Neymar disiasat kes Barcelona tipu cukai
Untuk kali pertama bintang Barcelona Neymar dinamakan sebagai defendan dalam saman berkaitan perpindahan kontroversinya dari kelab di Brazil, Santos, ke Nou Camp di Sepanyol.
Penyerang berbisa berusia 23 tahun itu meninggalkan Santos untuk menyertai skuad berkenaan dengan yuran perpindahan £41 juta (RM242.3 juta) tetapi mahkamah diberitahu, nilai sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.
Laporan terbaru dari Sepanyol menyatakan, seorang hakim menerima aduan perundangan daripada firma pelaburan Brazil, DIS, yang memiliki 40 peratus hak keuntungan daripada Neymar ketika dia masih beraksi untuk kelab Santos.
DIS mendakwa mereka menerima bayaran kurang daripada separuh daripada apa yang sepatutnya diperoleh berikutan penjualan Neymar ke Barcelona.
Sebagai sebahagian daripada siasatan itu, kelab Chelsea, Manchester City, Real Madrid dan Bayern Munich juga diarah memberikan butiran mengenai tawaran yang mereka buat untuk mendapatkan Neymar dari Santos pada 2009 dan 2013.
Turut dinamakan dalam siasatan itu ialah bekas Presiden Barcelona, Sandro Rosell dan bapa Neymar sendiri.
Que Deus nos abençoe e nos proteja đâ˝
pic.twitter.com/FjlZde2bKX
— Neymar Jr (@neymarjr)
June 17, 2015
Aduan itu adalah perkembangan terkini yang menyebabkan Barcelona, Rosell dan Presiden Barcelona ketika ini, Josep Maria Bartomeu berdepan tuduhan cuba menipu cukai daripada perjanjian jual beli Neymar.
Pendakwa memohon supaya Bartomeu dihukum penjara dua tahun tiga bulan dan Rosell tujuh setengah tahun serta denda jika didapati bersalah.
Mereka juga diminta membayar tunggakan cukai lebih £40 juta.
Siasatan itu dimulakan selepas seorang anggota kelab Santos mempertikaikan jumlah didedahkan dalam perjanjian membabitkan Neymar.
Sebelum ini Barcelona mendakwa mereka membayar £40 juta namun kemudian mengakui kos sebenar bernilai hampir £71 juta.

