Penyokong Kelantan puji FAM
Dikecam dengan isu prestasi skuad bola sepak kebangsaan, FAM tiba-tiba dipuji peminat bola sepak Kelantan.
Ia susulan tindakan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) meluluskan permohonan Persatuan Bola Sepak Kelatan (Kafa) meminda tarikh dua aksi Liga Super ekoran Stadium Sultan Muhammad IV digunakan sepanjang Ramadan.
Keputusan FAM itu mendapat perhatian Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan yang memuat naik status berbentuk pujian kepada FAM di Facebook.
"Kita berterima kasih kepada FAM kerana memahami kesulitan dihadapi oleh Kelantan setelah kerajaan negeri tidak membenarkan stadium digunakan untuk perlawanan Liga Super sepanjang bulan Ramadan," kata kelab penyokong tersebut seperti dipetik di Facebook.
Kita berterima kasih kepada FAM kerana memahami kesulitan dihadapi oleh Kelantan setelah kerajaan negeri tidak membenarkan stadium digunakan untuk perlawanan Liga Super sepanjang bulan Ramadan.
Posted by Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan on 17hb Jun 2015
Rata-rata penyokong The Red Warriors menyambut baik usaha itu dengan menyatakan kesyukuran dan memuji FAM.
Pengguna Facebook yang memberi komen pada status tersebut antaranya;
Nazri Mustafa: "Baru betul (tindakan) FAM, lepas ini kalau ada lagi yang orang tak suka kena ambil perhatian. Sebenarnya FAM ni bukan tak reti, tapi ego (keras kepala)," komennya.
ManaRsham Ise menulis: "Eloklah tunda, bulan puasa memang tak sesuai pun... Banyak perkara yang lain kena tumpu..bulan puasa bulan mulia..keputusan FAM amat tepat sekali," katanya.
Sementara itu semalam, Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima surat kelulusan daripada FAM.
Manakala, tarikh baru bagi dua perlawanan itu akan ditangguhkan ke tarikh lain yang belum diumumkan tetapi dipercayai selepas Aidilfitri.

