Harapan sukad Tok gajah untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Pada perlawanan ke-13 Liga Super itu, anak buah Zainal Abidin Hassan dan Mario Gomez masing-masing ketandusan idea untuk mencipta gol di separuh masa pertama.

Pahang yang dilihat menguasai permain di awal masa bagaimanapun hampir menggigit jari dengan rembatan kencang penyerang JDT, Luciano Figueroa yang terkena palang gol.

Pahang memperolehi peluang melalui hantaran cantik Gopinathan ke depan gawang JDT, namun gagal disempurnakan Matias Conti.

Riang tak lama

Beberapa peluang diperolehi kedua-dua pasukan tiada kesudahan sehingga permainan direhatkan.

Babak kedua pula menyaksikan kedua-dua jurulatih membuat pertukaran pemain bagi memperkemaskan bahagian serangan.

Kemasukan Amri Yahyah menggantikan Mahali Jasuli ternyata tepat apabila pemain itu berjaya melepasi perangkap ofsaid sekali gus menewaskan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan pada minit ke-66.

Kegembiraan penyokong Harimau Selatan tidak kekal lama apabila Pahang menyamakan kedudukan melalui Dickson Nwakaeme selepas berlaku keadaan kelam kabut di hadapan gol JDT pada minit ke-70.

Enam minit kemudian Nwakaeme sekali lagi memperolehi peluang apabila berjaya melepasi tiga benteng pertahanan lawan sebelum merembat ke arah gawang gol.

Sepakan kaki kiri itu bagaimanapun sekadar menggegarkan tiang gol JDT.

Keputusan 1-1 yang kekal sehingga wisel penamat itu masih mengekalkan Pahang sebagai pendahului liga dengan 27 mana, manakala JDT ditangga kedua dengan 25 mata.

Sementara itu, perlawanan lain yang menyaksikan Selangor menang 2-1 ke atas Terengganu di Stadium Shah Alam, Sime Darby tewas kepada Perak (1-3) di Stadium Selayang dan Sarawak ditundukkan Felda United di halaman sendiri.