ULASAN | Adakah Adun lantikan Melaka benar-benar manfaatkan rakyat?
ULASAN | Dalam setiap ceramah politik, orang politik sering menegaskan keprihatinan mereka terhadap isu kos sara hidup rakyat. Tapi, hari ini timbul pula usul untuk mewujudkan tujuh kerusi Adun lantikan.
Persoalan asas yang pasti bermain di fikiran rakyat ialah: Apakah tujuan sebenar Adun lantikan ini diwujudkan?
Adakah ia benar-benar untuk memperkukuh institusi demokrasi, atau sekadar menjadi ruang untuk memberi saguhati politik?
Persoalan ini berasas. Berdasarkan Perkara 11A(4)(b) Perlembagaan Melaka (selepas pindaan) yang menyatakan Adun yang dilantik menikmati hak dan keistimewaan yang sama seperti Adun yang dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya.

Pada masa yang sama, Perkara 11B(1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, atas nasihat Ketua Menteri, boleh menamatkan pelantikan seseorang Adun lantikan tanpa kewajipan memberikan alasan.
Peruntukan tersebut turut memperincikan bahawa penamatan boleh dibuat atas alasan kepentingan negara atau negeri Melaka, kepentingan keselamatan negara atau bagi melaksanakan dasar kerajaan dan dasar awam.
Malah, Perkara 11B(2) menyatakan tafsiran mengenai kepentingan negara atau negeri Melaka, kepentingan keselamatan negara, dasar kerajaan dan dasar awam ditentukan secara mutlak oleh kerajaan negeri. Keputusan tersebut adalah muktamad serta tidak boleh dicabar di mahkamah.
Justeru, jika seseorang Adun lantikan bersikap kritikal terhadap dasar kerajaan negeri, apakah jaminan bahawa beliau tidak akan disingkirkan sewenang-wenangnya hanya kerana menjalankan fungsi semak dan imbang?

Saya boleh menyokong cadangan Adun lantikan sekiranya ia benar-benar memenuhi keperluan institusi demokrasi, khususnya untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri.
Sebagai contoh, kerusi Adun lantikan boleh diwujudkan bagi memenuhi ambang minimum atau kuota pembangkang, (dengan batasan keistimewaan tertentu) sekiranya tiada calon pembangkang memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri, seperti di Terengganu, atau apabila jumlah kerusi pembangkang terlalu kecil sehingga fungsi semak dan imbang menjadi lemah.
Ambil contoh negara jiran wujud Non-Constituency Member of Parliament (NCMP).
Jika jumlah ahli parlimen pembangkang yang menang kerusi pilihan raya kurang daripada 12 orang, pada masa sama calon pembangkang yang kalah memperoleh peratus undi tertinggi dalam kalangan calon yang kalah, maka dia akan ditawarkan kerusi sebagai NCMP.

Sekiranya konsep Adun lantikan mahu diperkenalkan, objektifnya harus jelas dan berteraskan prinsip yang sama iaitu memperkukuh institusi Dewan Undangan Negeri melalui semak dan imbang yang lebih berkesan, bukannya sekadar menambah bilangan penyokong kerajaan.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ merupakan pengerusi Bersih sejak Dis 2023.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/f64b91542b9120f474d8473675b9ef1a.jpg)
