Liga Super: PDRM bangkit selepas tiga kali rebah
Selepas kekalahan demi kekalahan menimpa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya bangkit menewaskan Lions XII dalam perlawanan ke-13 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini memang memberi tamparan buat skuad bimbingan Azman Adnan.
Bermula dengan kekalahan 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2 Mei lalu, nasib malang PDRM berterusan dalam dua perlawanan menentang Pahang pada Sabtu dan Selasa lalu.
Pertemuan itu masing-masing berakhir dengan jariangn 3-5 dan 0-1.
Hanya pada perlawanan malam tadi PDRM bangkit mendapatkan tiga mata penuh dengan jaringan 2-1.
Tuah datang awal untuk PDRM apabila pengadil Mohd Nafeez Abd Wahab mengesan bola terkena tangan pemain Lions XII Khairul Amri Mohammad Kamal dalam kotak penalti.
PDRM memperoleh gol pertama pada minit kesembilan hasil sepakan penalti Dramane Traore.
Tidak bertahan lama
Agak tergamam dengan jaringan itu, Lions XII kembali mengasak benteng pertahanan PDRM sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerus jaringan Safuwan Baharudin.
Kegembiraan anak buah Fandi Ahmad bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Traore sekali lagi meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-30 selepas pemain itu menanduk masuk bola hantaran lintang Jaime Celestino.
Sementara itu, aksi separuh masa kedua menyaksikan Lions XII mendominasi serangan dengan beberapa percubaan menarik.
PDRM boleh menghasilkan gol ketiga jika penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud tidak tangkas menangkap kemas percubaan Ashfaq Ali lima minit sebelum perlawanan tamat.
Kemenangan malam tadi menyaksikan skuad The Cops kekal di kedudukan kelima liga dengan mengumpul 21 mata.

