ULASAN SUKAN | Tidak dinafikan, ramai yang kerap terpanggil untuk bertanya: kenapa Malaysia tidak pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia.

Menambah rasa ingin tahu sekali gus cemburu, Filipina, Thailand dan Indonesia sudah merasa bangga menjadi hos.

Manila melakar nama sebagai negara pertama dari rantau Asia Tenggara menjadi tuan rumah pada 1954. Namun, Thailand nyata paling hebat dalam penganjuran sukan terbesar Asia itu apabila menjadi hos sebanyak empat kali iaitu pada 1966, 1970, 1978 dan 1998.

Indonesia pula mendapat penghormatan sebanyak dua kali iaiitu pada 1962 (Jakarta) dan 2018 (Jakarta/Palembang).

India pula menjadi tuan rumah pertama apabila temasya berkenaan julung kali dianjurkan pada 1951 di New Delhi.

Isu ini dibangkitkan bukan bermaksud kita mahu melabelkan Malaysia gagal dalam bidaan, tapi ada juga beberapa faktor berkaitan yang disebut menjadi halangan.

Ia termasuk kekangan kewangan. Ada juga pada satu masa, peluang kita menjadi hos seperti sudah diragut negara lain.

Malaysia ialah sebuah negara sukan (sporting nation) yang dihormati di peringkat Asia, khasnya semasa era 1960-an sehingga 1980-an. Justeru tentu berasa aneh kenapa kita tidak mendapat peluang walau pun sekali.

Andai mahu dibandingkan dengan negara lain – khususnya negara tetangga – kita mendahului dalam pencapaian cabang sukan popular seperti bola sepak, badminton, olahraga dan basikal lebuh raya, umpamanya.

Faktor kelebihan kewangan, ekonomi

Semua itu adalah acara sukan Olimpik. Di sini, soal kenapa Malaysia tidak membuat bidaan tidak harus dijadikan bahan perdebatan.

Carian dalam talian menunjukkan negara kita pernah membuat tawaran selaku tuan rumah Sukan Asia 2006. Usaha itu malah dilakukan sejak senam tahun lebih awal.

Ketika itu kita yakin berjaya kerana pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 dengan pencapaian yang cemerlang.

Dikhabarkan juga, bagi tujuan itu kita sudah memiliki satu pasukan penuh berpengalaman untuk menganjurkan sebuah lagi temasya sukan terbesar dunia di bumi sendiri.

Tanpa mahu memanjangkan bicara, sebuah negara yang kaya tanpa sebarang latar belakang atau budaya sukan berjaya memintas dan memenangi undian.

Doha mengesahkan hak selaku tuan rumah ketika mesyuarat agung Majlis Olimpik Asia (OCA) di Busan, Korea Selatan. Bandar raya itu mendapat 22 daripada 41 undi pada pusingan pertama lalu mengatasi Kuala Lumpur dan Hong Kong.

Sebenarnya, Qatar tidak berdepan sebarang persoalan atau pun tiada dakwaan untuk membuktikan bahawa mereka menang menggunakan kuasa dan kekayaan.

Namun, pembida lain secara terbuka difahamkan beranggapan kemenangan Doha adalah atas pengaruh kewangan dan kekayaan ekonomi.

Kita kena akur saja dengan keputusan muktamad dibuat oleh OCA pada hari berkenaan walaupun delegasi dari Kuala Lumpur dipercayai amat kecewa.

Qatar – secara kebetulan – adalah tuan rumah bagi edisi 2030 pula. Negara Teluk itu dipilih sekali lagi pada 16 Dis 2020 di Muscat, Oman.

Selepas itu, Malaysia dikatakan mencuba sekali lagi membuat bidaan untuk menjadi hos bagi Sukan Asia 2010. Tetapi kali ini tuntutan oleh badan induk benua itu semacam agak sukar mahu ditunaikan.

Hal itu kerana, jika Kuala Lumpur mahu jadi hos, kita perlu menyediakan tahap kawalan keselamatan terbaik kepada atlet dan pegawai. Permintaan ini difahamkan tidak dapat dipenuhi atas sebab kos yang dianggap terlalu tinggi pada masa itu.

Kita menjadi pembida terakhir untuk keluar daripada persaingan itu. Senario itu menyaksikan Guangzhou dari China terpilih.

Membina keperluan asas

Bermula pada 2008, krisis kewangan global melanda hampir setiap negara yang membangun, termasuk Malaysia. Ia menjadikan usaha menjadi tuan rumah Sukan Asia semakin sukar. Sudah tentu kerajaan memilih untuk menjaga kestabilan ekonomi negara.

Apa pun, pada pengamatan penulis, saat terbaik untuk menjadi tuan rumah mungkin pada edisi 2002 kerana empat tahun sebelum itu kita sudah berjaya membuktikan kemampuan sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

Kita juga menjadi hos Sukan SEA 2021 dan dipercayai memberikan bebanan kewangan dan kelesuan penganjuran yang mungkin berat untuk digalas.

Tidak dinafikan tumpuan lebih terarah bagi persiapan menjelang Sukan Komanwel pada ketika itu. Memang temasya berkenaan menjadi agenda utama negara dalam kalendar sukan antarabangsa.

Sebelum KL ’98 bermula, kita menyediakan segala kemudahan dan infrastruktur sukan bertaraf dunia. Kita membina kompleks sukan moden dan baru di Bukit Jalil khas untuk temasya membabitkan 74 negara anggota Komanwel.

Program Menjelang ’98 sebagai persiapan jangka panjang atlet juga membutirkan hasil baik berbaloi dengan pelaburan.

Keringatnya berbalas apabila kontinjen negara berjaya meraih 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa untuk menghuni tangga keempat terbaik secara keseluruhan - sekali gus mencipta sejarah pencapaian terbaik setakat ini.

Jadi, dengan pengalaman itu serta prestasi atlet yang nampak konsisten, sifat ghairah mahu menjadi tuan rumah bagi peringkat benua itu makin membuak-buak.

Segala aspek dari segi ketersediaan infrastruktur sudah wujud jika kita berhajat mahu menjadi tuan rumah Sukan Asia 2002. Gelanggang serba moden yang menepati keperluan antarabangsa sudah terbina.

Cuma, agaknya faktor garis masa kejohanan lain membuat ia tidak praktikal pada ketika itu.

Namun, timing selepas tempoh empat tahun KL ’98 itu amat sesuai kerana kesinambungan pencapaian atlet negara sedang berterusan dengan baik. Momentum pun sudah ada.

Untuk rekod, Malaysia membuat bidaan Sukan Komanwel pada 21 Julai 1992. Pada hari pengundian KL menewaskan Adelaide, Australia dengan keputusan 40 berbalas 25 undi dalam Mesyuarat Agung Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) di Barcelona, Sepanyol.

Apa pun, Bukit Jalil tetap bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia satu hari nanti. Sehingga detik itu, ia adalah a missing puzzle piece buat negara ini.