Di Lebuhraya Persekutuan, kesesakan lalulintas terus mengasak fikiran Camelia. Walau suasana persekitaran telah banyak berubah, terasa lebuhraya itu masih seperti 20 tahun dahulu. Seperti pertama kali dia menjejak lebuhraya dan mengenal ibukota. Sesak dan menyesakkan.

Pemandu limosin Proton Perdana yang disewanya nampak tenang. Tentu perkara biasa bagi dia yang katanya dibesarkan di Kuala Lumpur. Ya, KL ibukota yang melambangkan wajah kemodenan negara.

Mungkin para pemandu dan penumpang lain yang terperangkap dalam kenderaan masing-masing juga sudah tidak kisah lagi. Sama-sama menghidu habuk, asid dan toksid. Dari LRT yang laju melintas lebuhraya, ternampak kesesakan dan himpitan manusia dalam setiap koc. Tiada siapa dapat melarikan dari kesesakan di waktu petang, 'rush hour'.

Kesesakan adalah salah satu produk pembangunan. Kalau tidak produk dari salah perancangan. Suka atau tidak, kota-kota besar dunia akan mengalami fenomena yang sama. Membawa pelbagai kesan sampingan dan gejala yang tidak seiring dengan taraf ekonomi dan segala yang menjadi lambang kemajuan.

Tadi, dari lobi hotel lima bintang di KLCC, dapat memberikan tanggapan pertama mengenai KL. Pelancung dari Asia Barat memenuhi pandangan. Seakan di salah sebuah kota di Timur Tengah. Mereka memenuhi ruang. Dengan pelbagai gelagat. Wanita berjilbab hitam. Lelaki pula ramai yang berseluar pendek, ada yang tidak segan silu meneguk alkohol. Anak-anak yang berpakaian moden sibuk dengan telefon bimbit.

Memang agak ironi. Dia baru tiba dari New York. Transit di Dubai. Dunia telah banyak berubah. Warna kosmopolitan di mana-mana. Globalisasi, atau yang sebenarnya amerikanisasi mewajah suasana. Tiada banyak bezanya antara satu kota dengan kota yang lain. Jenama yang sama saling bersaing.

Dari akhbar yang diselak sambil menikmati sarapan, berita tempatan menggambarkan situasi yang lebih kurang sama. Jenayah. Seks. Immigran. Korupsi. Hiburan. Harga minyak naik, ekonomi turun. Bencana alam. Perang Iraq.

Namun agak terganggu fikiran Camelia apabila membaca berita utama, "Seorang lagi mangsa ragut meninggal dunia!"

Itu bukan berita yang memberangsangkan. Dia mahu melihat KL pertama kali sejak 20 tahun lalu. Sebagai pelancung dan sebagai perantau yang pulang menjelang ulangtahun hari kemerdekan. Lantas menyewa sebuah limosin, menuju ke kampus ITM Shah Alam, yang kini bernama UiTM. Menjejak seribu ruang memori. Pernah 20 tahun dahulu dihantar setahun mengikuti kursus persediaan ke universiti Amerika.

Tetapi dalam kesesakan yang semakin teruk dengan hujan yang turun lebat, tidak banyak yang boleh dilakukan. Hanya fikiran masih saja cuba menyatukan apa yang dipandangan dengan apa yang pernah dirakam ingatan. Berbalam seperti kabus dari hujan yang terus lebat.

Siaran radio tidak henti dengan celoteh DJ memperkatakan kisah ragut. Kisah jenayah dan kisah masalah sosial. Panggilan telefon dari pendengar memberikan tanggapan mengenai kehidupan di luar sana, di rimba kota. Pelbagai masalah. Semuanya tanpa penyelesaian. Tiada penyelesaian seperti kesesakan di lebuhraya persekutuan. Semakin banyak lebuhraya, semakin ramai warga kota, semakin banyak kenderaan dan semuanya kembali ke masalah yang sama, kesesakan.

Dalam perlahan-lahan menyusur, Camelia teringat kata-kata seorang anak rakannya. "Ibu saya tidak pernah memberitahu yang ada lebih 3 bilion manusia yang tidak cukup makanan, air bersih dan kemudahan kesihatan. Dia sepatutnya melihat kesesakan jalanraya di Los Angeles yang mana mereka yang terperangkap begitu risau dengan kedutan di wajah!"

Terngiang-ngiang suara anak perempuan berusia 12 tahun itu. Yang mungkin sebaya dengan salah seorang anaknya, jika dia berkahwin dan berzuriat.

Bagi Camelia, mungkin begitu juga ramai dari mereka yang terperangkap di lebuhraya persekutuan, risau dengan kedutan di wajah. Atau risau dengan pelbagai perkara, selain kesesakan jalanraya.

"Alam semulajadi adalah seorang wanita, yang penuh dengan kedutan!" Sepatah kata yang pernah dibacanya di dinding sebuah salon kecantikan di London. Dia meraba muka sendirinya. Dalam usia sebegini, kedutan adalah sebahagian dari 'kesesakan jalanraya' yang tidak dapat dielakkan. Terpandang papan iklan besar, antara yang begitu banyak memenuhi lebuhraya.

"Mesyuarat... deadlines ... seminar... kerja melambak... tidak pernah cukup masa.......kesibukan adalah kehidupan moden....tetapi anda sebagai wanita hari ini perlu menguntukkan masa untuk diri sendiri!"

Begitu bahasa pengiklanan yang menjerat minda, dalam setiap kerisauan dan masalah, sentiasa ada penyelesaian dan ubat.

"Tidak perlu pembedahan, perubahan wajah dan tanpa kedutan dalam masa beberapa hari!"

Terpampang jenama produk awet muda. Botox .

Begitulah manusia. Kematangan datang dengan usia, tetapi kematangan pula berlawanan dengan proses kembarnya, kedutan!

Dan majoriti merasakan muda itu cantik, malah boleh saja selamanya, muda dan cantik!

Camelia tahu, 90 peratus dari rakan-rakan kerjanya dan kenalan profesional di New York ada melakukan, paling kurang satu pembedahan sebaik melepasi usia 40 tahun. 10 peratus lagi mungkin tidak mampu.

Itulah korporat Amerika.

Usia 40 tahun menggariskan sempadan antara sudah tidak muda lagi dan akan tua selamanya. Kebimbangan dan ketakutan terhadap tua memberikan ruang besar untuk bisnes yang bernilai bilion dollar. Tentunya ada elemen diskriminasi apabila industri ini melebihkan kaum wanita.

Terpandang wajah-wajah dalam kenderaan yang mengisut-ngisut kedua-dua hala, Camelia dapat mengagak hampir semua bakal menjadi pelanggan produk penghilang kedutan. Terutama wanita yang kebanyakannya bertampal dengan mekap dan warna-warna kosmetik.

"Puan, nampaknya kita mungkin tidak boleh tiba UiTM sebelum senja...!" Tiba-tiba pemandu yang bernama Amir itu bersuara. Dalam bahasa Inggeris yang baik.

Camelia memandang sekeliling, jam menunjukkan hampir enam waktu tempatan.

"Agaknya pukul berapa boleh sampai dalam keadaan sebegini?"

"Paling kurang sejam dari sekarang, kata radio ada banjir melimpah di depan!"

Camelia memang sengaja mahu melalui lebuhraya persekutuan, satu-satunya lebuhraya yang dia tahu di KL.

"Bagaimana kalau kita lalu jalan lain? Ikut lebuhraya KESAS?"

Camelia mendengus. Tidak banyak pilihan walau dia sendiri tidak tahu apa ia lebuhraya KESAS. Dia telah berjanji dengan seorang kawan lama, Profesor Dr. Maliki untuk bertemu di Hotel UiTM sebelum maghrib.

"Okaylah, asal sampai cepat!"

Dia sebenarnya tidak pasti sama dia melakukan langkah yang bijak untuk bertemu Maliki. Kawan sekolah yang sama-sama ke pusat persediaan UiTM sebelum ke Amerika Utara. Mereka terpisah oleh lokasi, dia ke Texas manakala Maliki ke Toronto.

Dia dapat mengesan Maliki melalui enjin carian. Tahu-tahu sudah menjadi seorang profesor dan ketua jabatan. Dari laman web universiti, terpampang wajah Maliki, tidak banyak berubah. Tidak pasti sama ada Maliki sama menggunakan botox atau ubatan awet muda tempatan. Tetapi dari gambar dan nama penuh serta ijazah, sah, dia adalah Maliki yang dulu menjadi sahabat baik.

Mereka berhubung melalui emel sahaja sejak dua bulan lalu. Sejak dia tiba-tiba terasa mahu pulang ke tanahair setelah 20 tahun terbang merata dunia, selain tanahair sendiri. Pagi tadi menghantar SMS untuk mengesahkan dia telah berada di KL dan mahu bertemu di UiTM petangnya.

Dalam pada bimbang, dia sebenarnya tidak sabar untuk bertemu Maliki. Kawan yang banyak menyimpan rahsia waktu remaja. Telah terputus hubungan dengan semua orang, apalagi sebagai anak yatim piatu. Anak yang dibesarkan dari rumah ke rumah sebelum dihantar ke rumah kebajikan. Hidup dalam buangan.

Melalui trafik emel, Camelia mengagak masih saja melucukan seperti dulu. Hampir setiap hari menghantar emel jenaka.

Salah satunya berkaitan jenaka pembedahan plastik yang boleh dibuat secepat akan tengahari. Cerita seorang suami yang baik tetapi tidak begitu kacak dan dipaksa oleh isterinya melakukan pembedahan plastik sempena usia 40 tahun. Sebaik sahaja keluar dari hospital dengan wajah sekacak Brad Pitt, sebuah teksi melanggar dan membunuhnya serta-merta.

Simati pun berdepan dengan Tuhan dan merayu, "Sepatutnya Kau memberhentikan kereta itu. Saya telah begitu taat dan alim sepanjang hayat. Kenapa tidak mengizinkan saya menikmati wajah baru yang kacak ini walau untuk satu hari?"

Tuhan menjawab, "Terus-terang, saya tidak kenal kamu tadi...!"

Sambil ketawa sendiri, Camelia sempat bertanya sendiri, apakah Tuhan telah menjadikan Botulinum, satu kompleks protein yang dihasilkan oleh baktria Clostridium botulinum untuk membuat sakit perut atau untuk disuntik dibawah kulit untuk menghilangkan kedutan?

Lebih dari itu, toksin botulisme boleh diproses untuk dijadikan WMD, senjata biologi pemusnah. Bermakna setiap pengguna botoks boleh saja berpontensi menjadi WMD yang di cari-cari oleh Presiden Bush.

Ironinya lagi, bukan mencari WMD tetapi suntikan Botoks menjadi demam baru di Amerika. Sukar untuk memikirkan bagaimana kapasiti otak rakyat Amerika menilai pelbagai peristiwa yang berlaku di dunia adalah berpunca dari polisi luar negara dan produk buatan Amerika. Apalagi bila 3 bilion manusia dalam kelaparan. Terutama bila Hollywood dan Madison Avenue mulai berkempen untuk Amerika sebelum dan selepas perang selanjutnya dengan Iran, Korea Utara, Syria, Cuba, mungkin Botoks yang mengandungi baham WMD menjadi sebahagian dari "demokrasi ala Amerika?"

Camelia tahu, Maliki salah seorang dari mereka yang anti-Amerika. Peminat Bin Ladin. Cuma dia tidak tahu yang Camelia kini sudah menjadi salah seorang rakyat imigran Amerika, walau bukan Republikan atau Democrat tetapi antara jutaan yang tersalah undi Presiden Bush hanya kerana marahkan Clinton berskandal dengan Monica Lewinsky.

Tentunya juga dia akan lebih terkejut. Dengan perubahan fizikal Camelia.

Sepanjang lebuhraya baru yang juga sama sesak tetapi tidak seteruk lebuhraya persekutuan, Camelia dapat merasakan reaksi pertama Maliki. Tetapi dia tidak ada banyak pilihan selain berdepan dengan segala kemungkinan.

Pemandangan keliling yang berubah pesat tidak banyak memberikan ruang untuk mengisi kejangkalan perasaan. Ternampak sepanduk dan bendera berkibar di mana-mana. Bertambah kerisauan hati yang menambahkan sedikit kedutan baru di wajahnya.

"Puan, sudah sampai, inilah hotel UiTM, lambat 10 minit!"

Jantung Camelia berlari kencang. Labih pantas dari pelari 100 meter di Olimpik. Tetapi begitu perlahan dia keluar kereta dan menaiki tangga. Hotel ini tidak ujud waktu dia menjadi sebahagian dari warga kampus ITM.

Melilau mencari antara wajah-wajah yang sama memandang dengan penuh tandatanya.

Sehingga terpandang seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang anak perempuan yang sudah besar. Mereka sedang berbual sesama sendiri sehingga Camelia masuk ke lobi.

Camelia pasti yang itulah, Maliki dan keluarganya seperti yang diceritakan dalam emel. Tidak sangka dia akan mengangkut mereka semua sekali.

Maliki yang terpandang Camelia tidak berganjak matanya. Nampak kedutan kehairanan timbul di wajah akademiknya. Camelia tiba-tiba mahu berpusing sahaja, tetapi dia telah tiba sejauh ini dan terpaksa menghadapi apa saja kemungkinan. Kalau dia tahu Maliki akan datang dengan keluarganya sekali,

dia tentunya tidak datang.

"Maliki?" tanya Camelia. Sekilas nampak isteri Maliki terperanjat dan begitu kurang senang. Kedutan cemburu mewarnai wajah yang masih belum banyak berkedut. Masih juga belum disuntik botoks. Sementara kedua-dua anaknya seperti beku. Hanya memandang dan terlopong. Mereka menunggu kawan lama ayahnya yang hilang sejak menuntut di Amerika dan bukan seorang wanita berambut perang.

Ternganga mulut Maliki. Perlahan bangun dan menatap Camelia dari atas ke bawah. Segar dalam ingatan, raut wajah itu masih dapat dikenalnya. Tahi lalat Sharifah Aini di bawah dagu. Toksin hitam original yang menjadi tanda pengenalan diri sejak remaja.

"Ini Ahmad Kamal ke?"


FUDZAIL yang kini bermastautin di Dubai sejak 2000 sedang dalam proses penghijrahan semula ke New Zealand sebagai rumah kedua. Antologi puisi pertamanya, Waikato diterbitkan oleh DBP tahun 2001 dan diulang cetak tahun lalu. Antologi cerpen Dotkomanianya juga masih dalam proses penerbitan.