Belum pun sempat turun padang menunjukkan kemahirannya, Roberto Firmino yang baru dibeli Liverpool dari Hoffenheim sudah berdepan tekanan.

Dan tekanan itu pula bukannya datang daripada sesiapa, sebaliknya bekas pemain The Reds sendiri, iaitu Markus Babbel.

Bagi Babel pelaburan Liverpool sebanyak £29 juta (RM171 juta) adalah terlalu tinggi untuk pemain seperti Firmino.

"Nilai perpindahannya brutal . Saya tersentak ketika mendengarnya. Dia pastinya akan berada di bawah tekanan dengan beban berat digalas untuk memenangi trofi. Ini adalah cabaran besar bagi Firmino," kata Babbel seperti dilaporkan Skysport.com .

Nilai perpindahan itu menjadkan Firmino pemain kedua paling tinggi diperoleh Liverpool dalam sejarah selepas Andy Caroll yang menelan belanja sebanyak £35 juta (RM208 juta) pada Januari 2011.

Perpindahan Firmino ke Anfield disahkan Liverpool awal minggu ini.

Bagaimanapun Babel tetap bersikap rasional terhadap pemain Brazil berusia 23 tahun itu.

"Firmino dan Liverpool mempunyai keserasian. Dia tidak seperti orang Brazil biasa. Nampak seperti orang Jerman kerana berdisiplin dan tegas.

"Firmino tidak mengeluh ketika dilanggar. Dia tidak berlakon dan cepat bangkit. Hal itu akan menguntungkan Liverpool kerana penyokong sangat menyukai  itu," puji Babbel yang pernah melatih Firmino di Hoffenheinm pada 2012.

Babbel bermain untuk Liverpool antara 2000 hingga 2004.