Khabar pilu di Belanda
"Dia sangat rapat dengan saya. Begitu juga perwatakannya, semua orang akan cakap Haarshenn macam saya," kata penjaga gol skuad hoki negara, S Kumar, 36, ketika bercerita mengenai anaknya, K Haarshenn.
Haarshenn yang baru berusia dua setengah tahun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat jangkitan kuman kira-kira jam 6,30 pagi semalam.
Kumar ketika itu berada di Belanda kerana mewakili negara dimaklumkan mengenai khabar duka itu melalui panggilan telefon daripada isterinya.
Dia kemudian mengambil keputusan kembali ke tanah air.
Kumar berkata, dia kehilangan seorang anak yang bukan saja manja, malah sangat mirip dengan dirinya.
"Dia selalu minta saya mandikan, buat susu, kalau nak tidur dia akan minta saya bercerita," katanya.
Satu lagi keistimewaan Haarshenn, kata Kumar, ialah sifat pemurah budak berkenaan.
Di depan makanan, Haarshenn biasanya akan menyuap orang yang ada di sekitarnya sebelum dia sendiri mengambil makanan berkenaan.
Ditemui Malaysiakini di rumahnya di Puncak Jalil hari ini, Kumar bagaimanapun berpuas hati kerana dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan menyempurnakan pengkebumian Haarshenn.
Perjuangan perlu diteruskan
Katanya, kesihatan Haarshenn terganggu akibat demam dan isterinya, L Parimalah, 32, membawa anak mereka ke HKL.
"Saya dimaklum oleh isteri, Haarshenn stabil pada jam 12 tengah malam Rabu, tetapi keadaannya kritikal pada jam 4 pagi dan dia disahkan meninggal tidak lama kemudian.
"Keika itu saya dalam perjalanan dari Belanda ke Belgium," kata Kumar.
Sebelum berlepas bagi menyertai Liga Hoki Dunia, Kumar sempat meluangkan masa bersama anak-anaknya.
"Haarshenn hantar saya ke MSN (Majlis Sukan Negara), tetapi dia diam macam biasa, dia cium saya," katanya.
Sementara itu, mengulas ketiadaannya dalam pasukan hoki negara, Kumar berharap rakan-rakan dapat meneruskan perlawanan dengan bersemangat.
"Tempat saya akan diagntikan dengan Hafiz (Muhammad Hafizuddin Othman), saya berharap mereka dapat lakukan yang terbaik.
"Saya tidak dapat kembali ke Belgium kerana perlu menghadiri upacara sembahyang selama 16 hari untuk Haarshenn," katanya.

