KPJ Healthcare Berhad lapor keputusan kewangan S1 TK2026
Kuala Lumpur, 21 May 2026 – KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan prestasi keputusan kewangan kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, disokong pertumbuhan hasil dan keuntungan yang mampan selaras dengan pelaksanaan transformasi Kumpulan menerusi KPJ Health System (“KPJHS”).
Keputusan Suku Pertama TK2026
Prestasi Kewangan
Hasil meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM1,050 juta.
EBITDA meningkat 11% kepada RM233.3 juta, dengan margin EBITDA sebanyak 22.2%.
PATAMI meningkat 22% tahun ke tahun kepada RM69.6 juta dengan margin PATAMI sebanyak 6.6%, disokong oleh peningkatan intensiti hasil, pengurusan kos berdisiplin dan faedah awal integrasi berasaskan sistem yang dipacu oleh KPJHS.
Prestasi Operasi
Purata hasil bagi setiap pesakit dalam meningkat 6%, manakala purata hasil bagi setiap pesakit luar meningkat sebanyak 7%, disokong oleh campuran kes yang lebih baik dan permintaan berterusan terhadap rawatan yang lebih kompleks dan perkhidmatan kepakaran khusus.
Kemasukan pesakit dalam meningkat 2% kepada 88,863.
Lawatan pesakit luar meningkat 1% kepada 695,332.
Jumlah pembedahan meningkat 2% kepada 27,565.
Kadar penggunaan katil (“BOR”) berada pada 60%, dipengaruhi penambahan kapasiti operasi yang diperkenalkan pada suku tersebut.
Dividen
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.00 sen sesaham, berjumlah RM 44.3 juta yang akan dibayar pada 17 Julai 2026.
Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “KPJ mencatatkan permulaan yang kukuh untuk TK2026 dengan prestasi pertumbuhan hasil yang mampan, peningkatan keuntungan serta intensiti hasil yang lebih tinggi. Ini menunjukkan pulangan awal yang positif daripada peralihan kami ke arah penciptaan nilai yang berasaskan sistem.
Selain daripada pencapaian suku tahunan, penstrukturan semula Kumpulan menerusi Pelan Strategik 2026 – 2030 dan KPJHS turut merupakan fokus utama kami. Kami sedang beralih secara berperingkat daripada model pertumbuhan berasaskan pengembangan kepada model yang penciptaan nilai berasaskan sistem, dengan tumpuan membangunkan sistem kesihatan bersepadu yang dipacu oleh Pusat Kecemerlangan, pendigitalan dan AI, kerjasama akademik serta integrasi operasi yang lebih kukuh.
Kekuatan KPJ terletak pada institusi, keupayaan serta sistem bersepadu yang sedang dibangunkan di seluruh Kumpulan. Inilah yang akan memastikan kualiti pendapatan lebih mampan, meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. Dalam setiap langkah yang diambil, kami tetap komited untuk ‘Care for Life’ pada setiap masa.”
Perkembangan Utama
Perkembangan Kumpulan bagi S1 2026 mencerminkan pelaksanaan berterusan Pelan Strategik 2026 – 2030, yang diterajui KPJHS sebagai pemacu enjin transformasi dan KPJ Care Network sebagai platform penyampaian bersepadu.
Strategi lima tahun ini menandakan peralihan KPJ daripada rangkaian hospital yang beroperasi secara berasingan kepada sistem kesihatan akademik swasta pertama di Malaysia, terus menunjukkan perkembangan positif sepanjang S1 2026 menerusi inisiatif yang memperkukuhkan keupayaan klinikal, akses kepada penjagaan kesihatan dan impak komuniti di seluruh Kumpulan, antaranya:
Mengukuhkan kepimpinan klinikal, KPJ melancarkan Pusat Kecemerlangan (“CoE”) Neurosains dan Strok pertamanya di Damansara Specialist Hospital 2 (“DSH2”) yang juga merupakan CoE kedua yang ditubuhkan di bawah KPJHS.
Menampilkan prosedur lanjutan, Johor Specialist Hospital (“JSH”) berjaya melaksanakan Complex High Indication Percutaneous Coronary Intervention (“CHIP PCI”), iaitu prosedur angioplasti khusus untuk penyakit arteri koronari berisiko tinggi dan kompleks menggunakan teknologi Intravascular Lithotripsy (“IVL”) di CoE Jantung dan Paru-Paru. JSH juga berjaya melaksanakan pembedahan jantung invasif minimum pertamanya, sekaligus memperkukuh keupayaan Kumpulan dalam penjagaan jantung lanjutan.

Tawakkal Specialist Hospital (“TSH”) berjaya melaksanakan pemindahan buah pinggang pertama di KPJ dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam keupayaan klinikal Kumpulan.

Pelantikan Profesor Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid sebagai Ketua Pengarah Perubatan (“CMD”) mengukuhkan lagi tadbir urus serta kepimpinan klinikal di seluruh Kumpulan.
Mengukuhkan lagi pengiktirafan luaran, KPJ merangkul 10 anugerah di Healthcare Asia Awards, iaitu jumlah tertinggi dalam kalangan Kumpulan penjagaan kesihatan Malaysia, termasuk “Hospital Group of the Year – Malaysia” lantas mengukuhkan kedudukan serantaunya dalam sektor penjagaan kesihatan swasta.

Aplikasi KPJ Cares dinobatkan sebagai pemenang emas dalam kategori Health, Wellness and Lifestyle Apps di Asia-Pacific Stevie Awards 2026 yang mencerminkan kemajuan berterusan Kumpulan dalam inovasi digital berteraskan pesakit.
Klinik Waqaf An-Nur (“KWAN”) melaksanakan pendigitalan operasi di tujuh klinik statik dan dua klinik bergerak, sekali gus memperkukuh pengurusan rekod pesakit, pelaporan perubatan serta penyampaian perkhidmatan kesihatan komuniti kepada golongan yang memerlukan, dengan seramai 14,704 pesakit menerima rawatan sepanjang Q1 FY2026.

Perkembangan Operasi S2 2026
Sebagai sistem kesihatan swasta pertama di Malaysia, KPJ terus memperkukuh agenda transformasi KPJHS merangkumi amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi dengan tumpuan khusus terhadap penggabungan kecerdasan buatan (“AI”), genomik dan penjagaan berasaskan nilai.
Pada suku semasa, KPJ sedang menyusun semula keseluruhan ekosistem perniagaannya meliputi model operasi klinikal, tadbir urus, infrastruktur digital dan AI, platform akademik dan penyelidikan, struktur operasi dan pembangunan bakat, enjin komersial serta kerjasama strategik bagi memastikan keselarasan menyeluruh dengan aspirasi KPJHS.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan, KPJ telah menubuhkan Majlis Tadbir Urus KPJHS dan Future Health Institute Executive Council. Kumpulan juga telah memulakan pembangunan sistem maklumat kesihatan baharu, meneruskan usaha pengambilan secara strategik bagi menarik tenaga pakar dalam bidang klinikal, penyelidikan dan inovasi termasuk rakyat Malaysia di luar negara, memperluas kerjasama dengan institusi bertaraf dunia seperti Royal College of Surgeons of England dan Mayo Clinic serta memperkukuh pendekatan dalam merebut peluang sektor pelancongan kesihatan.
Inisiatif ini akan terus diperkasa sepanjang suku kedua dan ketiga 2026 dan dijangka dapat dilihat melalui pelancaran CoE tambahan dan Future Health Institute. Secara keseluruhannya, inisiatif ini dirangka bagi memperkukuh KPJHS sebagai keupayaan institusi yang mampan dalam mengukuhkan daya tahan Kumpulan merentasi kitaran perniagaan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Prospek Semasa
Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 4% hingga 5% bagi tahun 2026, disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang berterusan. Keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem pembayaran Diagnosis Related Group bagi hospital swasta ke tahun 2027 turut memberikan kejelasan tambahan serta membolehkan keseluruhan ekosistem membuat persediaan yang lebih teratur kea rah perlaksanaa yang lebih lancar dan mampan.
Dalam tempoh mendatang, Kumpulan menjangkakan persekitaran luaran akan terus mencabar susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan. Setakat ini, tiada kesan langsung yang ketara terhadap Kumpulan diperhatikan, namun kami akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti serta mengambil langkah mitigasi yang sewajarnya sekiranya diperlukan.
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/3b3477717fd6c7ce33d03c87c6266344.jpg)
