September 16: Integrasi nasional perlu diperbaiki
Malaysia baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-48. Pendek kata, hari kemerdekaan kali ini disambut dengan begitu meriah sekali di seluruh negara. Di mana-mana sahaja kibaran jalur gemilang jelas kelihatan. Suasana sebegini mengingatkan kita ketika negara baru sahaja membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.
Sesungguhnya, hari kebangsaan kali ini harus menjadi kebanggaan semua, kerana Malaysia kini sebuah negara makmur dari aspek ekonomi, aman damai dari aspek sosial dan mempunyai situasi politik yang stabil. Malaysia juga semakin terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadi teladan kepada negara dunia ketiga yang lain.
Malaysia masih lagi mempunyai potensi luas untuk terus berkembang pada masa akan datang. Berdasarkan perkembangan semasa, Wawasan 2020 nampaknya tidak mustahil untuk dicapai dan Malaysia pasti akan berjaya muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Bagaimanapun, di saat kita gembira berpesta meraikan pencapaian cemerlang negara, kita harus berwaspada dengan ancaman keretakan integrasi nasional di Malaysia.
Malaysia baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-48. Pendek kata, hari kemerdekaan kali ini disambut dengan begitu meriah sekali di seluruh negara. Di mana-mana sahaja kibaran jalur gemilang jelas kelihatan. Suasana sebegini mengingatkan kita ketika negara baru sahaja membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.
Sesungguhnya, hari kebangsaan kali ini harus menjadi kebanggaan semua, kerana Malaysia kini sebuah negara makmur dari aspek ekonomi, aman damai dari aspek sosial dan mempunyai situasi politik yang stabil. Malaysia juga semakin terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadi teladan kepada negara dunia ketiga yang lain.
Malaysia masih lagi mempunyai potensi luas untuk terus berkembang pada masa akan datang. Berdasarkan perkembangan semasa, Wawasan 2020 nampaknya tidak mustahil untuk dicapai dan Malaysia pasti akan berjaya muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Bagaimanapun, di saat kita gembira berpesta meraikan pencapaian cemerlang negara, kita harus berwaspada dengan ancaman keretakan integrasi nasional di Malaysia.
Malaysia mempunyai 13 buah negeri dengan tiga wilayah Persekutuan yang terbahagi kepada Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah). Walaupun belum pernah timbul persengketaan antara wilayah di Malaysia, namun, harus diingat bahawa integrasi nasional adalah usaha yang paling sukar dipupuk kerana ia melibatkan perbezaan budaya, keturunan, agama dan wilayah. Pergolakan yang berlaku di negara jiran kita, seperti di utara Sumatera di Indonesia, Selatan Thai dan Selatan Filipina, merupakan contoh terbaik yang membuktikan betapa sukarnya integrasi nasional dicapai dan betapa buruknya kesannya jika integrasi nasional menemui kegagalan.
Malaysia merupakan negara yang terhimpit di antara tiga buah negara ini. Oleh itu, situasi bergolak di negara-negara jiran ini sedikit sebanyak boleh mendatangkan kesan, pengaruh dan ancaman ke atas keutuhan integrasi nasional di Malaysia. Sebarang ketidakpuasan yang timbul di kalangan pihak tertentu, mungkin menjadi pencetus dan seterusnya merosakkan integrasi nasional negara.
Integrasi nasional menjadi isu negara yang hangat sekitar 1960-an dan 1970-an. Ini kerana ketika itu, Malaysia masih baru ditubuhkan.Namun, bermula pada tahun 1990-an, isu integrasi nasional semakin dilupakan, ekoran kemakmuran ekonomi yang dikecapi. Rata-rata pihak berpendapat, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik, mampu melenyapkan perbezaan yang ada.
Jurang integrasi nasional
Namun, kadangkala salah faham juga mudah timbul kerana kurang pendedahan tentang aspek kehidupan masyarakat di wilayah-wilayah tertentu. Selain itu, kedudukan geografi misalnya, terletak terlalu jauh dari pusat pentadbiran negara, juga menjadi jurang kepada integrasi nasional. Inilah yang sering menjadi masalah di antara Bangkok dengan wilayah selatan Thai (Pattani, Yala dan Narathiwat) Jakarta dengan Aceh dan di antara Manila dengan wilayah Mindanao.
Negeri Sarawak dan Sabah merupakan dua buah negeri dalam Malaysia yang secara geografinya terpisah dengan Semenanjung Malaysia oleh Laut China Selatan. Secara perbandingan, keluasan Sarawak dengan tidak termasuk Sabah telah menyamai saiz Semenanjung Malaysia. Namun dari segi kepadatan penduduk, kedua-dua negeri ini hanya mempunyai 14 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia.
Dari segi pembangunan pula, walaupun Sarawak dan Sabah telah banyak membangun sejak merdeka, namun jika dibandingan dengan negeri-negeri di pantai barat dan selatan semenanjung Malaysia, ternyata pembangunan Sarawak dan Sabah masih lagi banyak ketinggalan walaupun mempunyai kekayaan sumber asli. Sekilas pandang, perbezaan di antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia, sekiranya tidak dibendung, mampu mencetuskan semangat kewilayahan yang mengancam integrasi nasional.
Apatah lagi komposisi etnik yang lebih pelbagai dan kompleks di Sarawak dan Sabah, berbanding Semenanjung Malaysia, sudah pasti akan menimbulkan banyak salah faham jika kurang pendedahan tentang aspek kehidupan masyarakat di negeri-negeri berkenaan.
Sarawak dan Sabah, terkenal dengan kepelbagaian etnik pribumi yang sebilangan besarnya masih mengamalkan cara hidup tradisi mereka yang berkait rapat dengan alam semulajadi. Malangnya, ia sering menimbulkan salah faham di kalangan penduduk di Semenanjung Malaysia. Tidak dinafikan, masyarakat Sarawak dan Sabah sering dilabel sebagai masyarakat yang masih tinggal di atas pokok, tinggal dalam hutan, masih mengamalkan kegiatan memenggal kepala (di Sarawak), tidak berbaju dan kurang bertamadun.
Tidak kira sama ada pernyataan salah ini timbul kerana kurang pendedahan ataupun ia memang sindiran dan gurauan yang sengaja dibuat, namun apa yang pasti, kenyataan ini sudah tentu akan menyinggung setiap hati rakyat Malaysia di Sarawak dan Sabah.
Persepsi salah
Terdapat juga sebilangan penduduk di semenanjung Malaysia yang tidak tahu di mana letaknya Sarawak dan Sabah. Ada yang mengatakan Sarawak dan Sabah terletak berdekatan dengan negara Thai. Ada yang tidak tahu bahawa Sarawak dan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Ada pula yang bertanya sama ada Sarawak dan Sabah menggunakan matawang yang sama dengan Semenanjung Malaysia.
Ada pula yang mengenali Sarawak dan Sabah kerana hutan belantaranya. Salah sangka sedemikian tidak seharusnya wujud, terutama setelah hampir 42 tahun Malaysia ditubuhkan (semenjak 16 September 1963). Tambahan lagi dalam dunia yang tiada sempadan ini, pengetahuan am seumpama ini seharusnya telah lama dikuasai. Persepsi salah seumpama ini menyebabkan penduduk Sarawak dan Sabah mempunyai tanggapan negatif terhadap penduduk Malaysia di Semenanjung Malaysia. Ini sudah pasti akan menjarakkan jurang integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Banyak pendedahan dan persoalan yang perlu dibuat dan diperjelaskan. Kadangkala salah faham timbul di mana-mana saja. Oleh itu, ia harus segera diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham yang berlanjutan. Misalnya, kebanyakan penduduk Sarawak dan Sabah masih terkeliru dengan tarikh hari kemerdekaan.
Bagi masyarakat semenanjung Malaysia, hari kemerdekaan ialah pada 31 Ogos 1957. Ia berbeza sekali dengan masyarakat Sarawak dan Sabah yang hanya mengecapi erti kemerdekaan pada 16 September 1963. Kalau dulu, hari kemerdekaan disambut berasingan pada 31 Ogos dan 16 September, tetapi kebelakangan ini hari kemerdekaan telah ditetapkan pada 31 Ogos setiap tahun.
Ini menimbulkan kekeliruan kepada penduduk Sarawak dan Sabah mengenai tarikh sebenar hari kemerdekaan bagi Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Masih ada yang mempertikaikan hari kemerdekaan Malaysia sepatutnya diletakkan pada 16 September 1963, memandangkan ia adalah tarikh sebenar penubuhan Malaysia.
Selain itu, rakyat Malaysia juga kerap mendahulukan Sabah daripada Sarawak ketika menyebut nama kedua-dua buah negeri ini. Sebutan 'Sabah dan Sarawak' ini adalah salah kerana ia seolah-olah menggambarkan Sarawak adalah negeri yang terletak paling jauh di penghujung Pulau Borneo.
Perjelaskan peranan
Selain itu, sebutan 'Sabah dan Sarawak' juga menimbulkan konotasi disintegrasi sedangkan Sarawak terletak lebih dekat dengan Semenanjung Malaysia, seolah-olah membuktikan Semenanjung Malaysia lebih mementingkan Sabah daripada Sarawak. Oleh itu, sebutan 'Sabah dan Sarawak' harus ditukar menjadi 'Sarawak dan Sabah'.
Masyarakat di Sarawak dan Sabah juga perlu sentiasa diperjelaskan tentang peranan mereka di dalam Malaysia. Ini kerana sentiasa timbul desas-desus di kalangan masyarakat Sarawak dan Sabah yang meminta untuk memainkan peranan yang lebih besar di dalam negara tercinta ini. Jika urusan hubungan antara negara adalah hak kerajaan pusat, paling tidak, Sarawak dan Sabah dibenarkan terlibat dengan lebih aktif di dalam aktiviti yang bercorak kesukanan dan kebudayaan.
Misalnya, dalam Sukan Komanwel pada tahun 1998 di di Malaysia, tiada satu pun acara yang diadakan di Sarawak dan Sabah. Bahkan, sebagai semangat menyahut kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah sukan ini, ramai penduduk Sarawak dan Sabah berkunjung ke Semenanjung Malaysia semata-mata untuk menyaksikan sukan yang berprestij ini. Begitu juga Sukan SEA yang telah beberapa kali berlangsung di Malaysia, tidak satu pun acara yang diadakan di Sarawak dan Sabah.
Sebagai dua buah negeri yang menjadi benteng teguh kerajaan Barisan Nasional (BN), apabila ada pilihanraya, '3S' (merujuk Sarawak, Sabah dan Selatan Semenanjung iaitu Johor) pasti menjanjikan kemenangan terawal bagi kerajaan BN. Ini membuktikan betapa rakyat Sarawak dan Sabah menyokong penuh pentadbiran kerajaan BN. Oleh yang demikian, masyarakat di Sarawak dan Sabah haruslah diberikan lebih perhatian agar dapat merapatkan jurang integrasi nasional yang wujud dan seterusnya bersama-sama membawa negara Malaysia ke mercu kejayaan.
Dalam negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, agama dan adat resam, memang salah faham sukar dielakkan. Bagaimanapun, jurang integrasi nasional mesti dielakkan bagi memastikan Malaysia terus membangun. Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur adalah komponen penting dalam pembentukan negara Malaysia yang teguh.
Oleh itu, sikap hormat-menghormati, pendedahan media massa terhadap cara hidup dan pengetahuan kenegaraan, terutamanya tentang wilayah-wilayah Malaysia, amat penting bagi memupuk semangat perpaduan kaum, mengurangkan salahfaham dan menguatkan integrasi nasional walaupun tinggal berjauhan dan di dalam suasana kehidupan yang berbeza. Hanya dengan kejayaan mencapai integrasi nasional, barulah hari kemerdekaan yang disambut akan menjadi lebih bermakna.
Penulis adalah bekas pelajar sarjana dalam bidang Kajian Dasar dan Analisis Keselamatan, Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Saya akui karya ini adalah hasil kerja saya dan tidak pernah diterbitkan dalam mana-mana saluran media.

