Skuad hoki Malaysia gagal bangkit daripada kekalahan dengan Belgium apabila tewas sekali lagi di tangan Great Britain dengan keputusan 1-3, di KHC Dragons Mansion Brasschaat, Belgium malam tadi.

Aksi suku masa pertama anak buah Tai Beng Hai memang dilihat beraksi baik. Ia terbukti dengan kejayaan mereka membolosi pertahanan lawan dan menemui sentuhan penyudah yang tepat melalui jaringan Haziq Shamsul pada minit ke-14.

Namun entah mengapa pada babak kedua The Speedy Tigers nampak lebih banyak bertahan dan memberi ruang pemain Great Britain menyerang.

Suku ketiga menyaksikan kesilapan dilakukan oleh pemain pertahanan Malaysia, Baljit Singh memaksa pengadil menghadiahkan pukulan sudut penati kepada pihak lawan.

Pukulan yang diambil oleh David Condon itu akhirnya mencecah gawang dikawal Roslan Jamaluddin pada minit ke-31.

Sementara itu, memasuki suku terakhir perlawanan Malaysia mula hilang rentak menyebabkan pasukan lawan dengan mudah menceroboh ke kawasan D skuad negara.

Pada minit ke-49 Great Britain berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan negara dan berjaya menjaringkan gol kedua melalui Ashley Jackson.

Hanya seminit kemudian, Malaysia sekali lagi menghadiahkan pukulan sudut penalti dan berjaya disudahi dengan baik oleh Samuel Ward membawa kedudukan 1-3.

Skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan itu dan  berada tangga ketiga Kumpulan B Kempen Separuh AKhir Liga Dunia 2015.

Malaysia dilihat bakal berdepan dengan saingan sengit bagi meneruskan perlawanan di peringkat suku akhir apabila dijadualkan bertemu India 1 Julai ini.

India yang berada pada tangga kesembilan kedudukan dunia (berbanding kedudukan ke-12 untuk Malaysia) pasti tidak akan membiarkan pemain negara bebas di kawasan mereka demi menjamin tempat di Sukan Olimpik 2016 di Rio De Jeneiro, Brazil.