CYBERJAYA, 21 Ogos 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuat laporan polis berhubung satu penghantaran bungkusan mencurigakan melalui sebuah syarikat kurier yang menggunakan nama Pengerusi MCMC sebagai penerima.

Hasil semakan awal dengan pihak kurier mendapati penghantar tersebut berdaftar menggunakan nama samaran dan nombor telefon tertentu sejak Jun 2025. Syarikat kurier berkenaan turut merekodkan sebanyak 55 aduan terhadap penghantar ini, termasuk 18 kes penghantaran barang yang tidak dipesan oleh penerima dan 37 kes penghantaran tidak lengkap atau tidak selesai.

Bungkusan berkenaan telah diminta untuk ditahan oleh pihak kurier bagi siasatan lanjut oleh polis.

MCMC memandang serius sebarang bentuk penghantaran mencurigakan yang boleh menimbulkan ancaman, dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan awam serta integriti institusi terpelihara.

MCMC turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada sekiranya menerima bungkusan daripada sumber yang tidak dikenali atau tidak dibuat pesanan. Sekiranya timbul keraguan, orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi pihak berkuasa atau syarikat kurier bagi pengesahan lanjut.


Kandungan ini disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.