Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau "memahami" apa yang dimaksudkan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila beliau tidak membenarkan FAM mengambil pemain pasukan Johor Daruk Takzim (JDT) disenarikan dalam skuad kebangsaan.

Annuar berkata, kenyataan Tunku Islami itu bukan bermakna beliau tidak membenarkan pemain JDT mewakili Malaysia.

Sebaliknya, kata Annuar ( gambar ), Tunku Ismail berasa terkilan kerana sesetengah pihak mengaitkan prestasi skuad negara yang kebetulan ramai diwakili pemain JDT.

"Saya fikir itu tak adil kepada JDT," kata Annuar di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan meminta pengurusan pasukan Harimau Malaya tidak menyenaraikan pemain JDT untuk beraksi dalam perlawanan akan datang.

Ketika anak buah Dollah Salleh dibelasah 0 - 6 oleh Palestin pada 15 Jun lalu, lima daripada kesebelasan utama kebangsaan adalah pemain JDT iaitu Farizal Marlias, Safiq Rahim, Amri Yahaya, S Kunalan, Mohammad Fadhli.

Dua lagi pemain JDT - Mahali Jasuli dan Safee Sali - turut diturunkan kemudian sebagai pemain simpanan.

Annuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat berkata, setiap pasukan negeri wajib membenarkan pemain mereka mewakili negara jika dipanggil menyertai sebarang perlawanan yang disenaraikan oleh badan induk bola sepak dunia, Fifa.

"Jadi kena fahamlah, maksudnya kena faham  konteks sebenar," katanya.

Annuar berkata, Tunku Ismail ( kiri ) mempunyai semangat bola sepak yang tinggi, malah pembabitan beliau sendiri didorong oleh minatnya dalam sukan itu.

"Beliau pernah tawarkan diri jadi Presiden FAM. Bermakna dia ada keinginan melihat bola sepak Malaysia maju. Salah satu caranya, memajukan bola sepak Johor," katanya.

Justeru Annuar menasihati orang ramai supaya tidak segera menyalahkan mana-mana pasukan jika prestasi skuad kebangsaan hambar.