KPJ Kluang Specialist Hospital laksana prosedur Ablasi Medan Berdenyut FARAPULSE pertama di selatan Malaysia
KPJ Kluang Specialist Hospital (“KPJ Kluang”), sebahagian daripada rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad (“KPJ Healthcare” atau “Kumpulan”), telah berjaya melaksanakan prosedur ablasi medan berdenyut (pulsed field ablation atau “PFA”) FARAPULSE yang pertama di Selatan Malaysia, sekali gus memperluas akses kepada rawatan ritma jantung yang lebih maju di rantau ini di bawah KPJ Health System (“KPJHS”).

Prosedur ini menggunakan teknologi PFA FARAPULSE untuk merawat gangguan ritma jantung seperti fibrilasi atrium. Tidak seperti kaedah ablasi konvensional yang menggunakan tenaga haba, teknologi ini menghantar denyutan elektrik terkawal untuk menyasarkan tisu jantung yang tidak normal secara lebih tepat, sambil meminimumkan kesan terhadap tisu sekeliling.
Sebagai pendekatan invasif minimum, PFA berpotensi menawarkan beberapa kelebihan dari segi klinikal kepada pesakit yang sesuai, termasuk kurangnya rasa tidak selesa dan risiko pembedahan serta tempoh prosedur dan pemulihan yang lebih singkat. Teknologi ini mencerminkan kemajuan berterusan dalam rawatan gangguan ritma jantung dan memperluas pilihan rawatan khususnya bagi pesakit dengan kes yang lebih kompleks.

Prosedur ini diketuai oleh Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Dr Ng Kim Fong bersama pasukan elektrofisiologi jantung KPJ Kluang. Kejayaan ini juga merupakan prosedur PFA FARAPULSE pertama yang dilaksanakan dalam rangkaian KPJ Healthcare oleh seorang pakar residen.
Sebuah lagi pencapaian bagi KPJ Kluang berjaya dilakar apabila ia menjadi hospital swasta pertama di rantau ini yang melaksanakan sebuah prosedur dengan menggunakan Subcutaneous Implantable Cardioverter Defibrillator (“S-ICD”), sekali gus memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus yang ditawarkan.

Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare berkata, “Pencapaian penting ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus di seluruh KPJ Health System, khususnya dalam memperluas akses kepada rawatan gangguan ritma jantung lanjutan di rantau selatan. Pengenalan prosedur seperti FARAPULSE pulse field ablation menunjukkan bagaimana hospital dalam rangkaian kami terus memperkukuh keupayaan subkepakaran serta mengadaptasi pendekatan rawatan yang lebih baharu yang menyokong penjagaan yang lebih tepat dan kurang invasif bagi pesakit. Berpandukan aspirasi Care for Life kami, kami kekal komited dalam memastikan agar komuniti dapat mengakses rawatan pakar lanjutan yang lebih dekat dengan mereka, sambil terus mempertingkatkan kecemerlangan klinikal di seluruh rangkaian hospital kami.”

Dr Ng Kim Fong, Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di KPJ Kluang berkata PFA menyokong pendekatan yang lebih bersasar bagi rawatan gangguan ritma jantung. Beliau menambah, “Teknologi ini membolehkan prosedur dilaksanakan dengan lebih tepat, di samping mengurangkan kesan terhadap tisu jantung di sekelilingnya. Seiring dengan perkembangan bidang elektrofisiologi kardiak, pendekatan sebegini membantu memperluaskan pilihan rawatan serta menyokong penjagaan yang lebih selamat dan kurang invasif bagi pesakit yang sesuai.”
S-ICD ialah sebuah peranti yang digunakan untuk memantau ritma jantung dan menawarkan terapi sekiranya berlaku aritmia yang mengancam nyawa. Berbeza dengan sistem konvensional, peranti ini diimplan di bawah kulit dan tiada sebarang elektrod yang diletakkan di dalam jantung atau saluran darah. Ia sekali gus berpotensi mengurangkan risiko tertentu yang berkaitan dengan prosedur bagi pesakit terpilih.
Sebagai satu-satunya hospital swasta di Kluang yang dilengkapi Makmal Kateterisasi, KPJ Kluang telah melaksanakan hampir 1,450 prosedur kardiak. Prestasi ini menunjukkan pengalamannya yang semakin berkembang dalam intervensi kardiovaskular serta peranannya dalam memperluas akses kepada rawatan kardiak khusus di rantau ini.
Kemajuan ini turut menyokong usaha dalam mengurangkan keperluan pesakit untuk pergi ke pusat bandar utama bagi mendapatkan rawatan kardiak lanjutan mahupun susulan.
Sebagai sebahagian daripada KPJ Health System, kemajuan di KPJ Kluang ini menggambarkan usaha berterusan oleh KPJ Healthcare dalam memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus dan ritma jantung melalui ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu yang merangkumi kepakaran multidisiplin, standard klinikal bersama serta integrasi Practice (Amalan), Education (Pendidikan), Research (Penyelidikan) dan Innovation (Inovasi) di seluruh rangkaian hospital Kumpulan.
Untuk maklumat lanjut mengenai KPJ Kluang, sila layari https://kpjhealth.com.my/kluang
Kandungan ini disediakan oleh KPJ Healthcare Berhad
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/ab2ee6a06225081e0e5cff5103de57c3.jpg)
