Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan nilai memorandum persefahaman (MoU) sebanyak RM8 bilion, sebagai antara hasil utama yang mahu dicapai kerajaan menerusi platform berkenaan bagi memperkukuh sektor agromakanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada sasaran tersebut, kira-kira RM4 bilion dijangka datang melalui kerjasama dengan China manakala selebihnya melibatkan kerjasama dengan negara dan pihak lain.

“Daripada RM8 bilion itu, dianggarkan RM4 bilion daripada China dan RM4 bilion lagi daripada lain-lain negara.

“Lebih 120 MoU yang akan ditandatangani nanti merangkumi pelbagai aktiviti kerjasama. Ada yang melibatkan pertukaran teknologi, ada juga yang ingin melabur di sini dan ada peluang untuk produk-produk kita dieksport ke luar negara.

“Itu merupakan beberapa rangkuman dalam MOU-MOU yang kita ada. Termasuk juga pembangunan kapasiti latihan untuk peladang-peladang dan terutamanya dalam bidang TVET,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) semalam.

Pengunjung memenuhi ruang acara sempena perasmian MAHA 2026 di MAEPS, Serdang 

Perkukuh eksport, kurangkan kebergantungan import 

Mohamad Sabu berkata, MAHA 2026 turut menjadi platform memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi inisiatif MAHA Go Global, termasuk membuka peluang kepada pengusaha kecil menembusi pasaran baharu seperti Asia Tengah dan Eropah Timur.

Menurut beliau, usaha meningkatkan eksport penting bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import makanan yang kini bernilai lebih RM80 bilion, dengan durian dan nanas antara produk yang berpotensi besar.

“Durian kita sudah dieksport ke China. Apabila saya ke China, saya lihat durian kita ada di bandar-bandar besar. Tetapi bandar-bandar kecil di China pun mempunyai jutaan penduduk dan durian kita masih belum dapat diedarkan ke seluruh republik itu. Permintaan masih tinggi,” katanya.

Menurutnya, eksport nanas Malaysia juga telah melebihi RM1 bilion, selain pasaran baharu seperti New Zealand yang baru dibuka kepada pengeksport tempatan.

Jabatan Pertanian mengetengahkan teknologi Pertanian Pintar berasaskan sistem SIMS pada Pameran Agroteknologi di WOW di MAHA 2026 

WOW di MAHA: Pelbagai tarikan, satu pengalaman 

Bagi pengunjung yang mahu meneroka lebih banyak tarikan, pelbagai pengalaman WOW di MAHA 2026 menanti, daripada Pameran Agroteknologi yang mempamerkan kemajuan teknologi pertanian, Pavilion Negeri yang mengetengahkan keunikan setiap negeri, Fiesta dan Empayar Agromakanan yang menyajikan pelbagai juadah istimewa, hinggalah Agrosafari, Kota Keriangan Kanak-kanak, Taman Magika, Pertunjukan Laser Cahaya dan Dron, Rewang Warisan, Sukan Rakyat serta sambutan Ambang Merdeka dan Rhythm of The Farmers (ROTF). 

Menjengah ke segmen agroteknologi, pengunjung dapat melihat penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan tanaman, termasuk aspek pengairan. 

Menurut Penolong Pegawai Jabatan Pertanian, Ridzwam Mohd Fadzil, 38, sistem Crop Water Requirement membantu petani menentukan jumlah air diperlukan berdasarkan keadaan cuaca, berbanding penggunaan pemasa yang menyiram tanpa mengambil kira hujan.

“Kalau air terlebih pun pokok boleh lemas, kalau terlampau kurang pula pokok boleh layu. Ia akan menjejaskan pengeluaran hasil,” katanya.

Menerusi Smart Indication Monitoring System (SIMS) data satelit NOAA, radar satelit dan stesen cuaca digunakan untuk menentukan keperluan pengairan, yang turut boleh disepadukan dengan Internet of Things (IoT) untuk kawalan dari jauh atau secara automatik.

Teknologi itu sekali gus membantu menjimatkan air, elektrik dan diesel, selain mengurangkan keperluan tenaga buruh.

Pengusaha tenunan dari Sabah, Salama Sipin

Sementara itu, WOW di Pavilion Negeri pula mengetengahkan kekayaan warisan tempatan, termasuk seni tenunan tangan dari Keningau, Sabah yang dibawa ke MAHA 2026 bagi memperkenalkan hasil kraftangan tradisional kepada pengunjung Semenanjung. 

Pengusaha tenunan, Salama Sipin, berkata beliau dibawa melalui agensi untuk membuat pameran dan jualan selain memperkenalkan hasil buatan tangan kepada masyarakat yang mungkin belum biasa dengan produk berkenaan.

Menurutnya, harga tenunan tidak boleh disamakan dengan produk yang dihasilkan menggunakan mesin, selain menggunakan benang dan manik yang semakin mahal.

“Tenunan ini 100 peratus menggunakan tenaga manusia, bukan menggunakan mesin. Jadi harga bergantung kepada saiz, termasuk lebar dan panjang tenunan.

“Kalau ada manik atau tulisan tertentu pada tenunan, harganya juga lebih mahal,” katanya.

Pengusaha kek lapis Sarawak, Mohd Sameer Safberi dan Dayang Hasfariza Awang Tajuddin

Salama berkata, antara cabaran yang dihadapi ialah masih terdapat pengunjung yang menganggap harga tenunan berkenaan terlalu tinggi tanpa memahami kos bahan dan proses pembuatannya.

Justeru, beliau berharap penyertaannya di MAHA 2026 dapat membantu orang ramai memahami nilai, usaha dan kos di sebalik setiap hasil tenunan tangan.

Warisan Sarawak pula diketengahkan menerusi Kek Lapis Sarawak di Pavilion Negeri Sarawak, yang menjadi antara produk tempatan untuk diperkenalkan kepada pengunjung MAHA 2026. 

Menurut wakil Kenyalang Layers, Mohd Sameer Mohd Safberi, 30, dan Dayang Hasfariza Awang Tajuddin, 48, penyertaan dalam MAHA 2026 memberi peluang kepada pengusaha kecil memperkenalkan produk Sarawak kepada pasaran yang lebih luas.

“Kalau sebelum ini mungkin produk kita tidak ramai yang mengenali. Tapi apabila kita masuk MAHA, insya-Allah produk kita lebih meluas dan orang dah banyak tahu,” katanya.

Dayang Hasfariza yang sudah lebih 30 tahun mengusahakan kek lapis berkata, sambutan MAHA 2026 juga lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan jumlah pengunjung yang menggalakkan.

Katanya, program seperti MAHA penting untuk membantu meningkatkan pendapatan serta mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Harapan kami supaya MAHA terus membantu meningkatkan pendapatan PKS, supaya semakin berkembang dan semakin dikenali,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke MAHA 2026 di MAEPS, Serdang bagi meneroka perkembangan terkini sektor pertanian dan agromakanan negara serta menikmati pelbagai pengisian yang disediakan.