Kenyataan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim agar pasukan bola sepak negara tidak menggunakan lagi pemain Johor Darul Takzim (JDT) dianggap bukan penyelesaian terhadap prestasi buruk pasukan negara.

"Pendapat saya mengenai (kenyataan) Tunku Mahkota Johor saya rasa beliau merujuk kepada (pengguna) media sosial yang kritik pemainnya.

"Itu mungkin agaknya pandangan baginda apabila ada pihak yang mengaitkan kekalahan itu dengan pemainnya.

"Saya rasa itu bukan dia punya... jalan keluar," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Bagi FAM, pihaknya tetap memilih mana-mana pemain yang ada keinginan untuk bermain dengan pasukan kebangsaan.

"Mana-mana pemain yang dipanggil oleh FAM atau jurulatih perlu hadir kecuali ada kecederaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Mou antara FAM dan J- League (Liga Jepun).

7 pemain JDT

TMJ dalam satu kenyataan melalui Facebook Johor Southen Tigers menyelar pihak yang menyalahkan pemain JDT setiap kali pasukan kebangsaan tewas.

TMJ yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBSNJ) menasihatkan pengurusan pasukan kebangsaan agar tidak gunakan pemain JDT di masa akan datang.

Dalam perlawanan kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 menentang Palestin Selasa lalu, seramai tujuh pemain JDT dipilih mewakili skuad negara.

Antaranya, penjaga gol, Farizal Marlias, Safiq Rahim (kapten), Amri Yahaya, S Kunalan, Mohammad Fadhli, Mahali Jasuli dan Safee Sali.

Lima daripada pemain JDT itu diletakkan dalam senarai kesebelasan utama manakala dua pemain iaitu Safee Sali dan Mahali sebagai pemain gantian.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Malaysia diaibkan 6-0 oleh Palestin.