Hoki: Kumar mungkin bersara
Penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S Kumar, sedang mempertimbangkan masa depannya sama ada akan terus memberikan khidmat kepada pasukan atau bersara.
Namun ia bukanlah perkhabaran yang serta-merta.
Kata Kumar, keputusan berkenaan hanya akan dibuat selepas skuad negara pulang dari Belgium.
"Saya dah cakap dari dulu, kalau kita layak ke Sukan Olimpik saya akan teruskan sampai ke Rio de Janeiro.Kalau tidak saya (akan) bersara," kata Kumar kepada Malaysiakini hari ini.
Kumar berkata demikian ketika diminta memberi respon terhadap harapan yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada beliau semalam.
Khairy berkata, beliau mahu penjaga gol skuad hoki negara itu untuk kembali positif dan terus memberi khidmat kepada sukan hoki negara selepas dikejutkan dengan kematian anak bongsunya di Hospital Kuala Lumpur 18 Jun lalu.
Harshenn menghembus nafas terakhirnya ketika Kumar bersiap-siap untuk bertarung menentang pasukan China dalam kejohanan Liga Hoki Dunia di Belgium.
Sementara itu, Bernama melaporkan Kumar yakin penggantinya Roslan Jamaluddin mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai benteng terakhir skuad negara pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.
Beliau berkata Roslan, 36, merupakan seorang penjaga gol yang berpengalaman luas khususnya dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

