Timbang undur tanda bos FAM serius, kata SU
Kenyataan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa baginda mungkin berundur daripada jawatan itu jika prestasi Harimau Malaya terus merosot menggambarkan perkara itu dipandang serius.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun berkata perkara itu hak Tengku Abdullah sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Ini maknanya kalau presiden kata begitu maknanya suatu perkara yang dipandang serius. Tuanku punya perasaan macam itu begitu besar, sama ada awak (wartawan) kata perlu undur diri itu hak tuanku presiden.
"Itu satu cabaran kepada pasukan untuk bangkit balik, kalau kita lihat dari segi sistem kelayakan Piala Asia perjalanan masih jauh lagi," kata Hamidin.
Mengulas kekalahan teruk 6-0 anak buah jurulatih Dollah Salleh kepada Palestin, Hamidin menyifatkan ia tidak boleh diterima.
"(Keputusan) 6-0 saya rasa kalau secara peribadi sukar bagi saya.. saya sendiri tak boleh terima. Habis perlawanan malam itu, saya cakap kepada Dollah...sekarang kita main banyak bolos.
"Kita punya benteng pertahanan memang teruk," jelas Hamidin.
Lihat keseluruhan
Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan bagi penyediaan laporan dan persediaan menentang Arab Saudi dalam perlawanan ketiga.
"Banyak benda kita akan lihat secara keseluruhan, kita tengok apa kekurangan yang kita bagi kepada pasukan.
“Tapi setakat hari ini kita bagi yang terbaik, kita telah bagi bonus yang terbaik,” katanya.
Semalam Bernama melaporkan Tengku Abdullah sebagai berkata, baginda tidak menolak kemungkinan akan berundur daripada jawatan itu.
Baginda mengakui menetapkan Malaysia layak beraksi ke Piala Asia 2019 sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) peribadinya.
Baginda sendiri tidak menolak kemungkinan pengunduran itu akan dibuat sekiranya prestasi Harimau Malaysia tidak dapat diperbaiki, selepas dimalukan Palestin.
Sementara itu, mengulas kedudukan Dollah, kata Hamidin kedudukannya masih kekal namun ia bergantung kepada Tengku Abdullah untuk membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, buat masa ini, beliau dan Dollah sedang menyiapkan laporan prestasi skuad kebangsaan untuk dibentangkan pada mesyuarat yang dijadualkan pada 10 Julai.
"Kontrak Dollah akan tamat sehingga penghujung tahun depan, bagaimanapun ia bergantung kepada presiden," kata pengurus skuad kebangsaan itu.

