ULASAN | Integriti sering dibincangkan dalam konteks rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kelemahan tadbir urus. Namun, persoalan integriti sebenarnya jauh lebih substantif daripada sekadar pelanggaran peraturan atau kegagalan mematuhi prosedur. Integriti berkait rapat dengan keutuhan jiwa, pertimbangan moral dan keselarasan antara kata-kata dengan perbuatan.

Apabila kejujuran terhakis, amanah dikhianati dan kepentingan peribadi mengatasi tanggungjawab bersama, masyarakat bukan sahaja berhadapan dengan krisis etika, malah mengalami kemerosotan nilai kemanusiaan.

Dalam menelusuri persoalan ini, pemikiran Raja Ali Haji (1808–1873), seorang sarjana, ulama, pujangga dan pemikir ketatanegaraan Melayu dari Riau-Lingga, wajar diberikan perhatian.

Melalui karya Gurindam Dua Belas dan Thamarat al-Muhimmah, dia membahaskan pembentukan akhlak, tanggungjawab kepimpinan, keadilan dan hubungan manusia dengan Tuhan.

Walaupun istilah integriti dalam pengertian moden tidak digunakan secara langsung oleh beliau, nilai yang mendasari pemikirannya memperlihatkan suatu gagasan integriti yang menyeluruh.

Keistimewaan pemikiran Raja Ali Haji terletak pada keupayaannya menghubungkan keutuhan peribadi dengan kesejahteraan masyarakat dan kewibawaan pemerintahan. Bagi Raja Ali Haji, kemuliaan manusia tidak ditentukan oleh kedudukan atau kekuasaan, tetapi nilai akhlak dan tanggungjawab yang dilaksanakan.

Pemikiran itu bukan sekadar warisan intelektual Melayu, malah mempunyai nilai kritis untuk menilai kemerosotan moral masyarakat Malaysia hari ini.

Dalam pemikiran Raja Ali Haji, integriti bermula daripada pembentukan jiwa.

Seseorang tidak dianggap berintegriti hanya kerana mematuhi peraturan atau menghindari kesalahan ketika diawasi. Integriti sebenar lahir daripada kesedaran moral yang mendorong seseorang melakukan perkara yang benar meskipun tidak diperhatikan orang lain.

Dengan kata lain, integriti merupakan kesatuan antara keyakinan, pemikiran, pertuturan dan tindakan.

Gagasan itu dapat ditelusuri melalui Fasal Pertama Gurindam Dua Belas yang menghubungkan pegangan agama dengan kemuliaan insan.

'Umpama mulut ada pekong'

Raja Ali Haji mengungkapkan, “Barang siapa tiada memegang agama, sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama”. Dia turut menegaskan, “Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahNya tiada ia menyalah”.

Kedua-dua rangkap itu memperlihatkan bahawa agama merupakan asas pembentukan pertimbangan moral. Kesedaran terhadap perintah dan larangan Allah SWT membentuk manusia yang memahami batas antara kebenaran dengan kebatilan.

Dalam konteks integriti, kesedaran ketuhanan melahirkan rasa pertanggungjawaban yang tidak bergantung pada pengawasan manusia atau ketakutan terhadap hukuman semata-mata.

Pemikiran itu amat relevan ketika masyarakat semakin memperlihatkan jurang antara pengetahuan agama dengan pengamalan nilai. Seseorang mungkin memahami tuntutan kejujuran, keadilan dan amanah, tetapi pengetahuan itu tidak semestinya tercermin dalam tindakannya.

Di situlah terletaknya persoalan sebenar krisis moral, iaitu kegagalan manusia menterjemahkan nilai yang diketahui kepada amalan yang dihayati.

Raja Ali Haji turut memberikan perhatian terhadap kejujuran sebagai asas hubungan sesama manusia. Dalam Fasal Keempat Gurindam Dua Belas, dia menyatakan, “Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong”.

Ungkapan itu menggambarkan betapa seriusnya perbuatan berdusta dalam pertimbangan moralnya. Pembohongan bukan sekadar kesalahan pertuturan, tetapi mencerminkan kerosakan akhlak yang boleh menjejaskan kepercayaan sosial.

Apabila seseorang membiasakan diri memutarbelitkan kebenaran, kejujuran akhirnya kehilangan nilai sebagai prinsip kehidupan.

Fenomena itu dapat dikaitkan dengan realiti masyarakat digital yang semakin terdedah kepada fitnah, berita palsu, manipulasi maklumat dan penghinaan terhadap maruah individu. Kebebasan bersuara tanpa tanggungjawab moral boleh menjadikan ruang komunikasi sebagai medan permusuhan.

Lebih membimbangkan, kebenaran kadangkala diketepikan demi kepentingan kelompok, pengaruh dan keuntungan peribadi.

Persoalannya bukan sekadar mengapa manusia berbohong, tetapi mengapa pembohongan semakin mudah diterima apabila memberikan keuntungan tertentu. Apabila kebenaran ditundukkan kepada kepentingan, masyarakat kehilangan asas kepercayaan yang menjadi tunjang kehidupan bersama.

Oleh itu, pemikiran Raja Ali Haji mengingatkan bahawa integriti tidak boleh dibina melalui slogan atau kempen semata-mata. Integriti menuntut pembentukan jiwa yang menjadikan kejujuran sebagai prinsip dan kebenaran sebagai pedoman tindakan.

Amanah, keadilan ukuran kepimpinan

Pemikiran Raja Ali Haji menjadi lebih mendalam apabila diteliti melalui Thamarat al-Muhimmah, sebuah karya ketatanegaraan yang membincangkan tanggungjawab pemerintah, struktur pentadbiran dan prinsip keadilan.

Dalam karya tersebut, kekuasaan tidak digambarkan sebagai hak mutlak untuk memenuhi kehendak peribadi. Sebaliknya, kekuasaan merupakan amanah yang perlu dilaksanakan berdasarkan tuntutan agama, ilmu dan keadilan.

Gagasan tersebut turut terserlah dalam Syair Nasihat pada bahagian penghujung karya berkenaan. Raja Ali Haji mengingatkan, “Ayuhai anakanda muda remaja, jika anakanda menjadi raja, hati yang betul hendak disahaja, serta rajin pada bekerja”.

Dia seterusnya menegaskan, “Kerja kebajikan janganlah malas, zahir dan batin janganlah culas, Jernihkan hati hendaklah ikhlas, seperti air di dalam gelas”.

Petikan ini itu prinsip kepimpinan yang jelas. Hati yang betul merujuk kepada kelurusan niat dan pertimbangan moral, manakala kerajinan menggambarkan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab.

Ungkapan “zahir dan batin janganlah culas” membawa makna lebih mendalam, iaitu pemimpin perlu memastikan keselarasan antara penampilan luaran dengan keikhlasan dalaman.

Dalam konteks kepimpinan semasa, seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan kepetahan berucap, imej yang dibina atau kedudukan yang dimiliki semata-mata. Ukuran sebenar kepimpinan terletak pada keupayaan menunaikan amanah, membuat keputusan yang adil dan memberikan manfaat kepada masyarakat.

Pemimpin yang hanya mementingkan persepsi tanpa kesungguhan melaksanakan tanggungjawab sebenarnya telah mengabaikan hakikat kepimpinan itu sendiri.

Selain amanah, Raja Ali Haji meletakkan ilmu sebagai asas kepada keadilan. Beliau mengungkapkan, “Ilmu itu besar faedahnya, membezakan hak dengan batilnya, mengetahui rakyat benar salahnya, supaya dihukum dengan adilnya”.

Petikan ini memperlihatkan bahawa keadilan memerlukan ilmu dan kebijaksanaan. Niat yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya seseorang tidak mempunyai pengetahuan untuk menilai sesuatu perkara dengan tepat.

Keputusan yang adil menuntut pertimbangan berdasarkan kebenaran, bukti dan prinsip yang sewajarnya.

Kebobrokan moral krisis nilai masyarakat

Pemikiran itu wajar dijadikan asas penilaian terhadap gejala penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme dan konflik kepentingan. Apabila kedudukan digunakan untuk memperoleh keuntungan peribadi atau memberikan keistimewaan kepada kelompok tertentu, amanah telah diselewengkan.

Lebih serius, tindakan sedemikian merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan bersama.

Kelemahan integriti tidak semestinya berpunca daripada ketiadaan peraturan. Sebaliknya, peraturan yang baik juga boleh dimanipulasi apabila individu yang melaksanakannya tidak mempunyai pertimbangan moral.

Oleh itu, pembinaan institusi berintegriti perlu bermula dengan pembentukan manusia yang beramanah dan adil. Kewibawaan pemimpin bukan terletak pada besarnya kuasa, tetapi pada kebijaksanaan menggunakan kuasa untuk kepentingan masyarakat.

Kebobrokan moral masyarakat tidak berlaku secara mendadak. Kemerosotan itu berkembang apabila nilai kejujuran, kesederhanaan, tanggungjawab dan hormat terhadap orang lain semakin kehilangan tempat dalam kehidupan.

Sikap mementingkan diri, ketamakan material, budaya menunjuk-nunjuk dan ketidakpedulian sosial merupakan antara gejala yang memperlihatkan kelemahan penghayatan nilai.

Raja Ali Haji memberikan perhatian terhadap persoalan ini melalui penekanannya terhadap penguasaan diri dan pemeliharaan pertuturan. Dalam Fasal Keempat Gurindam Dua Belas, dia mengingatkan, “Mengumpat dan memuji hendaklah fikir, di situlah banyak orang yang tergelincir”.

Petikan itu memperlihatkan bahawa pertuturan bukan perkara remeh dalam pembentukan akhlak. Setiap kata mempunyai kesan terhadap maruah, hubungan dan kepercayaan sesama manusia.

Pujian yang tidak ikhlas boleh menjadi alat manipulasi, manakala umpatan boleh mencetuskan permusuhan dan meruntuhkan keharmonian. Dalam Fasal Ketiga, Raja Ali Haji turut menegaskan, “Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah”.

Peringatan itu mempunyai hubungan langsung dengan budaya komunikasi masyarakat digital. Media sosial yang sepatutnya menjadi ruang penyebaran ilmu semakin kerap disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian, penghinaan dan tuduhan tanpa asas.

Kebebasan bersuara tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan untuk mengabaikan adab dan tanggungjawab.

Raja Ali Haji juga mengibaratkan hati sebagai pusat yang menentukan tingkah laku manusia. Dalam Fasal Keempat, dia menyatakan, “Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun rubuh”.

Asas pembentukan manusia

Ungkapan itu membawa pengertian bahawa kerosakan tindakan sering bermula daripada kerosakan dalaman. Hati yang dikuasai sifat dengki, sombong, tamak dan kebencian akan mempengaruhi cara seseorang berfikir serta bertindak.

Dalam kehidupan bermasyarakat, kelemahan moral individu boleh berkembang menjadi kerosakan sosial apabila sifat tersebut diterima sebagai kebiasaan.

Persoalan tersebut turut berkait dengan budaya mengejar kejayaan material tanpa pertimbangan etika. Kekayaan, pangkat dan pengaruh semakin dijadikan ukuran kejayaan sehingga cara mendapatkannya kurang diberikan perhatian.

Akibatnya, manusia berisiko menghalalkan pelbagai tindakan demi mencapai matlamat. Keadaan itu memperlihatkan kekeliruan dalam memahami makna kemuliaan. Kejayaan yang tidak disertai akhlak hanya melahirkan kelebihan luaran tanpa keutuhan peribadi.

Namun demikian, kebobrokan moral tidak wajar diletakkan sepenuhnya pada kelemahan individu. Persekitaran sosial dan budaya organisasi turut mempengaruhi pembentukan tingkah laku.

Pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik tanpa pembinaan watak, kepimpinan yang gagal menunjukkan teladan dan budaya kerja yang menormalisasikan penyelewengan boleh menyuburkan krisis integriti.

Oleh itu, pemulihan moral masyarakat memerlukan usaha menyeluruh. Pendidikan perlu membina pemikiran dan akhlak, institusi perlu menguatkuasakan prinsip keadilan, manakala pemimpin mesti menunjukkan teladan melalui tindakan.

Ketiga-tiga unsur itu saling melengkapi. Tanpa pembentukan individu yang berakhlak, sistem mudah diselewengkan. Tanpa institusi yang adil, nilai baik pula sukar dipertahankan.

Pemikiran Raja Ali Haji memperlihatkan bahawa integriti merupakan asas pembentukan manusia dan pembinaan masyarakat yang bermaruah. Melalui Gurindam Dua Belas dan Thamarat al-Muhimmah, dia menghubungkan keutuhan jiwa, kejujuran, amanah, ilmu dan keadilan sebagai prinsip yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia.

Dalam menghadapi krisis moral masyarakat Malaysia kontemporari, keperluan utama bukan sekadar memperbanyak slogan integriti atau memperketat peraturan. Yang lebih penting ialah membina kesedaran moral yang menjadikan kejujuran sebagai prinsip, amanah sebagai tanggungjawab dan keadilan sebagai ukuran tindakan.

Pemikiran Raja Ali Haji perlu diangkat kembali sebagai sumber intelektual untuk menilai arah pembangunan masyarakat dan kepimpinan negara.

Sesungguhnya, kemajuan negara tidak memadai jika hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, kecanggihan teknologi dan kemegahan infrastruktur. Kemajuan yang bermakna menuntut manusia yang berakhlak, pemimpin yang amanah dan masyarakat yang menjunjung keadilan.

Tanpa integriti, kemajuan hanya memperlihatkan kemegahan luaran yang tidak disertai kekuatan moral. Martabat sesebuah bangsa bukan ditentukan oleh sebesar mana kekayaan yang dimiliki, tetapi oleh seteguh mana nilai kemanusiaan yang dipertahankan.


AHAMAD JAMA' AMIN YANG ialah pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, merangkap felo bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom. Dia boleh dihubungi melalui e-mel ahamadjamaamin@ipgm.edu.my.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.