Baca Yasin

Abdullah Al Shams menoleh ke arah Kang yang baru selesai mengetuai pembacaan Yasin dan doa selamat. Abdullah, seorang Arab tempatan bertanya perlahan kepada tetamu disebelahnya, Zainal.

"Baca Yasin ini budaya orang Melayu ke?"

Zainal tersenyum kerana sepanjang hidupnya sebagai Melayu, memang sudah menjadi tradisi untuk buat majlis baca Yasin sempena kenduri aruah, doa selamat, doa lulus periksa, doa nak kahwin dan apa saja yang berkaitan. Seolah-olah baca surah Yasin itu hukumnya wajib.

Perlahan Zainal mengangguk. Dia sendiri tidak mempunyai jawaban yang lebih baik dari itu. Malah kehadirannya malam itu pun kerana mengikut King, bosnya. Dia lebih rela bersantai di rumah dari membuang masa bersama golongan rakyat Malaysia yang perasan menjadi elit di Dubai.

Majlis baca Yasin dan doa selamat itu dibuat untuk penubuhan Kelab Konsultan Bisnes Malaysia Dubai atau pendekkannya, My-CON. Abdullah, salah seorang ahli perniagaan Dubai yang agak rapat dengan beberapa ekspatriat Malaysia turut di jemput walau tidak semua rakyat Malaysia yang diundang. Malah seorang pekedai kain dari India beragama Hindu yang rapat dengan juak My-CON turut menjadi tetamu.

Abdullah enggan untuk membaca Yasin kerana tidak pernah melakukannya lantas lebih rela duduk sambil bermain dengan henfonnya. Sambil tangan kiri tidak henti bertasbih.

Kang yang diperkenalkan sebagai 'ustaz' kepada Abdullah kelihatan tidak senang dengan Abdullah yang nampak sangat memulaukan majlis yang diketuainya. Tetapi untuk berhujah mengenai baca Yasin dengan Abdullah, dia sendiri kurang yakin kerana ilmunya hanya dalam bahasa Arab.

Lantas Kang sekadar bercakap mengenai kesibukannya sehingga sering tidak boleh berlama dalam satu-satu majlis. Sedangkan Abdullah tidak peduli pun kerana tidak begitu faham bahasa Arab pelat yang diguna oleh Kang.

Orang Mirdiff

King menghembus cerutnya, agak lega setelah melihat senarai terkini pemohon keahlian My-CON, tidak satu pun nama dari kalangan 'Orang Mirdiff'. Strateginya mudah, penubuhan My-CON dibuat dengan tajaan pihak kedutaan, maka mereka yang terpilih sahaja akan dilantik sebagai pro-tem AJK My-CON. Semuanya dikira 'bersih' dulu, kini dan selamanya dari unsur-unsur anti-kerajaan.

'Bersih' seperti mana yang disahkan oleh King yang bukan sahaja dianggap penasihat kepada orang kerajaan, tetapi dikatakan bekas seorang SB dan masih lagi menjadi informer dilantik sendiri. Semua orang kerajaan atau yang sewaktu dengannya takut dengan King. King boleh memberi amaran kepada mereka untuk tidak berkawan dengan sesiapa yang dianggap pembangkang, terutama Orang Mirdiff.

"Kalau kau berkawan dengan Orang Mirdiff, kami tidak akan berkawan dengan kau!" Pernah King menjerkah seorang pegawai yang baru datang. Kebetulan pegawai tersebut memang baik dan peramah. Lebih dari itu, pegawai itu dulu pernah satu sekolah dengan salah seorang 'Orang Mirdiff'.

'Orang Mirdiff' adalah kod kepada sekumpulan rakyat Malaysia yang dianggap golongan ahli parti pembangkang dan reformasi dari Malaysia yang paling aktif dan nyaring bersuara. Kebetulan majoriti mereka yang mendiami kawasan 'Mirdiff', terletak beberapa km dari Dubai.

"Dia orang tak mampu nak bayar yuran 500 Dirham!" Kong membuat jenaka. King, Kang, Kong dan beberapa lain ketawa. "Pembangkang mana ada duit, cakap saja banyak, kutuk sana kutuk sini, bertopengkan Islam.....menyampah aku!"

Kong yang bekerja sebagai pengisi minyak kapalterbang itu tinggal berhampiran Mirdiff, tetapi tidak lagi berkawan dengan 'Orang Mirdiff', setelah terbongkar kegiatan talam dua mukanya. Kong selalu memperkenalkan dirinya sebagai 'Penasihat' atau 'Pengarah Pembangunan Bisnes' kepada beberapa syarikat Malaysia yang beroperasi di Dubai.

Dikalangan juak My-CON, Kong dianggap aset kerana pernah berjaya menembusi 'Orang Mirdiff'. Hidup dalam dua alam, main depan main belakang. Secara diam-diam, selalu bertemu ahli politik pembangkang seperti Anwar Ibrahim, kalau mereka singgah di Dubai. Dia pernah mengaku sebagai wakil Anwar dan dengan muka tak malu meminta komisen. Kong juga menghebahkan kepada kawan-kawan yang bukan My-CON yang dia bakal menjadi duta sekiranya Anwar jadi PM.

Tetapi King yang tidak cerdek itu amat percaya Kong walau Kong tidak percaya kepada King. Kong menggunakan King untuk kelihatan 'bersih' dikalangan orang kerajaan.

Sementara Kang yang turut disenaraikan sebagai pro-tem My-COM sebagai AJK pro-tem agama dan bahasa Arab kelihatan lebih serius. Bagi terjungil matanya.

"Tetapi ada juga pemohon yang betul-betul businessmen.....mereka ini semua sudah berjaya di sini, ada yang bertaraf jutawan!" Kang memandang ke arah King dan Kong. Kang yang menggunakan kemudahan sebagai wakil kerajaan untuk membuat bisnes memang sentiasa sibuk mencari peluang. Sekiranya ada syarikat di Dubai yang mencari rakan niaga dari Malaysia, atau mencari produk Malaysia, Kang akan bertindak sebagai orang tengah. Dia ada 'rakan niaga' seorang rakyat Malaysia berketurunan Cina bergelar 'Bapa Ayam' yang menjadi runner. Apa saja maklumat peluang bisnes di beritahu kepada Bapa Ayam.

"Tak macam juak kita, semua makan gaji.....sama ada tidak pernah buat bisnes, atau masih belum berjaya atau sekadar main komisen, tak pun sekadar bisnes tupperware....kalau mereka bertanding nanti dengan kredibiliti dan pakai politik wang, boleh kalah kita semua!"

King mencemik. Menghembus cerut ala Godfather.

"Apa nak bimbang, bukankah AJK pro-tem My-CON boleh menolak permohonan sesiapa sahaja......kita tolak sahaja permohonan mereka atau tangguhkan keahlian sehingga AGM habis!"

King, Kang dan Kong ketawa seperti orang politik yang kenyang makan rasuah. Ternyata mereka bertiga memang menguasai My-CON sebagai lubang emas untuk membuat duit mudah. My-CON akan menjadi sumber rujukan syarikat-syarikat Malaysia yang mahu beroperasi di Dubai, dengan itu segala komunikasi, koordinasi dan informasi akan disalurkan kepada mereka sebagai 'CON-sultans'.

Kong menambah. "Tetapi yuran keahlian kita sapu dulu.....!"

Gempita suasana dengan ketawa King, Kang dan Kong.

Makan Malam Dengan Timbalan Menteri

"Macam mana beruk-beruk Mirdiff boleh terlepas sebagai jemputan?" Tanya King kepada Kong dan Kang sebaik melihat lima orang yang dianggap pembangkang turut masuk ke dewan dan mereka terus menghala ke arah King, Kong dan Kang.

"Nanti beruk-beruk ini buat kacau saja, tanya soalan-soalan sensitif...ini mesti datang tidak berjemput....!" Kang juga tidak senang. Sebagai MC majlis, tentunya dia amat takut kalau majlis menjadi sesi perdebatan politik. Apalagi Timbalan Menteri yang datang membeli-belah atas tiket lawatan rasmi itu pula bukan dari golongan yang cerdik. Malah mudah melatah, mengarut, mencarut dan emosional. Cakap bahasa Inggeris pun tidak pandai. Tidak juga menggunakan bahasa melayu standard, hanya bahasa loghat utara.

Dengan wajah penuh mesra, King, Kong dan Kang bersalaman, walau menyumpah-nyumpah dalam hati kerana 'Orang Mirdiff' duduk semeja dengan mereka. Satu perkara yang boleh menjatuhkan nilai saham dan pengaruh mereka dikalangan My-CON. Boleh sahaja menjejaskan kredibiliti mereka sebagai penganut fahaman elitis Ameno yang menjadi tunjang My-CON.

"Lama tak jumpa?" Tanya King dengan wajah yang cukup manis sambil menghembus cerut. Sebagai menunjukkan budi bahasa, King menghulurkan cerut kerana pengalamannya sebagai SB, King tahu 'Orang Mirdiff' tidak hisap rokok, apalagi menghisap cerut. Tentunya lima cerut mahalnya tidak terusik.

"Cerut Cohiba?" Nik Eric yang mengepalai Orang Mirdiff segera mengambilnya.

Terkejut King.

Dengan tidak disangka-sangka, kelima-lima cerutnya yang bernilai 100 dirham satu itu habis disapu oleh Orang Mirdiff, yang tidak menghisapnya tetapi meletakkan dalam poket baju batik masing-masing.

"Terimakasih bagi cenderahati, boleh bagi kat orang Malaysia balik cuti raya haji nanti...kat Malaysia mahal cerut ni....!" Kata Nik Eric lagi.

Muka King tiba-tiba berubah melihat bekas cerutnya yang kosong. Sementara Kang dan Kong tersenyum sumbing.

Futsal

"Jemputlah datang ke perlawananan Futsal rakyat Malaysia pagi Jumaat nanti!" Nik Eric berpesan pada King, Kang dan Kong. Dia terjumpa mereka bertiga sedang minum teh tarek di Nasr Cinema Restaurant. Resah melihat Nik Eric tiba-tiba muncul bila mereka baru mahu mengadakan mesyuarat rahsia untuk perancangan strategik sebelum AGM pertama minggu berikutnya.

Kang menggaru-garu kepala. Cuba mencari alasan. Tetapi tetap keluar alasan standardnya. "Kang sibuk betul sekarang ni. Faham-faham lah, kena pergi merata tempat, ni pun tak habis lagi letih ni! Bukan tak nak pergi, tetapi memang sibuk!"

Nik Eric mengangguk. Malas untuk mendengar alasan yang sama kerana mana ada pegawai kerajaan yang sibuk kecuali kalau menteri atau kawan-kawan, saudara mara datang membeli-belah.

"Kalau boleh bagi sumbangan tajaan pun boleh. Untuk medal saguhati, setakat dua tiga cerut saja nilainya!" Nik Eric menghala percakapan kepada King yang sedang mencari alasan sebelum ditanya.

King tersedak dan terhenti menghisap cerut. Sejak tinggal di Dubai, dia berlagak sebagai orang kaya, sentiasa bersut Armani, cermin mata hitam, jam Rolex, dua kereta mewah, ada drebar, banglo besar, main golf dan bersantai di hotel-hotel. Kad bisnesnya bertulis pengarah pemasaran sebuah syarikat perunding rekabentuk dalaman Malaysia. Syarikat yang baru mahu bertapak di Dubai dan belum ada bisnes selain menghabis wang untuk gaya hidup mewah King.

King mahu gah dengan imej jutawan walau sekadar makan gaji buta. Sebab itu bila syarikat Malaysia yang dia bekerja sebelum ini tutup kedai di Dubai, dia sanggup ambil cuti tanpa gaji untuk terus hidup melaram di Dubai. Kalau balik Malaysia, apa yang boleh dia buat sebagai pengurus hal-ehwal keselamatan. Dia tidak mahu pakai Proton sahaja, dan tidak mahu lagi hisap rokok daun dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada cerut.

Lebih-lebih lagi, sebagai bekas SB cabuk yang tiada kuasa dan tidak mungkin lagi laku sebagai informer. Kalau di Dubai dia boleh hidup sebagai CON-sultan.

"Syarikat aku tak ada bajet untuk tajaan.....bisnes pun tak ada lagi!" Jawab King mudah. Muka tidak malunya menunjukkan perasaan kurang senang.

Nik Eric ketawa. Cukup tahu perangai King, Kang dan Kong yang turut mendapat julukan '3 Stooges'. Memberi pelbagai alasan untuk tidak datang ke apa-apa aktiviti anjuran 'Orang Mirdiff'.

"Kalau tidak boleh main futsal, Kong boleh jadi pengadil, kami perlukan pengadil juga!" Nik Eric menghala kepada Kong pula. Sengaja melengahkan masa.

Dengan wajah serius sambil melihat jam, Kong memberi alasan. "Maaflah, Kong ni dah tidak larat nak main bola, tengok rambut pun dah banyak putih beruban!"

Kong terhenti sebelum menyambung secara spontan dan tidak sengaja. "Pagi Jumaat tu Kong mungkin sakit tubuh sebab malam jumaat.....!"

King CON

King dan Kang cukup marah apabila membaca tulisan yang dicetak dari sebuah akhbar online oleh Kong. King dan Kang bukan pandai sangat menggunakan komputer, apalagi Internet. Hanya Kong yang sedikit pandai, itupun sebab dulu bergaul dengan Orang Mirdiff.

Pagi-pagi hari pertama tahun baru itu mereka bertiga terus berjumpa dengan Bapa Ayam yang baru bangun tidur. Seorang wanita Rusia kelihatan bergegas keluar dari apartmen Golden Sands tersebut sebaik mereka masuk.

King tidak jadi menghisap cerut. Terlalu marah sehingga melontar ke arah pintu tandas. Mukanya menyinga. Tetapi segera mengutip kembali cerut.

"Kau tengok si Fudzail, sekor beruk Mirdif ni!"

Bapa Ayam terkebil-kebil. Masih mengantuk menyambut tahun baru dan pembukaan Dubai Shopping Festival 2006. Masih rasa meloya setelah bergelas-gelas bir dan wain masuk ke tubuhnya.

King, Kang dan Kong serentak duduk walau tidak disuruh. Muka Kong jadi putih, sementara muka Kang jadi hitam. Segera King bersuara keras sebaik menghembus cerut yang baru dikutip balik.

"Ada ke dia tulis cerpen kisah benar pasal kita.....nanti ada orang yang buat surat layang sebelum AGM. Cis! Nanti habis satu Malaya dan Dubai tahu akan siapa kita! Habis! Habis kita!"