Terjemahan Pada malam 28 Januari 1945, Suriani Abdullah sedang nyenyak tidur di dalam sebuah rumah kayu dekat Tanjong Tualang di Lembah Kinta, Perak. Ianya berlaku secara kebetulan.

Menurut rancangan asalnya, Suriani sepatutnya tidur di sebuah rumah yang selamat, tetapi kerana tidak sihat, dia tidak dapat meneruskan perjalanan ke lokasi yang telah disediakan untuknya.

"Pada malam itu, fasis Jepun datang membuat operasi sook ching (pembersihan) di kampung itu...," cerita Suriani mengenai peristiwa tersebut

"Mereka membuat pemeriksaan dari pintu ke pintu, dan akhirnya mereka sampai ke rumah tempat saya tidur. Apabila pengawal saya melihat tentera Jepun beruniform, dia terus melepaskan tembakan. Saya terkejut jaga dan dalam keadaan kelam-kabut itu, saya melepaskan diri melalui pintu belakang.

"Ketika saya yakin dapat melepaskan diri, saya terjatuh. Beberapa tentera Jepun cuba memberkas saya. Saya melepaskan dua tembakan, tetapi pistol saya rosak."

Pengawalnya terbunuh manakala Suriani berjaya ditangkap dan ditahan di ibu pejabat Kempetai di Ipoh sepanjang tempoh enam bulan berikutnya.

"Ketika dalam tahanan, saya cuba menyanyi sekuat hati dan membuat bising kerana membantah...tetapi setiapkali saya lakukannya, Kempetai akan datang ke bilik kurungan saya dan mencurah saya dengan air...Mereka juga mengambil semua barangan peribadi saya kerana bimbang saya akan menggunakannya untuk membunuh diri.

"Hampir setiap hari saya disoalsiat dan diseksa. Mereka memukul seluruh badan saya dengan kuat sehingga saya muntah darah. Selepas gagal melakukannya secara seksaan, mereka menggunakan tektik berlembut: mereka yang telah menjadi pengkhianat dipanggil untuk membantu memujuk saya supaya bekerjasama dengan mereka. Saya marahi mereka semua.

"Sebenarnya, sesetengah anggota sukarelawan Jepun itu berperi kemanusiaan. Secara rahsia mereka memberi roti canai kepada saya dan tahanan yang lain."

Menurut Suriani walaupun dia tidak diseksa dengan dipaksa meminum air sabun, tetapi sesetengah jarinya dibakar. Hari ini, 60 tahun kemudiannya, parutnya masih ada.

Publisiti

Suriani (foto) dibebaskan selepas tentera Jepun mendengar siaran radio yang negara itu menyerah kalah pada 5 Ogos 1945.

"Saya berjalan keluar ke Ipoh dan menaiki bas untuk balik ke Tanjong Tualang. Di Ipoh, Tanjong Tualang dan sepanjang perjalanan, saya ternampak rakan seperjuangan termasuk daripada MPAJA muncul secara berkumpulan dari tepi bukit, semak dan kampung-kampung. Apabila saya tiba di Tanjong Tualang, orang ramai sudah berkumpul untuk menyambut ketibaan saya.

"Kemudiannya, apabila saya pergi melawat Pusing selaku pegawai seranta parti sukar dipercayai apa yang saya lihat di sana semua kedai dan rumah memasang sama ada bendera merah parti atau bendera MPAJA...

"Setiapkali anggota bersenjata kami muncul, penduduk di bandar dan kampung berbaris untuk mengalu-alukan mereka. Tiga pemilik restoran di Pusing memberi minum dan makan percuma kepada semua anggota komunis dan anggota MPAJA selama sebulan! Kami boleh masuk mana-mana restoran tersebut dan makan serta minum apa sahaja yang kami suka.

"Kemudian saya berjumpa dengan(RG) Balan, Rashid (Maidin) and Abdullah (CD)... Kesemua mereka menyertai kumpulan seranta saya. Saya adalah ketua mereka."

Menurut Suriani, Balan (foto) adalah anggota serta bawah tanah komunis sewaktu pendudukan Jepun di kawasan Kampar-Tapah, mencetak serta menyebar risalah anti-Jepun dalam bahasa Tamil. Dia menjalin hubungan dengan kumpulan bawah tanah di bawah arahan Wu Tien Wang.

(Balan telah ditahan oleh pihak penjajah pada 30 Mei 1948 sehingga tahun 1961. Dia terpilih menjadi naib pengerusi jawatankuasa pusat KPM pada 1955, tanpa kehadirannya).

Suriani nampak girang apabila menceritakan mengenai perarakan bagi meraikan kemenangan itu di Ipoh, yang menurutnya tidak lagi dapat diingati oleh generasi muda Malaysia.

"Terdapat pasukan pancaragam tentera...dua orang, masing-masing memegang bendera Parti Komunis Malaya dan bendera MPAJA berjalan beriringan dengan pasukan pancaragam tersebut. Kira-kira 1,000 anggota MPAJA mengambil bahagian dalam perarakan tersebut dengan memakai uniform baru dan membawa senjata yang digugurkan oleh Pasukan Bersekutu dalam beberapa bulan terakhir pendudukan Jepun."

Perarakan kemenangan

Pada 31 Disember 1943, PKM dan Pemerintah Bersekutu di Asia Tenggara menandatangani perjanjian bertulis di Blantan di Bukit Bidor, Perak. MPAJA bersetuju membantu pasukan bersekutu yang diketahui British untuk mengambil alih pemerintahan di Semenanjung Malaya dan Singapura, dan sebagai balasannya MPAJA akan mendapatkan bekalan uniform, ubat-ubatan, senjata dan sumber kewangan.

"Saya berada di sana (sewaktu perarakan di Ipoh) dalam kereta bersama Komander Itu (Liao Wei Chung)...kami diikuti oleh beratus-ratus penduduk. Tauke-tauke berada di bahagian belakang perarakan...Kami begitu gembira...amat gembira sekali.

"Sebelum perang, tauke-tauke ini selalu berjalan di bahagian depan perarakan, tetapi kini orang miskin seperti kami mengepalainya...dunia sudah berubah...saya kemudiannya dijemput oleh pihak British untuk menaiki helikopter tentera....," kata Suriani.

(Liao, komander Regimen ke-5 MPAJA, juga dikenali sebagai Itu oleh pihak British dan komunis sewaktu pendudukan Jepun kerana dia diberi kod rahsia komunikasi, E2. Dia ditangkap oleh pihak British pada permulaan zaman "Darurat" dan dibuang negeri ke China. Menurut Chin Peng, Liao meninggal dunia di China hujung tahun 1980-an.)

Tetapi sejurus selepas itu, demonstrasi anti-kelaparan berlaku di seluruh Perak, termasuk di Ipoh dan Taiping. Menurut Suriani, sebaik sahaja perang tamat, berlaku inflasi, pengangguran, kekurangan makanan dan keraguan mengenai status wang Jepun, dan ramai pula berada dalam keadaan resah.

Sewaktu salah satu demonstrasi anti-kelaparan di Ipoh, Suriani terpilih sebagai salah seorang daripada lima wakil penduduk untuk berunding dengan pihak Pentadbiran Tentera British (BMA) mengenai cara terbaik untuk membantu rakyat.

Katanya, pihak British meminta maaf dengan mengatakan mereka baru sahaja sampai dan tidak mempunyai banyak sumber. Mereka kata Parti Komunis Malaya boleh membantu untuk mengerahkan sumber-sumber untuk memberi beras dan ikan masin kepada orang ramai.

Berjumpa Sukarto

Dalam beberapa bulan selepas tamat perang, Suriani tertarik dengan perjuangan bersenjata di Indonesia. Dalam biografinya yang dicetak dan diedarkan di kalangan ahli parti, terdapat catatan bahawa pada tahun 1947, dia melawat Indonesia and bertemu dengan President Sukarno, Shariffuddin (ahli komunis Indonesia yang menjadi Menteri Pertahanan Sukarno) dan anggota komunis Indonesia yang lain.

Apabila "Darurat" diisytiharkan pada 20 Jun 1948, Suriani dipindahkan oleh partinya ke Johor. Dia kemudiannya ditugaskan pula ke Pahang. Sejak 1953, dia mula menjadi sebahagian daripada Regimen ke-10 Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya dan juga dilantik sebagai anggota pemerintah tentera.

Dalam bulan Februari 1955, Suriani - atau nama Cinanya, Eng Ming Ching berkahwin dengan Abdullah CD (foto, bersama cucu) dan dikurnia seorang anak perempuan setahun kemudiannya.

Pada tahun 1975, Suriani terpilih untuk pertama kalinya menjadi anggota jawatankuasa pusat PKM. Suriani juga merupakan perwakilan PKM ke Haadyai pada 2 Disember 1989 untuk menyaksikan pemeterian perjanjian damai di antara parti itu dengan kerajaan Malaysia.

Sebagai Pengerusi PKM, Abdullah CD adalah salah seorang daripada tiga pemimpin parti itu yang menandatangani perjanjian damai tersebut. Dua lagi ialah Chin Peng dan Rashid Maidin.

Pada tahun 1999, Suriani dan Abdullah CD mengerjakan Haji di Mekah. Selepas termeterainya perjanjian damai itu pada tahun 1989, Suriani dan suaminya balik ke Malaysia sebanyak dua kali. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah juga perkenan menerima mereka menghadap.

Suriani juga merupakan penulis sejarah rasmi Regimen ke-10 bertajuk 'Regimen Ke-10 dan Kemerdekaan (Hong Kong, Nan Dao, 1999). Buku ini diterbitkan dalam bahasa Melayu dan Cina.

Ditanya sama dia pernah merasa menyesal kerana menyertai gerakan anti-Jepun, Suriani dengan tegas menjawab:"Tidak".

"Apabila kita memulakan perjuangan, kita terasing dan jumlahnya juga kecil, tetapi apabila perang berakhir, anggota pasukan kami berlipat ganda kepada 10,000 serta 50,000 anggota simpanan dan aktivis sosial. Kami berjuang menentang fasis. Kami membebaskan Malaya. Saya amat bangga melakukannya," katanya.

Dianggarkan kira-kira 70,000 penduduk semua kaum, terbunuh sepanjang 44 bulan pendudukan Jepun. Manakala 80,000 lagi terkorban kerana diseksa dan dipenjarakan, dengan 300,000 lagi mati kelaparan kerana menjadi buruh paksa.

Esok: Pada usia 87 tahun, Rashid Maidin masih boleh berjenaka.