Melihat kepada perlawanan ini, barangkali kita ada alasan untuk menaruh harapan tinggi kepada sukan bola sepak negara.
Dalam pertandingan Piala Iber untuk pemain berusia bawah 13 tahun, Malaysia bermula dengan langkah kanan mengalahkan Atletico Madrid 1-0 di di Kompleks Sukan La Campana di Costa Del Sol, Sepanyol semalam.
Pasukan negara mendahului pemain muda kelab tersohor Sepanyol itu melalui jaringan Danial Amali pada minit ke-38.
Malaysia yang diundi dalam kumpulan D turut berdepan cabaran dua kelab Portugal, SL Olivais dan CF "Os Belenenses" G.
Skuad Harimau Malaya bawah 13 tahun itu terdiri daripada peserta Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang dibimbing oleh pemain bekas pemain tengah Malaysia dan jurulatih Bayern Munich, Lim Teong Kim.
Terdahulu, menerusi siri persahabatan jelajah Eropah selama dua minggu bersama akademi terkemuka, mereka berjaya mencatat kemenangan dalam semua sembilan perlawanan di Jerman termasuk termasuk menewaskan kelab Bayern Munich bawah 13.
Dengan kemenangan itu, pemain Malaysia menerima pujian daripada jurulatih bola sepak peringkat akar umbi dunia, Tom Byer.
Byer melalui akaun Twitternya melontarkan kekaguman terhadap skuad negara dengan mengatakan barisan pemain itu adalah aset masa depan Malaysia.
Dalam perlawanan kedua malam ini, Malaysia akan bertemu SL Olivias untuk persaingan peringkat kumpulan itu.
