ULASAN | Selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kerjasama BN dan PAS semakin menguntungkan kedua-dua pihak.. Pakatan ini menjadi faktor kuat kerjasama ‘perpaduan ummah’ dibahaskan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) September lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan memberitahu PAS untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai tanda ‘ikhlas’ persahabatan mereka membentuk kerajaan negeri bersama.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memulangkan buah keras kepada Timbalan Presiden Umno itu dan menegaskan Terengganu masih stabil di bawah pentadbiran PAS pimpinan Menteri Besar Ahmad Samsuri.

Malah, PAS melalui Pengarah Pilihan Raya, Sanusi Md Noor menegaskan parti itu akan mempertahankan kerusi yang mereka menangi dan mengharapkan kaedah lebih terbuka dalam soal rundingan kerusi bersama BN.

Terkini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamad melihat kewajaran PAS memberi satu pertiga kerusi Parlimen dan DUN di negeri ditadbir PAS. Ini sebagai satu balasan menunjukkan PAS ikhlas menjalinkan kerjasama dengan Umno menjelang PRU16.

Pandangan ini tidak dipersetujui oleh Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid, yang melihat tawaran itu tidak berprinsip dan sekadar untuk menang pilihan raya.

Meskipun keadaan ini masih di peringkat awal, isu ini menimbulkan pelbagai persoalan tentang sejauh manakah BN dan PAS dapat menjadi sekutu yang sekufu pada PRU16.

Apakah senario yang akan berlaku pada PRU16? Adakah kedua-dua 'Abang Besar Melayu' ini boleh duduk dengan tenang dalam strategi menang PRU16?

Umno hangus di SG4

Suka atau tidak, Umno-BN perlu merampas semula kerusi Parlimen di negeri SG4 seperti Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan jika ingin dominan. Tetapi, Umno kelihatan hilang pengaruh Melayu di kawasan ini sejak PRU14.

Data PRU13 dan PRU14 menunjukkan BN mempunyai lima kubu kuat di Kelantan, iaitu Jeli, Gua Musang, Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Perkara ini berubah apabila kelima-lima kerusi ini telah dimenangi Perikatan Nasional (PN). Paling mengejutkan kekalahan figura utama BN Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah kepada calon baharu PN.

Untuk rekod, BN mempunyai sifar kerusi di Terengganu. Hasil gelombang hijau PAS pada PRU15, Umno hilang 10 kerusi DUN dan dua parlimen kepada PAS. Dominasi 32-0 PAS di Terengganu melambangkan kekuatan PAS dalam mendapat sokongan Melayu.

Begitu juga dengan Kedah. Pada PRU13, BN mempunyai 10 parlimen antaranya Baling, Padang Terap, dan Kubang Pasu. Gelombang perubahan rakyat pada PRU14 menyaksikan BN hanya berjaya mempertahankan dua kerusi parlimen yakni Padang Terap dan Baling. Gelombang hijau pada PRU15 telah menyebabkan kerusi BN hangus dan berjaya ditawan PN.

Angka-angka ini menunjukkan realiti politik Melayu beralih kepada PAS berbanding Umno. Selepas bersama Kerajaan MADANI, Umno membuat comeback di negeri Melayu Selatan seperti Negeri Sembilan dan Johor.

Dari sudut berbeza, PAS melalui PN berjaya menakluk kubu kuat Umno di Parlimen Jasin dan Masjid Tanah pada PRU15. Sebab itu, PAS mempunyai pengaruh untuk menuntut beberapa kepentingan dengan Umno Melaka menjelang PRN pada 14 November 2026. Persoalannya, sejauh manakah Umno mampu merampas kerusi ini daripada PAS?

Umno di hadapan

Meskipun Umno mempunyai 27 kerusi di Dewan Rakyat, mereka tetap mempunyai sumber yang lebih besar bagi menyokong gerak kerja di lapangan. Sejak pembentukan Kerajaan MADANI, Umno bergerak dominan dalam agensi-agensi menjaga hal ehwal bumiputera, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Jentera-jentera kementerian ini sudah sebati dengan gerak kerja Umno sejak sekian lama. Kesediaan ini memberi keyakinan kepada Umno menawan semula kerusi-kerusi Melayu daripada PAS disebelah Utara dan Pantai Timur. Namun, penguasaan sumber PAS di negeri SG4 juga akan menjadi saingan utama Umno dalam PRU16.

Faktanya, PRU16 akan menyaksikan penyertaan signifikan parti Melayu. Umno akan menemui jalan sukar kerana parti seperti Pejuang, Bersatu dan Wawasan tidak akan mengalah untuk bertanding di kerusi Melayu. Tetapi, ketiga-tiga parti buat masa ini, bukan di tahap yang terbaik untuk bersaing dengan Umno.

Umno perlu menambah sekurang-kurangnya 50 hingga 60 kerusi pada PRU16 demi kembali dominan. Sebahagian besar kerusi ini perlu diperoleh semula di kerusi yang PN menangi, khususnya di Pantai Timur dan Utara. Umno juga mempunyai tugas besar merampas kerusi Melayu di Selangor seperti Tanjong Karang dan Sungai Besar bagi menambah kekuatan kerusi Parlimen.

Selain itu, Umno mempunyai kelebihan untuk mendapatkan undi bukan Melayu dengan adanya rakan MCA dan MIC, khususnya di kerusi bandar dan separa bandar. Berbeza dengan PAS yang tidak mempunyai kekuatan dalaman untuk menyantuni pengundi bukan Melayu. Malah, Parti Gerakan yang menjadi rakan PAS dalam PN langsung tidak setanding dengan MCA atau DAP dalam mendapatkan undi bukan Melayu.

Mampukah Umno?

Momentum hari ini jelas menunjukkan Umno mempunyai misi menguasai semula Putrajaya pada PRU16. Cabaran terbesar Umno bukan sekadar kembali ke Putrajaya, tetapi menembusi kubu PAS di Pantai Timur dan Utara. Tanpa kemenangan signifikan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, impian menguasai semula politik Melayu hanya tinggal retorik.

Bagi PAS, kerjasama dengan Umno mungkin membuka laluan ke Putrajaya, tetapi persoalan kerusi bakal menguji keikhlasan kedua-dua pihak. PAS tidak mudah menyerahkan kerusi yang dimenangi, manakala Umno tidak mungkin berpuas hati sekadar menjadi rakan pelengkap.

Jika masing-masing enggan berkompromi, perpaduan ummah boleh terkubur sebelum PRU16. Akhirnya, persoalannya bukan siapa paling lantang melaungkan perpaduan Melayu, tetapi siapa sanggup mengorbankan kuasa demi kemenangan bersama.


FAKHRURRAZI RASHID ialah pembaca Malaysiakini yang gemar mengikuti perkembangan isu politik negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.