Liga Super: PDRM rebah lagi di kaki Tok Gajah
Tempoh 90 minit dan bermain di padang sendiri ternyata tidak cukup buat skuad Pahang melakar kemenangan dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Dengan banyak peluang keemasan tercipta, tekanan berada di pihak anak buah Zainal Abidin Hassan.
Pada masa sama, prestasi bertenaga dipamerkan barisan pemain The Cops yang berjuang habis-habisan walaupun pada akhirnya nasib tidak menyebelahi mereka.
Gol buat skuad Tok Gajah tercipta hasil tandukan cantik Azidan Sarudin merungkai kebuntuan Zainal serta penyokong pasukan diminit-minit masa tambahan perlawanan itu.
Tempoh empat minit yag diberikan pengadil perlawanan ternyata mengundang tuah untuk Pahang dan menjadi hukuman kedua berturut-turut untuk PDRM di depan Pahang.
Azman cuma pasrah
Sementara itu mengulang kemenangan 1-0 itu, Zainal berkata, dia sudah menjangkakan berdepan persaingan sengit berbanding pertemuan terdahulu di Shah Alam, Sabtu lalu.
"Saya sudah berpesan awal kepada pemain kerana permainan hari ini tak sama dengan perlawanan lepas.
"Apapun saya bangga kita dapat kutip tiga mata penuh di tempat sendiri. Memang ini yang kita mahu kerana menang di tempat sendiri adalah mandat Tuanku Presiden kami," katanya ketika ditemubual media selepas perlawanan.
Bagi jurulatih PDRM Azman Adnan pula terpaksa pasrah menerima kekalahan tersebut walaupun berpuas hati dengan komitmen yang ditujukkan pemainnya.
"Inilah bola sepak, walaupun kita ada peluang tetapi nasib tidak menyebelahi kita.
"Saya perlu memberi pujian kepada pemain saya kerana telah menunjukkan satu prestasi yang baik. Apa yang positif kita nampak pemain saya kembali seperti biasa walaupun tak dapat jaring gol," kata Azman.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Pahang di takhta Liga Super dengan mengutip 26 mata disusuli JDT di tempat kedua dengan 24 mata selepas menundukan Terengganu 2-0, malam tadi.
Keputusan lain menyaksikan Selangor menang ke atas Felda United 1-0, Perak bertemu Sarawak (3-1), Kelantan lawan Sime Darby dan ATM bertemu LIONS XII masing-masing terikat (1-1).

