Bekas jurulatih Johor Darul Takzim dan Kelantan, Bojan Hodak  dilaporkan berminat untuk menggantikan posisi Dollah Salleh sebagai jurulatih skuad bola sepak negara.

Selepas gagal membawa sebarang kemenangan dalam kempen kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia 2018 setakat ini, Dollah disifatkan berada dalam keadaan tertekan dan mungkin kehilangan posisinya.

Khabar angin itu bertiup kencang apibila Harimau Malaya gagal memanfaatkan kelebihan dua perlawanan di tempat sendiri selepas seri 1-1 bertemu Timor Leste dan kalah besar 0-6 di tangan Palestin, lapor ESPN FC.

Menurut laporan tersebut, FAM sedang mengkaji semula kedudukan Dollah dan sedang berbincang untuk mendapatkan pengganti lebih berpontensi.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Hodak.

Jurulatih berusia 44 tahun itu dilihat mempunyai rekod baik di Asia Tenggara termasuk ketika mengendali Kelantan dan JDT sehingga pasukan tersebut tampil cemerlang dengan pelbagai kejayaan.

Hodak ( gambar ) yang berasal dari Croatia juga berpengalaman mengendalikan beberapa kelab bola sepak di luar Malaysia seperti Singapura Jurong, Balestier Khalsa FC dan Hong Kong Rangers.

Hodak mendedahkan berminat mengambil alih jawatan itu jika ada kekosongan, bagaimanapun buat masa ini beliau masih memberikan sokongan kepada Dollah.

"Saya fikir mana-mana jurulatih di dunia akan menerima untuk bekerja dengan pasukan kebangsaan. Sesiapa yang menafikannya, dia menipu diri sendiri atau berpolitik.

"Tapi buat masa sekarang Dollah sebagai jurulatih Malaysia , saya mesti menghormatinya. Beliau seorang rakan dan jurulatih profesional dan saya harap dia dapat wujudkan keadaan yang lebih baik," kata Hodak.