ULASAN | Wartawan dan kerusi urut Madani
ULASAN | Zaman saya menjadi pemberita jalanan (beat reporter) dan ketika menjadi pengarang (1969-2017), ungkapan yang kerap didengar adalah "don't just sit on your butt".
Maksudnya, lebih kurang, jangan duduk saja tanpa melakukan sesuatu yang berfaedah.
Waktu itu, wartawan dan pengarang berlumba mencari berita eksklusif dan "scoop". Kena "scoop" adalah malu besar.
Wartawan yang banyak buat berita eksklusif dan dapat "scoop" cepat naik pangkat, bonus tinggi dan kerap diberi tugasan luar negara.

Bilik berita dan kelengkapan pejabat tidaklah selesa dan canggih macam hari ini.
Bukan itu saja, rupa-rupanya mereka juga diberi layanan "massage chair" (kerusi urut) oleh Kerajaan Madani.
Itulah yang mereka lapor Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil kata di Kongres Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka, 15 Ogos lepas.
Akhbar The Malay Mail melaporkan: "Control the media? We even give them massage chairs, Fahmi tells PKR congress".

Sama ada beliau serius, berseloroh atau terlepas cakap, saya harap wartawan dan pengarang tidak selesa sangat dengan kerusi urut Ahmad Fahmi itu sehingga leka dan lupa prinsip kewartawanan.
Mereka kena sentiasa ingat, pemerintahan yang ada hari ini bukan pemerintahan biasa-biasa. Ia adalah pemerintahan reformasi yang madani dan syumul.
Cabaran terhadap wartawan dan pengarang hari ini bukan berlawan dengan media sosial mengenai kepantasan. Mustahil media arus perdana boleh bersaing dengan orang awam yang menggunakan media sosial dan berada di mana-mana saja.
Itu bukan pun peranan media arus perdana dan wartawan profesional. Tugas mereka adalah melaporkan fakta yang sah dan tepat dengan disusuli oleh analisis yang memberi kefahaman terhadap berita - "making sense of the news".

Tetapi kalau wartawan dan pengarang leka atau berasa terhutang budi kepada Kerajaan Madani dan Ahmad Fahmi kerana bagi kerusi urut, susahlah hendak tulis kupasan yang tajam dan mendalam.
Dulu-dulu, masa jadi pembangkang, para otai reformasi menuduh kerajaan kejam kerana gantung surat khabar. Tapi masa itu, wartawan dan pengarang berani tidak setuju dan lawan kerajaan sehingga akhbar dan platform mereka diharamkan.
Sekarang, pembangkang yang dulu tuduh kerajaan maha zalim dan maha firaun sudah jadi kerajaan.
Saya tidak pasti apa perasaan wartawan dan pengarang hari ini dan bagaimana mereka menggunakan kerusi urut Kerajaan Madani yang Ahmad Fahmi berikan itu.
A KADIR JASIN bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/d2e79f8810d0ff01497c4343e2959ea3.png)
