Pahang mengekalkan kedudukan di takhta Liga Super selepas bergaya menumpaskan PDRM di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Untuk menerobos gawang lawan, skuad Tok Gajah tidak perlu menunggu lama apabila gerakan solo S Saarvidran berjaya menumbusi gawang PDRM pada minit ke-6 permainan.

Selepas saling menyerang anak buah Zainal Abidin Hassan sekali membolosi gol PDRM pada minit ke-38 melalui penyerang import Matias Conti.

Gol yang berpunca daripada sepakan percuma oleh Hafiz Kamal itu disambut sempurna oleh Conti sebelum menggegarkan gol PDRM yang dikawal Willfred Jabun.

Sementara itu, pada masa tambahan separuh masa pertama menyaksikan Pahang berada dikedudukan selesa apabila Conti sekali lagi menyempurnakan jaringan hasil hantaran lintang S Saarvindran.

Dalam aksi separuh masa kedua, PDRM bangkit dengan permulaan baik apabila berhasil menjaringkan gol seawal minit ke-49 melalui tandukan penyerangnya Dramane Traore.

Bagaimanapun, perlawanan terus dikuasai pendahulu liga apabila penyerangnya Dickson Nwakaeme berjaya mengambil peluang meledak bola muntah berpunca dari sepakan percuma oleh Hafiz Kamal pada minit ke-58.

Pada minit ke-69 Pahang terus kenduri gol apabila Conti melengkapkan hatrik dengan menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru Hafiz Kamal.

PDRM pula menghasilkan gol kedua apabila Thaore menyudahkan sepakan penalti selepas dikasari kapten Pahang, Razman Roslan.

Thaore sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti sekali gus melengkapkan hatrinya pada minit ke-89 selepas Ashfaq Ali dikasari Matthew Davies yang turut dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasarudin.

Bagaimanapun, gol ketiga anak buah Azman Adnan itu gagal memberi kelebihan kepada mereka keputusan memihak kepada Pahang dengan jaringan 5-3 sehingga wisel penamat.

Pahang terus kekal sebagai pendahulu liga super dengan 23 mata hasil 11 perlawanan dengan mencatatkan tujuh kemenangan, dua seri dan dua kekalahan.