Pemain JDT malam tadi mendapat suntikan semangat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBSNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa jam sebelum mereka bertolak ke Pahang.

Skuad itu bakal berdepan pasukan teratas Liga Super di Stadium Darul Makmur malam esok.

Status dimuat naik JOHOR Sounthen Tiger di Facebook menunjukkan Tunku Mahkota Johor itu meluangkan masa bersama pemain dan jurulatih skuad berkenaan di Kelab Polo Diraja Johor.

 

DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR MAKAN MALAM BERSAMA PEMAIN JDT SEBELUM MEREKA BERTOLAK PAHANGDYAM Brigadier Jeneral Tunku...

Posted by JOHOR Southern Tigers on  Thursday, June 25, 2015

Aksi ke-13 Liga Super esok dijangka memaparkan persaing lebih sengit apabila dua pasukan teratas itu berendap sesama sendiri.

Pahang berada di tempat teratas liga ketika ini dan diekori rapat oleh JDT.

Kedua-dua pasukan dipisahkan hanya denga dua mata.

Dengan memperoleh 26 mata daripada 12 perlawanan, anak buah Zainal Abidin Hassan ternyata tidak boleh mengambil mudah cabaran JDT jika mereka mahu kekal sebagai pendahulu liga.

Sementara itu Zainal menyifatkan perlawanan malam esok adalah ujian penting dan getir perlu dihadapai mereka.

"Pertemuan ini juga adalah cabaran untuk kita kekal sebagai pendahulu liga, manakala JDT akan cuba untuk merampas kedudukan kami," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Walaupun ketiadaan D Saarvindran yang mengalami kecederaan, Zainal berkata dia berharap Pahang mendapat tiga mata penuh apabila pengadil meniupkan wisel penamat nanti.

Sementara itu, dalam aksi lain Lions XII akan menentang PDRM di Stadium Shah Alam malam ini, manakala Sarawak menerima kunjungan Felda United di Kuching esok.

Turut turun ke gelanggang esok ialah Sime Darby yang berdepan cabaran Perak di Stadium Selayang dan Selangor berdepan Terengganu di Stadium Shah Alam.