Ulasan: Mengharap 'sembah derhaka' dari skuad muda
Ada kurang lebih 15 meja di kaki lima restoran 24 jam itu. Hanya tiga yang tiada pelanggan. Selebihnya ada sekurang-kurangnya dua pengunjung. Sebahagian besar mendongak dengan tekun melihat ke televisyen.
Perlawanan Liga Super yang sedang berlangsung itu memang mengasyikkan. Sekurang-kurangnya itu yang kami rasa. Sementelah sekarang ini Liga Perdana Inggeris sedang berehat.
Tak ada tanduk telinga dipulas. Tiada rotan, ranting pelepah bolehlah juga diguna.
Entah memujuk hati, entah sindrom penafian, kita sebenarnya terpaksa mengalah dengan apa yang ada disebabkan tiada pilihan, atau tiada yg lebih baik.
Kalau kita berborak tentang bola sepak, yang selalu terbayang adalah masa silam. Adalah tentang Mohtar Dahari, Santokh Singh, Shukor Salleh, James Wong.
Kemudian ada pula Azizul Abu Haniffah, Matlan Marjan, Wong Hung Nung, Khalid Ali, Khan Hung Meng, Lim Teong Kim....
Eh, Lim Teong Kim?
Yup . Tanpa hu-ha hu-ha, anak didik Teong Kim melakar sejarah menjadi juara dalam pertandingan belia di Sepanyol malam tadi. Skuad bawah 13 tahun negara yang dibangunkan daripada pelajar sekolah sukan seluruh negara diadun dengan baik sehingga menjadi ampuh sebegitu.
Isunya ialah - selepas ini, apa?
(Harap-harap bukan dihidangkan cerita hubungan cinta pemain dengan artis/selebrti, atau kisah tentang rasa gubra mereka dengan hati kekasih yang tak teguh. Atau dipaparkan dengan aksi-aksi di kolam renang dalam majalah popular.)
Rangking tak penting
Barangkali ada benarnya juga kata Khairy Jamaluddin apabila beliau tak mahu skuad berkenaan diserap ke dalam sistem sedia ada FAM.
Kata Menteri Belia dan Sukan itu, pemain yang dibangunkan melalui sistem FAM sekarang cuma berjaya menjadi jaguh kampung, sedangkan negara kita tidak memerlukan juara yang hanya tahu berkampung semata-mata.
Biarlah FAM berkata bahawa rangking negara dalam senarai bola sepak dunia tidak penting. Itu hak FAM. Tetapi hak kita juga ada.
Kita berhak menuntut supaya emansipasi diberikan kepada anak-anak muda yang berbakat besar dalam sukan bola sepak ini. Bebaskan mereka daripada politiking ahli politik atau bukan ahli politik.
Bahawa FAM sendiri ada politiknya juga susah untuk untuk dinafikan. Keadaan berlaku ketika FAM menjadi payung dan induk kepada persatuan dan aktiviti sukan bola sepak negara.
Mungkin untuk sekali ini, kita wajar mengajar Teong Kim dan anak buahnya tentang maksud sembah derhaka. Sekurang-kurangnya kepada FAM.
Kita dah jemu dengan retorik dan nostalgia tentang skuad Malaysia pernah layak ke Sukan Olimpik pada 1972 dan 1980. Hidup dengan kenang-kenangan semata-mata tidak pernah mengubah apa-apa.
AL-ABROR MOHD YUSUF adalah anggota redaksi Malaysiakini.

