Khabar gembira diutuskan lagi skuad hoki negara yang bertarung di pertandingan separuh akhir liga hoki dunia di Belgium.

Sebentar tadi pasukan negara mencatat kemenangan kedua menumpaskan Ireland 4-2 dalam persaingan peringkat kumpulan B.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Malaysia melangkah ke peringkat seterusnya.

Gol pertama Malaysia hadir pada minit ke-13 melalui pukulan sudut penalti Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.

Bagaimana Ireland pantas menyerang balas dan berjaya membolosi gawang Malaysia seminit kemudian melalui pemain Peter Caruth.

Pada minit ke-16, Razie Rahim sekali lagi meletakkan pasukan negara di hadapan sebelum gol penyamaan Ireland pada minit ke-19 melalui Shane O'Donoghue.

Selepas terikat 2-2 pada separuh masa pertama, pemain negara meneruskan langkah kanan di separuh masa kedua masing-masing melalui pukulan Mohammad Shukri Abdul Mutalib dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin.