YB. Khairy Jamaluddin lawat galeri pameran interaktif robotik terbesar di Wilayah Utara
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) YB Khairy Jamaluddin hari ini melawat tarikan terbaharu di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU), iaitu galeri pameran interaktif Robotik Terbesar di Wilayah Utara Cybernetics.
Galeri yang berkeluasan 500 meter persegi ini meliputi 6 kluster iaitu Muslim Automation Heritage, Robot Anatomy, Machines in Action, Beat The Machines, Smart Industry dan Persekitaran Interaktif telah siap dibangunkan pada November 2020.

Galeri ini turut mempunyai 19 bahan pameran interaktif, 32 unit robot dan tiga (3) unit e-games yang boleh dilawati dan diterokai oleh pengunjung dari empat buah negeri di Wilayah Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Puan Mismah Jimbun memaklumkan, pembangunan galeri yang mengambil masa selama 8 bulan telah dibangunkan secara terperinci dengan mengambil kira peranan dan teknologi robotik di dalam kehidupan harian. Adalah menjadi harapan PSN agar galeri Cybernetics dapat mencetus daya kreativiti pengunjung dan minat pelajar dalam bidang robotik.
“Malah ia turut mempamerkan pelbagai bahan pameran yang meliputi perkembangan awal teknologi robotik sehinggalah ke perkembangan semasa revolusi industri 4.0,”ujar beliau.

Katanya lagi, disamping menawarkan galeri pameran, Cybernetics juga menawarkan aktiviti pendidikan berkonsepkan robotik iaitu pengaturcaraan untuk pelbagai peringkat umur dari pra sekolah hingga ke peringkat sekolah menengah.
Pembukaan galeri ini bersempena dengan pengoperasian semula PSNCWU yang telah ditutup sebelum ini seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa ini akibat pendemik Covid -19.
Sempena dengan pembukaan PSNCWU ini, PSN turut menyasarkan 120,000 pengunjung pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Hadir sama pada lawatan ini, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Pengarah PSN, Puan Mismah Jimbun.

