Filipina terajui ADMM, ADMM-Plus lepas Malaysia pacu kerjasama serantau
Sorotan penting Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19, dan Mesyuarat ADMM-Plus ke-12 merangkumi inisiatif baharu yang bertumpu kepada memperkukuh kerjasama serantau secara aktif bersama negara ASEAN bagi menangani ancaman daripada keselamatan siber, maritim hingga kepada perlindungan infrastruktur bawah laut.
Mesyuarat yang bertemakan “Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran” itu penting kerana ADMM menjadi platform utama dalam memperkukuh pelbagai mekanisme keselamatan serantau, selaras dengan aspirasi membina komuniti ASEAN yang teguh seperti digariskan dalam Sidang Kemuncak ASEAN.
Mesyuarat ADMM ke-19 kali ini menghimpunkan kesemua 11 negara anggota ASEAN dalam usaha memupuk kerjasama pertahanan serantau yang lebih erat antara Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, dan Timor-Leste.
Timor-Leste diberi ruang sertai ASEAN ikut kemampuan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara perkara penting kali ini ialah kehadiran rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 dalam ADMM dan ADMM-Plus. Beliau menyatakan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan bertumpu kepada pembangunan keupayaan ketenteraan dan keselamatan.
“Kemasukan negara itu menggambarkan komitmen kita terhadap perpaduan, solidariti dan kerjasama inklusif dalam memelihara keamanan serta kestabilan serantau,” katanya pada sidang media yang diadakan sempena ADMM ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, menurut beliau, anggota ASEAN menyedari kemampuan pertahanan Timor-Leste masih pada peringkat awal, justeru, tidak menjangka penyertaan segera negara itu dalam mana-mana latihan ketenteraan bersama.
Sebaliknya, menurut Mohamed Khaled, ASEAN memberi ruang untuk Timor-Leste menyesuaikan diri dengan mekanisme keselamatan serantau serta membina kapasiti pertahanan secara berperingkat.
“Kita beri peluang mengikut kemampuannya, namun kita akan terus memudahcara dan menggalakkan penyertaan negara itu dalam latihan ketenteraan atau maritim apabila mereka sudah bersedia. Kita tidak mahu Timor-Leste berasa terbeban selepas menyertai ASEAN,” katanya.
Malaysia, AS perkukuh kerjasama pertahanan
Tahun ini juga menyaksikan buat julung kali, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan, yang menandakan lebih 40 tahun hubungan dua hala dalam bidang keselamatan, sekali gus memperkukuh komitmen bersama antara kedua-dua negara.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung semasa Mesyuarat Dua Hala antara Mohamed Khaled dengan Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth di luar mesyuarat ADMM ke-19 dan ADMM-plus baru-baru ini.
Dalam kenyataan media bersama, kedua-dua pemimpin antaranya mengumumkan pembaharuan Perjanjian Pemerolehan dan Perkhidmatan Saling (ACSA) serta mengulangi komitmen untuk memuktamadkan beberapa perjanjian dua hala lain melibatkan komunikasi, perkongsian maklumat dan hal ehwal geospatial.
“Kedua-dua pemimpin mengiktiraf kekuatan kerjasama pertahanan antara AS dan Malaysia sebagai tonggak penting kepada Perkongsian Strategik Komprehensif AS-Malaysia,” katanya.
Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua menteri juga menegaskan kepentingan mengekalkan keselamatan maritim di Laut China Selatan yang berperanan sebagai laluan perdagangan utama dunia, di samping menuntut penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara.
Deklarasi Bersama Kuala Lumpur serlah mesej perpaduan dan kestabilan serantau
Acara ADMM ke-19 turut menyaksikan penyerahan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, yang disempurnakan oleh Mohamed Khaled sebagai simbol komitmen berterusan rantau ini terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

Menurut Menteri Pertahanan itu, dokumen tersebut mencerminkan semangat dan keazaman bersama negara anggota dalam memperkukuh perpaduan serantau serta memantapkan pelan tindakan ke arah ASEAN yang aman, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
Deklarasi itu bukan sekadar hasil mesyuarat, tetapi simbol kepada tekad membina masa depan ASEAN yang bersatu dan makmur.
“Sepanjang perbincangan kita, satu mesej yang jelas adalah menunjukkan kekuatan ASEAN bukan terletak pada kuasa atau penguasaan, tetapi pada semangat kerjasama dan dialog," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup ADMM ke-19 baru-baru ini.
ASEAN iktiraf peranan China sebagai tonggak pertumbuhan dan keamanan dunia
Mohamed Khaled menegaskan kerjasama rapat antara ASEAN dan China merupakan teras penting dalam memastikan Asia Tenggara kekal aman, stabil dan makmur.

Beliau berkata, inisiatif yang diketengahkan China seperti Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Peradaban Global (GCI) dan Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) mencerminkan usaha menyeluruh negara itu dalam mempromosikan keamanan, pembangunan serta kerjasama global yang saling menguntungkan.
“Kesemua inisiatif ini jelas menunjukkan bahawa dasar China bukan hanya bertumpu kepada kemajuan negaranya sendiri, tetapi mencerminkan hasrat untuk melihat negara lain turut makmur,” katanya ketika berucap pada Majlis Santapan Tengah Hari Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China, baru-baru ini.
Mohamed Khaled berkata, ASEAN melihat China bukan sekadar rakan strategik, tetapi berfungsi sebagai penggerak kepada pemangkin utama kepada kemakmuran global.
“Kita berharap China terus menegakkan undang-undang antarabangsa, mempromosikan usaha pendamaian serta membantu mencegah konflik sebelum ia berlaku,” katanya.
ADMM-Plus perkenal 11 komitmen baharu
Mesyuarat ADMM ke-19 diteruskan kelmarin dengan pertemuan bersama pemimpin kanan pertahanan lapan negara rakan dialog di bawah kerangka ADMM-Plus.
Selain Amerika Syarikat (AS) yang diwakili Setiausaha Perangnya, Pete Hegseth, tujuh lagi negara rakan dialog ADMM-Plus ialah Australia, China, New Zealand, Russia, India, Jepun dan Korea Selatan.
Negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog menggariskan 11 komitmen utama baharu bagi memperkukuh kerjasama pertahanan, memperkukuh keyakinan serantau dan mengekalkan keamanan di Asia Tenggara sempena ulang tahun ke-15 penubuhan ADMM-Plus.

Dalam kenyataan bersama, para Menteri Pertahanan ADMM-Plus bersama menzahirkan komitmen untuk mengekalkan kerelevanan ADMM-Plus dalam menghadapi cabaran keselamatan yang kian rumit, di samping memastikan kestabilan dan keamanan serantau terus terpelihara.
Antara 11 inisiatif utama yang dipersetujui adalah mengiktiraf kejayaan 15 tahun pelaksanaan kerjasama praktikal yang menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan pelan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025.
Negara anggota komited untuk meningkatkan kerjasama praktikal bagi memperkukuh ADMM-Plus sebagai platform tindakan nyata melalui pelaksanaan Kumpulan Kerja Pakar (EWG) ADMM-Plus.
ADMM-Plus juga berikrar untuk menggalakkan perkongsian maklumat dan memudahkan komunikasi yang tepat pada masanya dan berkesan antara negara-negara anggota termasuk melalui Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN (ADI).
Majlis penyerahan jawatan Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus kepada Filipina
Mohamed Khaled berkata, sepanjang tempoh Malaysia menerajui ADMM ke-19, sebanyak 20 inisiatif utama telah diluluskan dan diterima pakai, satu jumlah tertinggi dalam sejarah ADMM dan ADMM-Plus.
Beliau mengakui bahawa setahun bukan tempoh yang panjang untuk mencapai semua matlamat yang diharapkan.
Namun, katanya, kejayaan menghimpunkan 603 delegasi daripada 19 negara membuktikan kekuatan semangat kerjasama yang wujud dalam kalangan anggota ADMM-Plus.
“Ketika bersiap-sedia untuk menyerahkan tanggungjawab Pengerusi kepada Filipina, izinkan saya berkongsi satu renungan terakhir: Setiap pengerusi di hadapan kita, Laos, Indonesia, dan sebagainya telah meletakkan asas yang kukuh untuk kita bina.
“Dari peringkat perbincangan kerja hingga ke mesyuarat pegawai kanan, dan seterusnya ke pertemuan menteri minggu ini, kerjasama kita menjadi mendalam, bermakna dan menginspirasikan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr, yang mengambil alih tanggungjawab sebagai pengerusi baharu, menzahirkan penghargaan kepada Mohamed Khaled Nordin atas kepimpinan cemerlang Malaysia sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, kepimpinan Malaysia dalam ADMM ke-19 dan ADMM-Plus telah memberikan banyak panduan berharga kepada delegasi Filipina dalam membuat persediaan untuk mengambil alih pengerusi dan seterusnya ASEAN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/9e8b3e5de46a6473cb54722fb9d8613b.png)
