Berkat resipi Ramadan Zainal
Resipi jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan, memberi fokus terhadap pertahanan individu dan disiplin setiap pemain di atas padang ternyata memberi kelebihan buat pasukan Tok Gajah.
Hasilnya terbukti apabila skuad itu menumpaskan PDRM 5-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Zainal yang juga bekas juri program Maharaja Lawak Mega itu berkata, walaupun terlepas banyak peluang keemasan pemainnya masih mampu mencipta peluang untuk menghasilkan gol di awal perlawanan.
"Alhamdulillah kita telah jalankan tugas dengan baik, dengan mencipta tiga gol di separuh masa pertama. tetapi kita telah memberi satu gol mudah kepada PDRM untuk melawan balik.
"Bagaimanapun keputusan muktamad amat membanggakan kerana ini adalah perlawanan pertama dalam suasana keadaan yang berlainan (bulan puasa)," kata Zainal.
Sebagai pendahulu carta Liga Super, katanya, kemenangan di tempat lawan itu menambahkan semangat pemain untuk menghadapi perjuangan seterusnya di laman sendiri.
Mengulas dua sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada pihak lawan, Zainal mengakui hukuman kedua dipertikaikan anak buahnya.
"Tetapi itu keputusan muktamad pengadil. Alhamdulillah tak ada kesan tak baik berlaku, kami terpaksa menerima dan lebih baiknya tiga mata penuh berpihak kepada kita."
Sementara itu, dalam aksi ke-11 Liga Super yang melibatkan lapan pasukan lain menyaksikan Lions XII mengatasi ATM dengan jaringan 3-1 di Stadium Jalan Besar, manakala JDT menang tipis ke atas 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sarawak pula yang menentang Perak di Kuching sekadar seri 1-1 dan pertemuan Felda United bertemu Selangor juga berkesudahan seri 4-4 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Keputusan perlawanan itu sekali gus mengubah carta Liga Super walaupun Pahang kekal sebagai pendahulu liga (23 mata), manakala JDT berada di tangga kedua (21 mata) disusuli Selangor, Perak, Felda United dan PDRM masing-masing dengan 18 mata.

