ULASAN | Negara ini tidak dibina atas kebencian. Negara ini tidak maju dengan pergaduhan.

Sejak merdeka, kita memilih jalan perpaduan, bukan perpecahan. Kita memilih kestabilan, bukan huru-hara.

Hari ini, saya ingin mengingatkan semua, jangan kita gadaikan keharmonian ini hanya kerana emosi yang tidak terkawal.

Saya faham, apabila sesuatu perkara menyentuh sensitiviti kita, pasti ada kemarahan. Pasti ada kekecewaan. Tetapi di saat kita membiarkan emosi menguasai diri, kita lupa satu perkara yang jauh lebih penting—masa depan kita bersama.

Penyampai Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy meminta maaf atas kontroversi jenaka “vel, vel.”

Kita boleh terus berbalah, saling mencaci, menuduh dan menuding jari. Tetapi apakah hasilnya? Apakah Malaysia akan menjadi lebih baik?

Dalam isu yang sedang hangat diperkatakan, pihak terlibat sudah memohon maaf. Maka, apakah kita mahu terus menghidupkan api kemarahan?

Hukuman bukan tugas kita, itu tugas pihak berkuasa. Jika ada tindakan lanjut, biarlah mereka yang bertanggungjawab menentukannya.

Tetapi kita, rakyat biasa, apa gunanya terus berbalah sesama sendiri?

Duduk luar negara

Apakah kita mahu melihat kehancuran negara ini hanya kerana kita lebih ghairah mencari salah daripada membina keharmonian?

Lebih malang lagi, dalam situasi begini, ada pula si pengecut di luar sana yang cuba menyimbah minyak ke dalam api.

Ada individu yang telah meninggalkan tanah air, kini duduk di luar negara tetapi sibuk memaki, menghina Islam dan cuba menyalakan api perpecahan di Malaysia.

Orang seperti ini tidak ada tempat di negara kita. Mereka harus diheret ke muka pengadilan.

Tetapi apakah kita yang masih di sini mahu menjadi mangsa permainan mereka? Jangan kerana manusia yang tidak lagi menghargai tanah airnya, kita pula bergaduh dan mencaci sesama sendiri. Itu kerja yang sia-sia.

Saya menyeru semua, hentikan polemik yang tidak membawa manfaat. Negara ini sudah cukup mencabar.

Kita berdepan dengan pelbagai isu—ekonomi, kos sara hidup, pendidikan, masa depan anak-anak kita. Itulah musuh sebenar kita. Itulah perkara yang perlu kita perangi bersama, bukan sesama sendiri.

Malaysia ini rumah kita. Jangan sampai kerana kita sibuk bergaduh, rumah ini runtuh.

Tidak ada sesiapa yang akan datang menyelamatkan kita jika negara ini hancur kerana perbalahan yang kita cipta sendiri.

Ketenangan, kesabaran, dan perpaduan bukan tanda kelemahan. Ia tanda kebijaksanaan.

Marilah kita pilih untuk menjadi rakyat yang bijak. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan fikiran yang lebih matang, hati yang lebih tenang dan semangat yang lebih kuat untuk melihat Malaysia terus berjaya.


SIVARAJ CHANDRAN Ahli Dewan Negara.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.