Cyberjaya, 1 April 2021: Mengekalkan momentum untuk misi 'Mencipta Semula', Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan pelantikan Razif Abdul Razak sebagai Naib Presiden bahagian Pelaburan dan Geran. Razif akan menguruskan inisiatif sedia ada dan yang bakal dilancarkan, bagi menggalakkan pelaburan dalam ekonomi digital Malaysia serta bertanggungjawab untuk menguruskan peruntukan geran bagi kesemua program MDEC. Beliau akan bekerjasama rapat dengan Raymond Siva, Naib Presiden Kanan bagi Pelaburan dan Jenama, juga Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) MDEC.

Dengan peranan baharu ini, Razif akan menerajui usaha pengukuhan integriti kerangka kerja geran dan menyanjung tinggi amalan terbaik dalam penilaian, pembahagian dan pemantauan segala jenis geran yang diuruskan oleh MDEC demi memastikan ia selari dengan objektif untuk menarik pelaburan.

"Misi Mencipta Semula MDEC telah berjaya menarik bakat-bakat kerja berprestasi tinggi dan pemimpin berpandangan jauh dengan pengalaman luas dari sektor awam dan swasta untuk menyertai kami. Dengan pelantikan ini, salah satu fungsi teras MDEC dapat dijajarkan semula untuk jabatan berprestasi cemerlang ini, demi memastikan proses sering ditambah baik seperti pendigitalan pengurusan dan pentadbiran geran. Pengalaman luas beliau akan memastikan cara kerja yang diterapkan akan lebih telus. Ini sekaligus mengukuhkan peranan MDEC sebagai sebuah Agensi Promosi Pelaburan (IPA). Bergerak ke hadapan, MDEC pastinya akan mengambil kesempatan dalam peluang baru dengan agenda mengutamakan rakyat, pemikiran yang didorong masyarakat, sekaligus memacu agenda digital negara ke hadapan," kata Datuk Wira Dr Hj. Rais Hussin Mohamed Ariff, Pengerusi MDEC.

Sebelum menyertai MDEC, Razif merupakan Ketua Pegawai Operasi di Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle). Sepanjang 5 tahun di sana, peranan beliau meliputi perundangan, sumber manusia, pentadbiran dan IT, pemasaran, perkongsian strategik dan kewangan. Beliau berjaya melakukan transformasi termasuk mengemaskini prosedur operasi standard, yang telah menambah baik operasi sumber manusia dan menarik kerjasama strategik yang bernilai tambah. Pada 2018, beliau telah mengambil peranan sebagai Pemangku CEO Kumpulan Cradle dan memperkenalkan Pelan Kesinambungan.

"Dengan meningkatkan keupayaan kepimpinan kami, MDEC mampu melonjakkan negara ke arah Revolusi Industri Keempat (4IR) dengan lebih maju dan mengembleng usaha bagi mencapai jangkauan digital berimpak tinggi. Dengan perlantikan Razif, fungsi pelaburan utama dan geran akan diselarikan demi memastikan kecekapan operasi jabatan yang berpencapaian tinggi ini ditingkatkan. Kehadiran beliau membawa pengalaman luas– dari syarikat pemula (start-up) kepada pembangunan teknologi, perundangan dan pengawalseliaan, pembangunan sumber manusia serta pelaburan – semua ini penting untuk MDEC memenuhi visi negara iaitu digital sebagai satu keutamaan, malahan sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysa (MyDIGITAL)," kata Surina Shukri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC.

Antara pengalaman lain; Razif pernah memangku pelbagai jawatan sebagai ahli lembaga dan kepimpinan di unit pelaburan dan agensi kerajaan. Ramai yang mengenali Razif sebagai Pengarah Eksekutif di Malaysian Business Angel Network (MBAN), Ketua Pegawai Operasi untuk Malaysian Genomics Resource Centre Berhad dan Naib Presiden Kanan untuk Malaysia Biotechnology Corporation.

Sebelum terlibat dalam kepimpinan korporat, beliau bertugas sebagai penasihat perundangan, kerajaan dan hal ehwal regulatori dan perdagangan asing. Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Panel Penasihat Industri untuk Jabatan Perniagaan di KDU University College (dijenamakan semula sebagai University of Wollongong) dan Taylor's University. Beliau sebelum ini juga pernah memangku jawatan penasihat di lembaga pihak berkuasa industri seperti UM Capital Berhad, Malaysian Venture Capital and Private Equity Development Council.

"Sudah pastinya jawatan ini hadir dengan tanggungjawab yang sangat besar. Saya sudah bersedia untuk menyumbang dan tidak sabar untuk menyertai pasukan yang dinamik kerana MDEC adalah peneraju ekonomi digital negara serta semakin mengukuhkan peranannya dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," kata Razif.


Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara ke hadapan.

Ditubuhkan pada 1996 untuk mengawasi pengembangan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia, mandat utama MDEC hari ini adalah untuk mempercepat pertumbuhan rakyat Malaysia yang mahir secara digital, perniagaan bertenaga digital dan menarik pelaburan digital di Malaysia. MDEC fokus untuk mewujudkan pertumbuhan yang inklusif dan berkualiti tinggi melalui inisiatif digitalisasi di seluruh negara yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran 2030 dan dengan tegas menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.

#KitaBinaBersama #MemacuDigitalMalaysiaKehadapan

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif-inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan oleh MDEC sila layari www.mdec.my atau ikuti kami di: Facebook: @mymdec Twitter: @mymdec

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi;
Dashika Gnaneswaran – dashika.gnaneswaran@mdec.com.my
Simon Yap – simon.yap@mdec.com.my