang. Amat ketara sekali 'orang-orang' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tewas dalam pertandingan tersebut, antaranya beberapa anggota kabinetnya.
Yang meraih kemenangan ialah penyokong-penyokong setia bekas Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad (dibaca: orang Datuk Seri Najib Tun Razak). Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Mohd Isa Samad, yang sebelum ini, mengikut banyak pihak, tidak langsung berpeluang memenangi kerusi Naib Presiden, sebaliknya mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden.
Manakala di peringkat awalnya, penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang diramal tidak menghadapi masalah mengekal jawatannya, hampir-hampir tewas. Beliau memperolehi kelebihan kira-kira 60 undi untuk menewaskan seorang lagi penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamad, yang disifatkan sebagai 'orang" Pak Lah kecundang. Cuma Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berjaya memenangi salah satu jawatan naib presiden tersebut.
Perhimpunan Agung Umno ke-55 berakhir dua hari lalu dengan beberapa kejutan khususnya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu untuk tempoh tiga tahun akan datang. Amat ketara sekali 'orang-orang' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tewas dalam pertandingan tersebut, antaranya beberapa anggota kabinetnya.
Yang meraih kemenangan ialah penyokong-penyokong setia bekas Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad (dibaca: orang Datuk Seri Najib Tun Razak). Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Mohd Isa Samad, yang sebelum ini, mengikut banyak pihak, tidak langsung berpeluang memenangi kerusi Naib Presiden, sebaliknya mendapat undi tertinggi bagi jawatan naib presiden.
Manakala di peringkat awalnya, penyandang jawatan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang diramal tidak menghadapi masalah mengekal jawatannya, hampir-hampir tewas. Beliau memperolehi kelebihan kira-kira 60 undi untuk menewaskan seorang lagi penyandang jawatan tersebut Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamad, yang disifatkan sebagai 'orang" Pak Lah kecundang. Cuma Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berjaya memenangi salah satu jawatan naib presiden tersebut.
Di peringkat Majlis Tertinggi (MT), ada calon-calon Pak Lah juga kecundang. Malah, tiada seorang pun calon MT yang berlatarbelakang agama terpilih, walaupun pentadbiran Pak Lah sedang hebat melancarkan konsep Islam Hadhari. Ini termasukkan penasihat agama Pak Lah Datuk Hamid Othman.
Adakah ini hanya perasaan pemerhati politik sahaja. Apakah semua ini berlaku kerana para perwakilan telah menggunakan sepenuhnya amalan demokrasi untuk memilih barisan terbaik untuk mereka, sehingga mengetepikan orang-orang Pak Lah sendiri?
Selesa
Tetapi kita harus melihat implikasi keputusan pemilihan kali ini, lebih jauh daripada sekadar menjadikan 'amalan demokrasi' sebagai jawapan kepada kejutan-kejutan tersebut. Ini ditambah pula apabila Najib menggunakan separuh daripada masa ucapan penggulungannya untuk mengulangi taat setianya kepada Pak Lah.
Apa perlunya Najib berbuat demikian jika selama ini beliau memang taat kepada Pak Lah! Sebenarnya beliau terpaksa berbuat demikian apabila mendapati ramai 'penyokongnya' yang menang dan ada 'orang' Pak Lah yang kalah. Keadaan ini meletakkannya dalam keadaan yang lebih selesa daripada Pak Lah sendiri.
Muhyiddin yang memang 'orang kuat' Pak Lah, dalam ucapan penggulungannya, cepat-cepat menggesa supaya konsep kerjasama dalam MT diperluaskan dengan melantik 'rakan-rakannya' yang tewas untuk menganggotai jawatan-jawatan parti. Ini akan memastikan Pak Lah masih dikelilingi 'orang-orangnya' di peringkat tinggi parti.
Dan Pak Lah sendiri, semasa ucapan penggulungannya, menyambut cadangan itu, sambil secara terus terang menyebut nama-nama mereka yang tewas, antaranya Tok Pa, Datuk Adnan Yaakob dan Datuk Kadir Sheikh Fadzir, akan diberi tanggungjawab dalam parti. Yang anehnya beliau menyebut 'timbalan presiden telah bersetuju' dengan cadangan tersebut. Persoalannya mengapa beliau sebagai presiden, perlu mendapatkan persetujuan timbalannya untuk berbuat demikian? Tentu adanya yang tersirat?
Kalau mahu dilihat lebih jauh lagi, apakah para perwakilan ingin menyampaikan mesej tertentu kepada Pak Lah? Contohnya apakah mereka tidak bersetuju dengan barisan jawatan penaja yang dilantik Pak Lah apabila bahagian Umno dibubarkan selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya yang lalu?
Apakah mereka juga tidak bersetuju dengan senarai calon-calon dari Umno yang dipilih untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu?
Pencalonan
Atau apakah mereka juga tidak bersetuju dengan perlantikan menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen dari Umno dalam Kabinet Pak Lah?
Berdasarkan kepada pemilihan parti Khamis lalu, kemungkinan ini memang ada. Kerana sebelum ini mereka tidak mahu 'mengeruhkan' keadaan. Mereka hanya menunggu masa yang terbaik pemilihan Khamis lalu untuk menyatakan apa yang tersimpan di hati mereka selama ini.
Kalau begitu, benarlah kata Tengku Razaleigh Hamzah bahawa ada ahli akar umbi yang tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang dibuat Umno di bawah pimpinan Pak Lah. Bezanya, Ku Li tampil kehadapan untuk menyatakan rasa tidak puashatinya itu dengan menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden parti.
Bagaimanapun, beliau gagal mendapat pencalonan yang mencukupi untuk layak berbuat demikian. Mungkin ahli-ahli tidak sependapat dengan cara Ku Li itu, selepas Umno diharamkan selepas Ku Li mencabar Mahathir bagi jawatan presiden, pada 1987. Jelas mereka tidak mahu Ku Li mengulangi sejarah itu sekali lagi dalam pemilihan kali ini.
Namun begitu, memang ada yang tidak kena dengan keputusan pemilihan pucuk pimpinan Umno kali ini. Seperti yang disebut tadi, Najib cuba 'menenangkan' perasaan Pak Lah dengan berikrar untuk menjadi seorang timbalan yang taat setia, dan tidak akan menyerang Pak Lah dari belakang.
Supaya tidak terlalu ketara mengapa perlu beliau berbuat demikian, Najib mengatakan yang beliau sudah mengenali Pak Lah sejak 30 tahun lalu, ketika Pak Lah setia berkhidmat di bawah Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein dahulu.
Media
Oleh itu, katanya, tibalah masanya untuk berkhidmat untuk Pak Lah pula, yang menurutnya sesuatu yang telah ditakdirkan berlaku di antara beliau dan Pak Lah. Namun itu masih tidak cukup untuk menutup 'apa yang tersirat'. Mahu tidak mahu, Pak Lah dan orang-orangnya terpaksa menerima hakikat bahawa kekuatan Najib semakin bertambah selepas pemilihan Khamis lalu.
Ataupun kemenangan itu dikaitkan dengan politik wang. Nampaknya itulah yang telah diperbesar-besarkan oleh media-media perdana yang nampaknya mahu menarik perhatian ramai daripada hakikat bahawa 'orang' Pak Lah tewas kepada 'orang' Najib.
Kerana itulah digembar-gemburkan kononnya ada pihak yang membawa beg-beg yang penuh berisi wang yang ditaburkan pada malam terakhir sebelum pemilihan dibuat keesokan harinya.
Mungkin ianya dapat mengabui mata orang ramai, khususnya ahli-ahli yang tidak hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang hanya mengikut perkembangan Perhimpunan Agung Umno melalui TV dan akhbar-akhbar perdana sahaja.
Selain itu, ada juga pihak yang yang menganggap Pak Lah tidak tegas menguatkuasakan peraturan dan garispanduan yang telah ditetapkan awal-awal lagi sebelum pemilihan peringkat cawangan dan bahagian diadakan.
Pada mulanya, pengurusan Umno melarang sebarang bentuk kempen yang membabitkan media. Calon-calon juga tidak dibenarkan mengadakan perjumpaan atau jamuan untuk para perwakilan dengan niat untuk berkempen.
Longgar
Tetapi selepas pemilihan bahagian selesai, tiba-tiba pihak pengurusan Umno berkata calon-calon boleh berkempen menerusi media tetapi dilarang mengkritik lawan mereka. Di minggu-minggu akhir menjelang pemilihan Khamis lalu, pihak pengurusan Umno sekali lagi melonggarkan peraturannya, dengan membenarkan calon-calon mengadakan perjumpaan dan jamuan untuk para perwakilan.
Ada pihak yang menganggap ini memperlihatkan Pak Lah memang mudah 'dipengaruhi' dan mudah pula menukar keputusan dan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan parti.
Namun ada juga pihak yang melihatkan keputusan itu daripada perspektif lain. Mereka melihat seolah-olah ada usaha untuk mengetepikan Muhyiddin yang pada masa ini merupakan saingan terdekat Najib.
Oleh itu, apakah perwakilan yang terdiri daripada penyokong Najib tidak mengundi memilih Muhyiddin? Apakah perwakilan daripada Pemuda Umno yang dipimpin oleh sepupu Najib, Datuk Hishammuddin Hussein, juga tidak mengundi Muhyiddin?
Walaupun tidak dapat dipastikan tetapi kemungkinan itu tetap ada. Hishammuddin yang pada mulanya agak tertarik dengan cadangan supaya beliau bertanding jawatan naib presiden, tiba-tiba mahu kekal menerajui pergerakan itu.
Yang lebih menarik lagi, beliau berganding pula dengan menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin untuk menerajui Pemuda Umno. Lebih menarik lagi apabila Hishammuddin berkata beliau hanya mahu memimpin pergerakan itu sepenggal sahaja lagi. Lepas itu ia akan diambil oleh Khairy yang kini menjadi naibnya.
Apakah ini secara kebetulan atau keputusan Hishammudin adalah sebahagian daripada kerangka politik bagi menjamin kedudukan Najib sebagai timbalan, tidak tergugat, oleh kehadiran Muhyiddin? Daripada keputusan pemilihan tersebut, nampaknya sukar untuk kita mengadakan tidak.
NASH RAHMAN adalah pengarang berita malaysiakini .

