Amal kebiasaannya dikaitkan dengan  bantuan makanan, pendidikan dan kemanusiaan. Namun, bagi mereka yang hidup  dengan penyakit kronik, sokongan melalui amal kebajikan boleh membawa makna yang  lebih besar — iaitu peluang untuk terus mendapatkan rawatan kesihatan yang diperlukan. 

Bersempena dengan Hari Amal Antarabangsa pada 5 September 2026, Yayasan Amal  Maaedicare menekankan peranan penting amal kebajikan dalam memastikan kekangan  kewangan tidak menjadi penghalang kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan yang  diperlukan. 

Bagi pesakit dialisis, rawatan bukanlah perbelanjaan sekali sahaja. Rawatan perlu  dilakukan secara berterusan, lazimnya beberapa kali seminggu, dan kekangan  kewangan boleh menyukarkan pesakit untuk mengekalkan jadual rawatan yang  diperlukan. 

Pengalaman seorang pesakit Maaedicare mencerminkan cabaran kewangan dan  praktikal yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan rawatan dialisis jangka panjang.  Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan tiga orang anak, beliau mempunyai  kemampuan kewangan yang terhad dan perlu ke pusat dialisis Maaedicare dengan  menaiki MRT serta berjalan kaki, dan ada kalanya menumpang jiran untuk mendapatkan  pengangkutan. 

Dalam keadaannya, kos rawatan dialisis yang berterusan menjadi satu beban kewangan  yang besar. Beliau hanya mampu membayar sejumlah tertentu untuk rawatan dan  berdepan kemungkinan terpaksa menjalani dialisis hanya dua kali seminggu, selagi mana  kemampuan kewangannya mengizinkan. 

Maaedicare tampil membantu dengan menghubungkan beliau kepada seorang penaja,  sekali gus membolehkannya meneruskan rawatan dialisis yang diperlukan. Pada masa  yang sama, sokongan pengangkutan yang disediakan turut membantu meringankan  cabaran untuk beliau hadir ke sesi rawatan. 

“Jika tidak, saya mungkin terpaksa menjalani dialisis hanya dua kali seminggu, selagi  wang saya mampu bertahan. Tetapi mereka membantu saya mendapatkan penaja dan  memastikan saya dapat meneruskan rawatan. Saya amat berterima kasih atas segala  bantuan dan sokongan yang diberikan,” katanya.

Pengalaman ini menunjukkan bahawa amal kebajikan dalam bidang kesihatan perlu  melangkaui soal kos rawatan semata-mata. Bagi pesakit yang memerlukan, sokongan  yang bermakna juga merangkumi bantuan dalam mengatasi cabaran harian yang boleh  menjadi penghalang untuk mendapatkan rawatan. 

Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, Maaedicare telah membantu lebih 35,000 pesakit  menerusi rangkaian 11 pusat dialisis di sembilan negeri. Pada masa ini, organisasi  tersebut menyokong 769 pesakit dialisis aktif dan telah menyediakan lebih 1.2 juta  rawatan dialisis dalam tempoh sedekad yang lalu. Pusat Diagnostik Jantung Maaedicare  pula telah merekodkan lebih 13,000 kunjungan pesakit, manakala tiga Klinik Amal  Percuma secara keseluruhannya memberi perkhidmatan kepada kira-kira 8,000 pesakit  setiap tahun. 

Seorang lagi pesakit dialisis yang masih bekerja sambil menjalani rawatan turut berkongsi  kata-kata semangat kepada mereka yang hidup dengan kegagalan buah pinggang: 

“Dialisis bukan penghalang bagi kita yang masih bekerja. Kuatkan semangat dan jangan  berputus asa. Insya-Allah, apabila kita mengikuti jadual dialisis, kita akan berasa lebih  sihat dan dapat melihat perubahan pada diri sendiri.” 

Kata-katanya mencerminkan nilai kemanusiaan di sebalik setiap angka — bahawa  dengan akses kepada rawatan dan sokongan yang sewajarnya, pesakit masih mampu  bekerja, menjaga keluarga dan meneruskan kehidupan. 

Bersempena Hari Amal Antarabangsa ini, Maaedicare menyeru orang ramai, syarikat  korporat dan komuniti untuk bersama-sama menyokong pesakit yang memerlukan  bantuan penjagaan kesihatan secara berterusan. Sama ada melalui sumbangan,  kerjasama korporat atau bentuk sokongan lain, setiap sumbangan mampu membantu  menjadikan rawatan kesihatan lebih mudah diakses oleh mereka yang berdepan  kekangan kewangan. 

Untuk menyokong program kesihatan Maaedicare dan membantu pesakit yang  memerlukan, sila hubungi Yayasan Amal Maaedicare di 010-243 1830 atau emel  fundraising@maaedicare.org

Kandungan ini disediakan oleh Yayasan Amal Maaedicare

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my