Kos rawatan perubatan yang semakin meningkat terus menimbulkan kebimbangan terutama apabila hanya 7.7 juta daripada kira-kira 34 juta rakyat Malaysia dilaporkan mempunyai perlindungan insurans kesihatan. 

Justeru, produk standard Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang bakal diperkenalkan, MediAsas bertujuan mengurangkan jurang perlindungan ini dengan menawarkan perlindungan yang boleh diakses dan mampu dikekalkan melalui mekanisme perkongsian risiko berpusat.

MediAsas melengkapi usaha membendung inflasi kos perubatan

Selain memperluas perlindungan, MediAsas juga bertujuan membantu rakyat mengurus kos rawatan di hospital dan klinik swasta dengan lebih baik tanpa menjejaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Perkara ini penting memandangkan 39 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan ditanggung sendiri oleh rakyat berbanding hanya 8 peratus yang dibayar melalui insurans swasta.

Inisiatif ini bertujuan memastikan kos penjagaan kesihatan lebih terkawal dengan menyelaraskan kepentingan syarikat insurans dan hospital selain menambah baik pengurusan kos serta menyokong usaha pendigitalan sistem kesihatan. Langkah ini diharap dapat menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih cekap, menggalakkan perbelanjaan yang lebih berhemah dan memberi hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit.

Bagaimanapun, MediAsas tidak dibina untuk menghapuskan inflasi perubatan yang dipengaruhi faktor seperti beban penyakit semakin meningkat, perubahan demografi, inflasi upah dan kemajuan perubatan.

Sebaliknya, inisiatif di bawah Strategi RESET akan menangani punca kenaikan kos perubatan, manakala MediAsas memberi tumpuan untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat perlindungan perubatan asas. 

MediAsas perkenal kadar DRG untuk seragamkan bayaran hospital 

Bercakap pada sidang media MediAsas MHIT, seorang pegawai berkata, pelan berkenaan akan menyeragamkan manfaat, harga dan keperluan pengunderaitan bagi semua syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) yang mengambil bahagian. 

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation, Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata, MediAsas bakal memperkenalkan kadar Diagnosis-Related Group (DRG), yang mengubah kaedah pembayaran bil hospital daripada sistem pengebilan berdasarkan setiap perkhidmatan dan caj yang dikenakan kepada bayaran tetap bagi keseluruhan kes, berdasarkan faktor seperti diagnosis, prosedur dan tahap keterukan penyakit 

Menurut beliau, rangka kerja ini dibangunkan selepas mendapatkan pandangan daripada ITO, hospital swasta, pihak berkuasa kesihatan, pakar perubatan dan persatuan profesional. 

Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat dengan menggabungkan kaedah DRG dan bayaran mengikut perkhidmatan bagi mengurangkan perubahan terhadap sistem bayaran hospital sedia ada.

“DRG tidak mengubah cara doktor membuat keputusan atau rawatan yang diterima pesakit. Ia cuma mengubah cara hospital menerima bayaran selepas rawatan selesai,” katanya.

ProtectHealth, badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan membantu melaksanakan MediAsas dan menjadi pihak berkecuali antara hospital swasta dengan ITO.

Menurut Wan Hazwan, lebih 150 hospital swasta dan 2,500 petugas kesihatan telah menjalani latihan dalam pengekodan klinikal serta piawaian data, yang penting untuk memastikan pesakit dikategorikan dengan tepat dan hospital menerima bayaran yang sewajarnya di bawah sistem DRG.

Beliau berkata, badan berkaitan kerajaan itu akan membantu mencari keseimbangan antara kepentingan hospital dan syarikat insurans supaya usaha mengawal kos penjagaan kesihatan terus mengutamakan kepentingan pesakit.

Adakah RM100,000 mencukupi untuk perlindungan perubatan? 

MediAsas menetapkan had perlindungan tahunan sebanyak RM100,000 berdasarkan data tuntutan Insurance Services Malaysia (2024). Data itu menunjukkan 99 peratus tuntutan yang dibayar adalah di bawah RM60,000. 

Had ini ditetapkan untuk menampung kebanyakan rawatan biasa termasuk sekiranya pesakit perlu masuk hospital berulang-kali. Bagi pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas, had tahunan mereka boleh meningkat secara automatik kepada RM150,000 untuk menampung kos rawatan yang biasanya lebih tinggi.

Had ini juga akan disemak setiap tahun supaya perlindungan yang diberikan kekal mencukupi, selaras dengan perubahan kos dan keperluan rawatan. 

Jika perlukan perlindungan tambahan, pemegang polisi boleh memilih MediAsas Fleksi, manfaat perubatan majikan, pelan insurans atau takaful lain, perlindungan tambahan untuk keadaan tertentu atau menggunakan simpanan sendiri.

Bagaimana peruntukan “tanpa semakan semula” melindungi pemegang polisi?

MediAsas akan memperkenalkan peruntukan “tanpa semakan semula” untuk melindungi pemegang polisi daripada tuntutan ditolak akibat kegagalan mendedahkan maklumat kesihatan lampau secara tidak sengaja selepas tempoh perlindungan berterusan selama tujuh tahun.

Dalam tempoh tujuh tahun pertama, ITO boleh menyiasat jika terdapat maklumat kesihatan terdahulu yang tidak dinyatakan ketika tuntutan dibuat. Tuntutan kemudian boleh diluluskan, ditolak atau perlindungan disemak semula.

Selepas tujuh tahun, tuntutan tidak lagi boleh ditolak atas alasan kegagalan mendedahkan maklumat secara tidak sengaja. Namun, siasatan masih boleh dijalankan bagi kes yang melibatkan kegagalan mendedahkan maklumat secara sengaja, melulu, atau berniat menipu, serta tuntutan yang membabitkan lima keadaan kompleks seperti: kanser, kegagalan organ tahap akhir, masalah kardiovaskular utama, gangguan neurologi utama dan gangguan autoimun serta keradangan sistemik.

Rawatan yang berpunca secara langsung daripada keadaan sedia ada ini juga tidak dilindungi.

Secara keseluruhan, peruntukan ini memberi lebih keyakinan kepada pemegang polisi yang telah lama dilindungi sambil mengekalkan perlindungan terhadap penipuan dan penyembunyian maklumat secara sengaja.

Kongsi kos rawatan 

MediAsas akan memperkenalkan bayaran bersama bagi menggalakkan pemegang polisi lebih peka dan terlibat dalam membuat keputusan berkaitan rawatan mereka di samping membantu mengawal kos tuntutan dan memastikan perlindungan kekal mampu dibiayai dalam jangka panjang.

Walaupun bayaran bersama dan bayaran deduktibel bukan perkara baharu dalam pelan insurans dan takaful perubatan, kaedah ini membolehkan pemegang polisi dan syarikat insurans berkongsi kos rawatan. Ini juga menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan secara lebih berhemah.

Bayaran bersama bukan bertujuan menambah beban kewangan pemegang polisi, sebaliknya untuk mengimbangi keperluan mendapatkan rawatan yang sesuai dengan kos tuntutan yang dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Dengan mengawal jumlah keseluruhan perbelanjaan tuntutan, pendekatan ini diharap dapat membantu mengurus kenaikan premium, sambil memastikan pemegang polisi terus mendapat rawatan perubatan yang diperlukan.

Projek perintis MediAsas oleh kerajaan dijangka dimuktadkan pada akhir September 2026, sebelum dilaksanakan di seluruh negara pada Januari 2027.