Nippon Paint Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini menganjurkan sebuah bengkel industri yang menghimpunkan kontraktor dan pemain industri bagi membincangkan satu persoalan yang semakin mendapat perhatian dalam sektor pembinaan negara: adakah taraf serta tahap mutu kerja sistem lantai industri di Malaysia hari ini benar-benar bersedia untuk menyokong keperluan industri generasi baharu?

Seiring usaha Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau bagi pusat data, pembuatan berteknologi tinggi dan sektor-sektor bernilai tinggi, kepentingan sistem lantai industri kini semakin mendapat perhatian. Jika sebelum ini ia sering dianggap sekadar elemen kemasan biasa, hari ini lantai industri dilihat sebagai komponen penting yang memberi kesan langsung terhadap kestabilan operasi, keselamatan dan kecekapan kos jangka panjang.

Dalam persekitaran khusus seperti pusat data, fasiliti pemprosesan makanan dan kilang pembuatan berketepatan tinggi, sistem lantai perlu memenuhi pelbagai keperluan teknikal, termasuk kawalan elektrostatik, ketahanan terhadap bahan kimia, kemampuan menampung beban berat serta pematuhan standard kebersihan yang ketat.

Namun begitu, perbincangan sepanjang bengkel turut memperlihatkan bahawa masih terdapat jurang antara keperluan industri moden dengan tahap kefahaman serta amalan pelaksanaan di tapak binaan ketika ini.

Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Encik Tay Sze Tuck berkata:

“Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam pelbagai sektor yang memerlukan infrastruktur khusus dan kompleks. Namun, sistem lantai industri masih sering dipandang ringan semasa peringkat perancangan dan pelaksanaan. Apabila sistem yang digunakan tidak direka mengikut keperluan sebenar, ia boleh menyebabkan gangguan operasi, risiko keselamatan dan kegagalan system pramatang.”

Vincent Pang, Pengurus Kanan, Segmen Lantai di Bahagian Projek Nippon Paint, Encik Mohd Fakrin dari Impian MNI Sdn Bhd, En. See Kim Hock dari Suria Karak Resources, Encik Noorizan dari JKM Engineering Sdn. Bhd dan Encik Muhammad Salehuddin dari Delonix Green Enterprise

Para kontraktor yang menghadiri bengkel turut berkongsi pengalaman mereka mengenai cabaran sebenar di tapak projek, selain menekankan kepentingan pembelajaran secara praktikal dalam membantu meningkatkan keupayaan industri.

Salah seorang peserta berkongsi:

“Hari ini, akses kepada bahan dan peralatan bukan lagi cabaran utama. Jurang terbesar sebenarnya terletak pada mutu kerja dan pengetahuan teknikal, kerana masih belum ada platform khusus yang benar-benar membantu kontraktor membina pengetahuan yang konsisten dalam bidang ini. Ramai juga masih belum benar-benar memahami sistem lantai industri. Tanpa kemahiran dan aplikasi yang betul, kegagalan masih boleh berlaku walaupun sistem terbaik telah digunakan. Bengkel seperti ini sangat membantu dalam meningkatkan pengetahuan dan keyakinan kontraktor.”

Seorang lagi peserta turut menambah:

“Antara cabaran yang sering berlaku ialah keperluan lantai boleh berubah mengikut perkembangan operasi sesebuah ruang. Apa yang dirancang pada awal projek tidak semestinya sesuai dengan penggunaan sebenar pada masa hadapan, terutamanya apabila operasi berkembang atau berubah. Dalam sesetengah keadaan, masalah juga timbul kerana sistem lantai yang digunakan sejak awal tidak benar-benar sesuai dengan kawasan tersebut, dan ini akhirnya menyebabkan pelbagai isu lain di kemudian hari.”

Beliau turut menegaskan:

“Disebabkan itu, komunikasi antara semua pihak sangat penting sejak fasa awal projek. Bengkel seperti ini membantu kami berfikir lebih jauh tentang kemungkinan keperluan masa depan dan berbincang dengan pelanggan lebih awal supaya sistem yang dipilih benar-benar sesuai.”

Sebagai contoh, pelepasan elektrostatik (ESD) boleh memberi risiko besar dalam persekitaran pusat data kerana gangguan kecil sekalipun mampu menjejaskan peralatan sensitif dan kestabilan operasi. Begitu juga dalam fasiliti makanan, penggunaan sistem lantai yang tidak sesuai boleh menyebabkan risiko pencemaran serta ketidakpatuhan terhadap piawaian industri, sekali gus memberi kesan kepada operasi dan reputasi syarikat.

Seiring perkembangan sektor-sektor ini, keperluan terhadap pengetahuan teknikal serta penyelesaian lantai industri yang sesuai dalam kalangan kontraktor juga menjadi semakin penting.

Bengkel yang diadakan di Pusat R&D Nippon Paint di Shah Alam ini bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada para peserta mengenai cabaran umum dalam sistem lantai industri, pemilihan sistem yang sesuai serta teknik aplikasi mengikut keperluan persekitaran industri moden. Para peserta turut diberi peluang melihat demonstrasi secara langsung mengenai aplikasi sistem lantai industri berprestasi tinggi.

Kontraktor terlibat dalam sesi pembelajaran secara langsung di Pusat R&D Nippon Paint di Shah Alam

Tay turut menambah:

“Ini bukan sekadar sesi perkongsian teknikal, tetapi juga usaha untuk membantu industri bersedia menghadapi masa depan. Jika Malaysia mahu terus menarik pelaburan bernilai tinggi, setiap komponen infrastruktur kita, termasuk sistem lantai industri, perlu dibina mengikut standard global.”

Kerjasama ini turut mencerminkan usaha lebih besar dalam industri untuk memperkukuh mutu pembinaan, mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang dan memastikan sistem asas bangunan benar-benar selari dengan keperluan industri masa depan.

Ketika Malaysia terus memperluas ekonomi digital dan industrinya, usaha menutup jurang ini dengan lebih awal akan menjadi langkah penting dalam membina infrastruktur yang bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi juga benar-benar bersedia untuk masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Nippon Paint dan Total Coating & Construction Solutions (TCCS), sila layari: www.professional.nipponpaint.com.my 


Kandungan ini disediakan oleh Nippon Paint.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my