Rangel digantung, JDT II didenda
Kerana pulut santan binasa; kerana baran pemain bola boleh 'merana'.
Pemain Terengganu, Paulo Rangel, digantung selama enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil pada 16 Mei lalu.
Kenyataan dipetik di laman web FAM menyatakan, Rangel melakukan kesalahan mengikut Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015.
Kesalahan itu dilakukan Rangel ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lalu.
Kata FAM, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diadakan hari ini.
Pemain berasal dari Brazil itu digantung bermula 20 Jun sehingga 19 Disember ini.
Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015 membolehkan penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (dari 20 Jun hingga 19 September 2015) dan baki tiga bulan lagi bergantung kepada kelakuannya sepanjang tempoh itu.
Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) turut dikenakan tindakan kerana menurunkan pemain tidak layak semasa perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara JDT II menentang Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 22 April lalu.
Pasukan JDT II didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 para 1 Kod Tatatertib FAM.
Sehubungan itu JDT II didenda RM5,000 dan dianggap tewas 0 - 3 kepada Lions XII.

