Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkukuh peranannya dalam memacu transformasi digital sektor agromakanan negara menerusi pelantikan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai Pengesah Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech KPKM. 

Pelantikan yang diumumkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 pada 30 Ogos lalu memperluas mandat MDEC dalam mempercepat penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital merentasi sektor agromakanan. Usaha ini bertujuan meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan penggunaan sumber, memperkukuh keterjaminan makanan serta melonjakkan daya saing industri.

YBrs. Puan Aina Azza Binti Hj. Zaid, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemodenan  Pertanian, KPKM (kiri), menyampaikan surat pelantikan MDEC sebagai Pengesah  Teknologi Digital Strategik Nasional dan Agensi Pelaksana Program Digital AgTech KPKM  kepada Ir. Wan Murdani Bin Wan Mohamad, Naib Presiden, Penerimagunaan Digital,  MDEC (kanan) sambil disaksikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu (kiri) dan  YBhg. Dato’ Sri Norazman Bin Ayob (kanan) di MAHA 2026. 

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran tiga inisiatif strategik, iaitu Platform Pengadaptasian Teknologi Pertanian Digital (i-AGRI), Platform BidFresh dan Program Agrovator@Sekolah. Ketiga-tiga inisiatif itu saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara melalui perancangan berasaskan data, peluasan akses pasaran dan pembangunan bakat masa hadapan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030 dengan memperluas penggunaan teknologi digital dalam sektor ekonomi sebenar. Langkah ini juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030). 

Usaha ini diterajui oleh KPKM dengan kerjasama strategik antara Kementerian Digital, Kementerian Ekonomi, agensi berkaitan, penyedia teknologi, institusi pendidikan, pemain industri serta komuniti pertanian bagi memacu transformasi digital di seluruh rantaian nilai agromakanan negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata, keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi digital merupakan dua agenda strategik negara yang saling berkait rapat.

“Pelantikan ini merupakan satu kepercayaan besar kepada MDEC untuk memastikan teknologi digital dan AI diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada sektor agromakanan dan rakyat. Matlamatnya jelas, iaitu membantu petani dan usahawan tani meningkatkan kecekapan, memperluas peluang pasaran serta memperkukuh daya tahan bekalan makanan negara. 

“Melalui i-AGRI, BidFresh dan Agrovator@Sekolah, kami membina ekosistem yang menghubungkan data, inovasi, pembangunan bakat dan akses pasaran. Selaras dengan MD2030, usaha ini akan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030, di samping membuka lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya. 

Sehingga kini, lebih 800 sistem Digital AgTech termasuk lebih 100 sistem berasaskan AI telah dipasang di seluruh negara oleh syarikat teknologi tempatan berstatus Malaysia Digital (MD). Pelaksanaannya merangkumi subsektor tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur, manakala lebih 30,000 peserta telah menerima latihan serta pendedahan teknologi Digital AgTech. 

Penyelesaian yang diterapkan merangkumi AI, Internet Kebendaan (IoT), automasi, sistem pemantauan pintar dan analisis data bagi membantu meningkatkan hasil pengeluaran, mengurangkan kos operasi serta memperkukuh kecekapan pengurusan ladang dan rantaian bekalan.

i-AGRI Perkukuh Perancangan dan Pemantauan Berasaskan Data 

YBhg. Dato' Sri Norazman Bin Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPKM (kedua dari kanan), bersama Ir Wan Murdani Bin Wan Mohamad, Naib Presiden, Penerimagunaan Digital (kiri) dan wakil MDEC ketika sesi demonstrasi Platform i-AGRI di Pavilion Agritech.

Dibangunkan oleh MDEC bersama KPKM, Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi, Platform i-AGRI merupakan platform bersepadu yang menghimpunkan maklumat mengenai pengadaptasian teknologi bagi subsektor tanaman, ternakan,  perikanan dan akuakultur melalui statistik, peta, carta serta paparan (visual) interaktif. Melalui data yang komprehensif dan terkini, platform ini membantu kerajaan dan pemegang taruh mengenal pasti jurang pengadaptasian digital, memperkukuh  perancangan intervensi dan menyokong proses membuat keputusan yang lebih berkesan. 

BidFresh Perluas Akses Pasaran dan Rantaian Bekalan Digital 

BidFresh pula menghubungkan usahawan tani secara terus dengan pembeli melalui platform digital yang memudahkan padanan pasaran, perkongsian maklumat dan urusan transaksi. Inisiatif ini berpotensi meningkatkan ketelusan pasaran, memperluas peluang perniagaan serta membantu pengusaha tempatan mendapatkan akses yang lebih luas kepada pasaran dan rangkaian pembeli. 

Agrovator@Sekolah Bentuk Generasi Bakat AgTech Masa Hadapan 

Agrovator@Sekolah merupakan inisiatif pembangunan bakat nasional yang memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai AI, IoT, automasi dan pertanian pintar. Dilaksanakan dengan kerjasama DXN Holdings Berhad sebagai Rakan Strategik, inisiatif ini menggabungkan pembelajaran interaktif dan cabaran inovasi bagi memupuk minat terhadap Digital AgTech. 

Fasa pertama telah melibatkan 500 pelajar daripada lebih 80 sekolah di seluruh negara, manakala Fasa 2 dijadualkan bermula pada Oktober 2026. Program ini berujuan memupuk minat generasi muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan di samping serta melahirkan bakat masa hadapan yang mampu menyumbang kepada ekonomi digital negara. 

Pelancaran i-AGRI, BidFresh dan Agrovator@Sekolah mencerminkan pendekatan menyeluruh MDEC dalam menghubungkan data, teknologi, pasaran dan pembangunan bakat bagi mempercepat pengadaptasian Digital AgTech secara lebih meluas dan berimpak tinggi.

MDEC akan terus bekerjasama dengan kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memperkukuh ekosistem Digital AgTech negara ke arah meningkatkan produktiviti, memperkukuh keterjaminan makanan dan menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

Sumber: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi
advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my