Annuar tawar diri bantu FAM secara percuma
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa menawarkan dirinya menjadi pengerusi badan menggubal rangka tindak persekutuan ( blueprint ) bagi memajukan sukan bola sepak negara.
Katanya, penggubalan rangka tindak persekutuan itu bukanlah terlalu sukar untuk dilaksanakan kerana antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah program kejurulatihan dan pembangunan akar umbi.
Mengenai pelaksanaannya, Annuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, ia tidak semestinya dijalankan oleh FAM namun badan induk sukan bola sepak itu perlu menyediakan sendiri rangka tindak berkenaan.
"Sebab (mengikut peraturan) Fifa, bidang kuasa memajukan bola sepak adalah hak mutlak persatuan kebangsaan. Kerajaan pun tak boleh nak buat," katanya kepada media di Ibu Pejabat MARA hari ini.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, jika masih tiada pihak yang mahu menguruskan hal itu, beliau menawarkan diri menjadi pengerusi jawatankuasa pembentukan rangka tindak persekutuan FAM mengenai bola sepak.
"Kalau tak ada orang, saya volunteer (menawarkan diri), menjadi pengerusi. Free of charge (tiada bayaran dikenakan)," katanya.
Annuar sebelum itu mengulas mengenai nasib skuad bola Malaysia selepas mengharungi dua perlawanan kelayahan Piala Dunia dan Piala Asia minggu lalu.
Dalam perlawanan pertama menentang Timur Leste, Malaysia sekadar seri 1 - 1 tetapi nasib menjadi lebih malang apabila anak buah Dollah Salleh dibelasah Palestin 6 - 0.
Annuar berkata, apa yang dialami pasukan kebangsaan perlu dilihat secara objektif dan bukan hanya menzahirkan kata-kata berdukacita.
"Apa selepas ini ini? Kita mesti lakukan sesuatu kerana kita takkan dapat hasil yang luar biasa jika mengekalkan cara yang biasa," katanya.
Justeru, bagi Annuar, langkah menyediakan rangka tindak persekutuan adalah tindakan tepat bagi membawa skuad bola sepak maju mengikut perancangan ditetapkan.
Annuar berkata, melalui kaedah sedia ada memang kualiti skuad negara tidak dapat dipertingkatkan.
"Sebab brand kita main, sebab 'DNA' yang kita main masih 'DNA' lama.
"Walaupun pemain bergaji mahal, ia tidak ada kena-mengena dengan standard permaian," katanya.

