Malaysia menutup tirai Kejohanan Ibercup Costa Del Sol 2015 di Sepanyol dengan bergaya apabila muncul sebagai juara selepas menundukan kelab terkemuka Portugal,  Sporting Lisbon pada perlawanan akhir petang tadi.

Dengan jaringan gol 2-1, skuad bola sepak Malaysia bawah 13 tahun (B-13) itu mencipta sejarah tersendiri yang pasti dibanggakan rakyat negara ini.

Ia juga bagaikan pengubat duka kepada nasib malang menimpa skuad senior negara di bawah kendalian FAM yang sehingga kini masih terumbang-ambing di atas padang.

Pada perlawanan jam 6 petang tadi, Malaysia mendahului lawan dengan gol pertama jaringan pemain berjersi nombor 10, Luqman Hakim Samsudin pada minit ke-12.

Sporting Lisbon memang berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-47 kemudian namun anak buah Lim Teong Kim tidak terganggu rentak permainan mereka dan melipatgandakan asakan.

Hasilnya Malaysia kembali berada di depan hasil jaringan Mohd Hariz Mansor hanya seminit kemudian.

Kedudukan itu bertahan sehingga tamat permainan.

Dalam saingan peringkat kumpulan B, skuad B-13 Malaysia menang dalam semua perlawanan, masing-masing mengalahkan Atletico Madrid (1-0), SL Olivais (2-0) dan "Os Belenenses" G (1-0).

Kemenangan itu melayakkan pasukan negara ke peringkat suku akhir dan menang ke atas Barreirense FC dengan 'kenduri' besar 5-0.

Di peringkat separuh akhir pula, anak buah Teong Kim menerima saingan hebat dari Kelab Sevilla FC dengan keputusan seri 0-0.

Bagaimanapun, pemain Program Pembangunan Bola Sepak negara (PPBN) itu lebih bernasib baik apabila mengatasi lawan melalui sepakan penalti dengan jaringan 7-6.

Penjaga gol Sikh Izhan Nazrel muncul wira utama apabila berjaya menyelamatkan tendangan pemain Sevilla.

PPBN merupakan porgram kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan FAM dalam usaha mengembangkan bakat sukan bola sepak di kalangan pelajar sekolah seluruh Malaysia.

Ibercup dianggap satu daripada pertandingan bola sepak remaja terpenting di dunia dan membabitkan 25 negara, lebih 3,500 pemain, jurulatih dan keluarga mereka yang bertumpu ke bandar Costa del Sol.

Menurut laman web pertandingan itu, kejohanan berkenaan berlangsung selama seminggu.