Siri kemenangan berturut-turut skuad hoki Malaysia di pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia tercalar selepas mereka tewas di tangan Belgium pada perlawanan ketiga, malam tadi.

Barisan pemain negara menunjukkan gerakan bertenaga pada suku masa pertama dan kedua ‎namun gagal mengekang kemaraan pasukan tuan rumah yang berjaya membolos dua gol pada suku ketiga perlawanan.

Pada aksi ketiga kumpulan B di Antwerp itu, Belgium berjaya meledakkan gol pertama melalui pemainnya, Dorian Thiery pada minit ke-38.

Seminit kemudian Belgium terus meletakkan jurang lebih selesa dengan jaringan kedua oleh Simon Gougnard.

Walaupun cuba bangkit pada suku masa terakhir, The Speedy Tigers bagaimana gagal menyudahkan beberapa peluang termasuk satu pukulan sudut penalti.

Anak buah Tai Beng Hai terpaksa akur di tempat kedua kedudukan kumpulan B dengan pungutan enam mata berbanding Belgium dengan kelebihan satu mata di tanggan teratas.

Kedudukan itu bagaimanapun tetap membuka peluang untuk Malaysia beraksi di peringkat suku akhir.

Sebelum ini, skuad hoki negara menang ke atas China dengan jaringan tipis 3-2 dan melakar kemenangan 4-2 pada kedua perlawanan menentang Ireland.