Zakat mengubah kehidupan, membawa sinar harapan
Seorang penjual burger di Batu Pahat, Johor, berhasrat mengembangkan perniagaannya daripada sekadar jualan harian kepada menghasilkan jenama sendiri yang mampu menjangkau lebih ramai pelanggan.
Asalnya Mohamad Daim Misni seorang pelaut. Rezekinya berada di luar dari daratan. Namun apabila pandemik COVID-19 melanda, hidupnya berubah perlahan-lahan. Punca pendapatannya terjejas dan selepas beberapa bulan, simpanannya mengecut.
Tanpa banyak pilihan Mohamad Daim beralih kepada ikhtiar lain. Beliau terlibat dengan perniagaan kecil dan ia merupakan suatu pertaruhan besar apabila tiada sebarang pengalaman dimiliki.
Perlahan-lahan dia memperoleh pendapatan bulanan sekitar RM2,500 ketika itu. Namun beliau tidak mahu selesa dengan apa yang ada. Mohamad Daim menginginkan sesuatu yang lebih kukuh dan mampan. Beliau mahu mengembangkan perniagaan daripada sekadar menjual burger kepada pengeluar patti premium yang dihasilkan sendiri.
Beliau juga mahu menggunakan peluang yang ada ketika itu apabila pilihan untuk patti burger masih terhad di Batu Pahat.
“Apabila pandemik, saya tak boleh naik kapal. Masuk bulan kedua dan ketiga, saya putus asa sebab masih tak boleh bekerja, tengok simpanan pula semakin berkurangan. Saya fikir takkan nak macam ini saja, jadi saya ambil keputusan untuk berniaga, tiada pilihan lain.
“Kalau nak masuk kerja di syarikat lain pun, saya perlu bermula dari bawah semula. Bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan di darat selepas bekerja di atas kapal.
“Saya lihat perniagaan ini mempunyai peluang besar untuk berkembang kerana burger dengan patti premium sukar didapati di Johor dan pelanggan yang mahu menikmatinya perlu pergi sama ada ke Kuala Lumpur atau Singapura,” katanya.
Penyertaan Mohamad Daim, 40, dalam program Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship (R.I.S.E.) Johor melalui agihan secara langsung Zakat Maybank Islamic Berhad menjadi titik perubahan dalam usahanya membangunkan perniagaan burger hingga mampu menjana pendapatan lebih stabil untuk menyara keluarga.
Melalui inisiatif itu, bapa kepada empat anak berkenaan bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai pengurusan kewangan dan pemasaran, malah ruang untuk mempelajari cara menarik pelanggan serta mengembangkan perniagaannya.
“Semasa mengikuti R.I.S.E. Johor mereka ajar saya cara menguruskan kewangan dengan betul, mempromosikan produk dan menarik pelanggan supaya membeli burger yang saya jual.
“Sebelum itu, saya tidak pandai menguruskan urusan kewangan, berniaga pun tak nampak mana untung, mana rugi,” katanya.
/file/attachments/889/image39_128263.jpeg)
Berbekalkan pengetahuan yang ada, Mohamad Daim berjaya mengukuhkan perniagaan diusahakan bersama isteri dengan mempelbagaikan menu, menyediakan ruang untuk pelanggan menjamu selera serta memanfaatkan media sosial dan platform penghantaran makanan untuk meluaskan pasaran.
Perkembangan perniagaannya turut membolehkan beliau menggunakan kira-kira RM3,000 sebulan untuk perbelanjaan isi rumah, selain menyimpan RM800 untuk tabung kecemasan dan RM1,000 lagi sebagai modal membesarkan perniagaan. Beliau juga mampu menyediakan kira-kira RM500 sebulan bagi pendidikan anak-anaknya yang masih bersekolah.
Selain meningkatkan kehidupan keluarganya, beliau turut membuka peluang pekerjaan kepada dua individu daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40), masing-masing dengan gaji RM1,700 sebulan.
Kisah Mohamad Daim menunjukkan bagaimana sokongan melalui zakat bukan sekadar memberikan bantuan kewangan, malah membantu penerima membina kemahiran, meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Maybank, sebuah syarikat GLC, melalui anak syarikatnya, Maybank Islamic, menyalurkan RM53.25 juta zakat termasuk melalui Majlis Agama Islam pada 2025. Daripada jumlah itu, Maybank Islamic menerima kembali RM4.64 juta sebagai Zakat Wakalah yang diagihkan kepada asnaf yang layak.
Usaha meningkatkan taraf hidup bukan hanya tertumpu kepada pengembangan pendapatan, tetapi turut merangkumi keperluan asas seperti tempat tinggal yang selamat dan selesa.
Bagi Omar Hassan yang menetap di Sarikei, keperluan tempat tinggal menjadi amat penting dalam memastikan anaknya, Fauzeli, yang merupakan OKU mental, mendapat persekitaran yang selamat dan selesa.
Selain Fauzeli, Omar turut mempunyai dua anak lagi, Affendi yang bekerja sebagai warga klinik di Hospital Sarikei manakala anak ketiganya, Ainawati, bertugas di bahagian makmal sebuah hospital di Pulau Pinang dan telah berkeluarga.
Namun, dengan masing-masing mempunyai komitmen keluarga dan perbelanjaan sendiri, kedua-duanya tidak mampu menyediakan bantuan kewangan yang diperlukan untuk membolehkan bapa mereka memiliki rumah baharu.
Omar, 81, dikenal pasti sebagai penerima bantuan Zakat Wakalah melalui Program Baiti TH selepas namanya dicalonkan oleh ketua kampung dan pengurus cawangan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pemilihan warga emas itu sebagai penerima Program Baiti TH mengambil kira latar belakang kehidupan beliau serta keadaan kediaman yang amat memerlukan perhatian dan bantuan. Rumah yang didiami ketika ini berada dalam keadaan terlalu uzur, tidak lagi kukuh dan dikhuatiri boleh roboh pada bila-bila masa. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada penghuni rumah berkenaan.
Omar tidak tersenarai sebagai penerima bantuan asnaf Baitulmal kerana menerima pencen bulanan sebanyak RM1,000. Namun, pendapatan tersebut tentu saja masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup sehariannya, termasuk kos menjaga Fauzeli. Keadaan kewangan beliau juga membataskan kemampuannya untuk mengumpul wang bagi membina rumah baharu yang lebih selamat dan selesa.
Rumah baharu itu kemudian dibina untuk Omar di atas tapak bersebelahan kediaman lamanya. Kerja pembinaannya dilaksanakan oleh GIATMARA Malaysia dengan Pudelien Enterprise yang bertindak sebagai kontraktor.
Program Baiti TH adalah antara usaha Tabung Haji membantu golongan yang memerlukan mendapatkan kediaman lebih selamat dan selesa melalui Zakat Wakalah.
Melalui mekanisme Zakat Wakalah, institusi korporat yang mendapat kebenaran pihak berkuasa agama boleh mengurus dan mengagihkan sebahagian zakat yang dibayar menerusi program sendiri. Pendekatan ini membolehkan GLC dan GLIC menyalurkan bantuan serta inisiatif pembangunan secara lebih bersasar kepada golongan asnaf yang memerlukan untuk program yang membantu meningkatkan pendapatan dan membina kehidupan lebih berdikari.
Sejak 2023, sebanyak 95 rumah telah dibina di seluruh negara melalui program itu dengan perbelanjaan keseluruhan RM6.3 juta, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 380 isi rumah.
Tahun ini Tabung Haji memperuntukkan RM2 juta untuk pembinaan 16 buah rumah dengan lapan rumah masing-masing di Sabah dan Sarawak.
/file/attachments/889/image40_393342.jpeg)
Usaha Tabung Haji melalui program itu mencerminkan komitmen dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Inisiatif ini turut selari dengan program GEAR-uP yang menghimpunkan enam GLIC dan 37 GLC dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta memperluas manfaat kepada masyarakat.
GEAR-uP memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama iaitu menaikkan lantai melalui usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, serta menaikkan siling pendapatan dengan memperkukuh daya saing dan pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui program itu, GLIC dan GLC menyalurkan penajaan biasiswa, latihan kemahiran dan pelaburan komuniti, dengan Bumiputera sebagai penerima manfaat utama. Usaha ini turut meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, membuka laluan kerjaya bernilai tinggi dan memperkukuh pembinaan kekayaan merentas generasi.
Pada pandangan rakyat yang berdepan tekanan hidup, pelaburan besar untuk menaikkan siling ekonomi mungkin kelihatan jauh daripada keperluan harian mereka. Namun, kedua-dua usaha menaikkan lantai dan siling sebenarnya saling berkait kerana pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila peluang dan manfaatnya turut sampai kepada rakyat yang memerlukan.
Zakat Wakalah menjadi antara saluran untuk menterjemahkan usaha tersebut kepada manfaat yang lebih dekat dengan kehidupan mereka. Bantuan yang disesuaikan dengan keperluan golongan asnaf, bersama latihan serta bimbingan, dapat memberi ruang kepada mereka untuk mengatasi kesusahan, merancang masa depan keluarga dan membina sumber pendapatan sendiri.
Dengan itu, pembangunan bukan sekadar membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah memberi peluang kepada rakyat untuk turut maju, berdikari dan akhirnya menyumbang semula kepada masyarakat.
/file/attachments/889/image86_928959.png)
