Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Sistem sedia ada FAM cuma lahirkan jaguh kampung'
Diterbitkan:  Jun 25, 2015 7:19 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak mahu pemain muda bola sepak negara yang menunjukkan prestasi baik di Sepanyol diserap ke dalam sistem pembangunan FAM kerana dibimbangi gagal menggilap potensi sebenar mereka.

 

Katanya, pemain hari ini yang dibangunkan melalui sistem sedia ada FAM cuma berjaya menjadi jaguh kampung.

 

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur semalam, Khairy berkata, untuk mengelak pemain negara pada masa depan sekadar menjadi jaguh kampung, beliau akan membincangkan isu itu dengan FAM.

 

“Sebab mahu tak mahu, akhirnya mereka kena masuk juga dalam sistem FAM dalam liga tempatan atau pasukan kebangsaan,” katanya di sidang media sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Federation Of Malaysian Skills Development Centres (FMSDC), di Putrajaya hari ini.

 

Khairy mengulas prestasi membanggakan skuad bola sepak bawah 13 tahun negara yang menumpaskan Atletico Madrid di Sepanyol beberapa hari lalu.

 

Pemain bimbingan Lim Teong Kim itu adalah peserta Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

 

Dalam perlawanan pembukaan pada 23 Jun lalu skuad negara menumpaskan Atletico Madrid 1-0.

 

Kata Khairy, melihat kejayaan itu skuad muda Negara boleh diletakkan harapan dan dipersiapkan untuk melebarkan lagi bakat serta kerjaya mereka di rantau orang.

 

"Sangat rugi sekiranya kita sudah melabur banyak untuk jadikan mereka pemain yang baik dan akhirnya segala latihan yang diberi itu disia-siakan oleh kerana sistem di peringkat senior tidak dapat menjaga mereka dengan baik," katanya.

 

Khairy berkata perbincangan dengan FAM perlu dibuat untuk melihat sebarang perubahan yang boleh dicadangkan supaya prestasi pemain muda negara dapat dikekalkan.

 

"Saya juga harap pemain-pemain terbaik daripada PPBN ini dapat kita tempatkan di liga-liga luar negara. Saya tidak mahu pemain-pemain ini mempunyai cita-cita hanya terbatas untuk bermain di liga tempatan sahaja.

 

"Kita mahu jadikan mereka pemain baru yang hebat,” katanya.

 

Negara juga, kata Khairy, tidak mahu atlet yang kurang berdaya tahan sehingga pulang semula ke Malaysia walaupun baru dua tiga bulan di tempat orang.

 

"Kita mahu lahirkan pemain yang lebih daripada itu.

 

“Harapan saya mereka tidak bercita-cita untuk bermain dengan JDT, Kelantan, Selangor tetapi mahu bermain di luar negara kerana kelab di Malaysia tidak boleh beri seperti yang saya mahu,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS